Thursday, 4 November 2021

SIRI 165 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 26: Taubat, Syarat, Rukun dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah 1: Perkara Yang Perlu Dilakukan Oleh Orang Yang Bertaubat
Tajuk Mudarasah 2: Penawar Bagi Taubat Dan Jalan Untuk Merawat Dosa Yang Dilakukan Secara Berterusan (Bahagian 1)

Sub Tajuk: Perkara Yang Perlu Dilakukan Oleh Orang Yang Bertaubat

Halaman Rujukan Kitab : 466

Nota Mudarasah:

Perkara yang Perlu Dilakukan oleh Orang yang Bertaubat

Telah dinyatakan bahawa seorang yang bertaubat hendaklah melakukan kebaikan berlawanan dengan keburukan yang telah dilakukan, agar pahala kebaikan itu dapat memadamkan dosa keburukan yang dilakukan. Kebaikan tersebut hendaklah dilakukan sama ada dengan hati, lidah atau anggota badan mengikut keadaan keburukan yang dilakukan.

Kebaikan yang boleh dilakukan oleh hati ialah merendah dan menghina diri sendiri. Lidah pula akan mengakui segala dosanya dan beristighfar, seperti dia berdoa: "Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku, maka ampunilah aku".

Dalam satu hadis ada menyatakan sabda Rasulullah s.a.w:

1 Riwayat Ahmad dalam Musnadnya (1/2, 10), at-Tirmizi (406, 3009), Ibnu Jarir (7853, 7854), Ibnu Hibban (2454) dan al-Baghawi (1015) daripada Abu Bakar r.a.. Sanadnya sahih.

Kebaikan yang dilakukan oleh anggota badan pula ialah mengerjakan amalan ketaatan, bersedekah dan mengerjakan segala jenis ibadat yang lain.

Penawar Bagi Taubat Dan Jalan Untuk Merawat Dosa Yang Dilakukan Secara Berterusan

Seseorang itu tidak akan faham dan tahu mengenai ubat selagi dia tidak memahami berkenaan penyakit. Ini kerana ubat dalam erti kata yang sebenarnya ialah apabila dia dapat menghilangkan sebab-sebab yang membawa kepada penyakit tersebut. Sesuatu perkara tidak akan terhapus melainkan dengan perkara yang berlawanan dengannya. Sebab utama yang menyebabkan seseorang berterusan dalam melakukan dosa ialah kerana kelalaian dan menurutkan nafsu. Kelalaian hanya akan terhapus dengan ilmu. Nafsu syahwat pula hanya dapat diatasi dengan bersabar dalam membenteras punca-punca yang menggoda nafsu.

Kelalaian merupakan punca segala kesilapan. Tidak ada penawar untuk bertaubat melainkan dengan ramuan yang diadun dari ilmu yang manis dan sabar yang pahit. Umpama ubat sakanjabin dari adunan gula yang manis dan cuka yang masam lalu terhasillah ubat untuk merawat penyakit demam kuning.

Doktor dalam bidang ini ialah golongan ulamak kerana ia berkaitan dengan penyakit hati dan penyakit ini lebih merbahaya daripada penyakit tubuh badan kerana beberapa faktor iaitu:

Pertama : Pesakit tidak menyedari bahawa dia sebenarnya sakit.

Kedua : Kesannya tidak dapat disaksikan di dunia ini. Berbeza dengan penyakit badan, di mana kesannya ialah mati yang dapat disaksikan oleh mata kasar manusia dan manusia secara tabi'ienya tidak menyukainya. Tetapi perkara yang akan berlaku sesudah mati tidak dapat disaksikan oleh mata kasar manusia. Oleh sebab itu, perasaan jijik dan gerun kepada dosa amatlah sedikit walaupun orang yang yang melakukan dosa tersebut tahu mengenainya. Oleh kerana itulah, maka kamu mendapati dirinya berserah kepada kurniaan Allah dalam hal yang berkait dengan penyakit hati tetapi sebaliknya dia bersungguh-sungguh merawat penyakit badan tanpa berserah kepada Allah.

Ketiga : Ketiadaan para doktor untuk merawatnya. Ini adalah satu penyakit yang paling kronik. Doktor kepada penyakit ini ialah para ulamak tetapi malangnya, kini kebanyakan ulamak sendiri telah ditimpa penyakit yang begitu serius iaitu cintakan dunia. Penyakit ini telah mengalahkan para doktor (ulamak) sehingga menyebabkan mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menghalang orang lain dari melakukan dosa. Mereka mungkin bimbang akan disindir: "Kenapa kamu menyeru supaya meninggalkan dosa sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri." Kerana faktor ini, penyakit berkembang biak sedangkan penawarnya tiada.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment