Wednesday, 10 November 2021

SIRI 171 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar Dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Sabar: Kelebihan. Hakikat Dan Kelebihannya
Sub Tajuk: Pengenalan Sifat Sabar

Halaman Rujukan Kitab : 475

Mudarasah berlangsung pada minit ke 5:22

Nota Mudarasah:

Al-Hasan r.hm. berkata: Sabar adalah antara gedung-gedung kebaikan. Allah akan memberikannya kepada hamba-Nya yang mulia di sisi-Nya sahaja.

Terdapat di kalangan 'arifin (mereka yang mengenali Allah Taala), meletakkan di dalam poketnya cebisan kertas yang sentiasa dikeluarkan untuk mereka mengulangkajinya. Cebisan kertas tersebut mengandungi firman Allah Taala:



Sifat sabar adalah ciri keistimewaan manusia. Ia tiada pada haiwan kerana kekurangan dan keadaannya yang sentiasa dikuasai oleh nafsu. Sifat ini juga tidak terdapat pada malaikat kerana sifat malaikat yang sempurna. Malaikat telah dibersihkan dari segala perkara agar mereka menumpukan sepenuhnya kepada mengasihi Allah. Mereka tidak dikuasai oleh syahwat yang boleh melalaikan mereka dari mengingati Allah Taala sehingga perlu bertarung dengan nafsu yang menghalang itu.

Manusia diciptakan oleh Allah Taala, bermula dari peringkat bayi dalam keadaan serba kekurangan. Keadaannya ketika itu seperti keadaan haiwan yang hanya dilengkapi dengan nafsu terhadap makanan yang diperlukannya. Setelah itu dikurniakan perasaan untuk bermain dan berhias, seterusnya nafsu jantina. Dalam keadaan ini, mereka tidak memiliki kekuatan kesabaran. Apabila akal mula kuat dan memainkan peranannya, mereka dapat berfikir dengan baik dan cergas. Dengan itu, terpancar cahaya hidayah pada usia mumayyiznya. Kemudian dia membesar secara berperingkat sehingga baligh umpama mega merah di waktu pagi yang hilang secara beransur-ansur dek cahaya matahari yang menyusul. Namun, hidayat ini masih kurang, kerana ia tidak boleh memandunya kepada kebaikan akhirat.

Apabila dia diperlengkapkan dengan pengetahuan syarak, dia akan memahami sedikit demi sedikit perkara-perkara akhirat dan senjatanya juga bertambah. Walaupun demikian, manusia masih mengikuti tabiatnya walaupun syarak dan akal menentangnya. Ini mewujudkan pertembungan di antara syarak dan nafsu. Medan peperangan ialah hati manusia.

Oleh itu sifat sabar boleh diibaratkan sebagai suatu kekuatan dorongan agama dalam menghadapi dorongan syahwat. Apabila dia mampu berdiri teguh dan mengalahkan serangan hawa nafsu tersebut, dia tergolong di kalangan orang yang sabar. Apabila sifat ini lemah, sehingga dikalahkan oleh dorongan hawa nafan dan tidak mampu bersabar untuk menolaknya, dia termasuk di kalangan pengikut syaitan. Apabila terbukti bahawa sabar itu merupakan suatu kekuatan dorongan agama yang tetap teguh dalam menundukkan kehendak hawa nafsu, jelaslah bahawa ia hanya berlaku kepada manusia.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment