Friday, 12 November 2021

SIRI 173 - SABAR Bahagian 4


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar Dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Sabar
Sub Tajuk: Bagaimana Bersabar Menghadapi Suasana Sukar

Halaman Rujukan Kitab : 478

Mudarasah berlangsung pada minit ke 0:45

Nota Mudarasah:

Kedua: Perkara yang berlawanan dengan kehendak nafsunya. Ia terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Bersabar dalam mengerjakan ketaatan. Setiap hamba memerlukan kesabaran dalam mengerjakan ketaatan, kerana tabiat yang ada pada nafsu sememangnya membenci perhambaan diri. Ada di antara ibadat yang dibenci oleh nafsu dengan sebab malas seperti ibadat sembahyang, ada yang dibenci kerana bakhil seperti ibadat zakat dan ada yang dibenci kerana kedua-duanya (malas dan bakhil) seperti ibadat haji dan jihad.

Orang yang ingin beribadat perlu bersabar pada tiga keadaan: i. Sebelum mengerjakan ibadat di mana dia perlu membetulkan niat, ikhlas dan sabar dari pengaruh riya'.

ii. Semasa mengerjakan ibadat tersebut, dia tidak boleh lalai dari mengingati Allah serta tidak malas dalam melak sanakan adab-adab dan sunat- sunatnya. Dia hendaklah bersabar terhadap faktor-faktor yang boleh melemahkan nya sehingga selesai menunaikan ibadatnya itu.

iii. Setelah selesai mengerjakan ibadat tersebut. Ketika itu dia hendaklah bersabar dari menghebohkan dan menunjuk nunjuk semata-mata untuk riya' dan sum'ah (diketahui orang atau masyhur). Dia juga perlu menjauhkan dirinya dari semua perkara yang boleh membatalkan amalannya. Sesiapa yang bersedekah tetapi tidak bersabar dari mengungkit dan menyakiti hati, nescaya pahala amalan sedekahnya itu akan terbatal.

2. Bersabar dari mengerjakan maksiat. Setiap hamba amat memerlukan kesabaran ini. Di sana terdapat maksiat-maksiat yang mudah dilakukan seperti maksiat lidah iaitu mengumpat, bohong, berdebat dan seumpamanya. Bersabar terhadap perkara perkara ini adalah lebih sukar. Oleh kerana itu, kamu dapati bahawa apabila seseorang itu memakai sutera, dia memandang buruk atau suatu yang mungkar terhadapnya, tetapi tidak pula merasa demikian apabila dia mengumpat walaupun dilakukan sepangjang harinya. Orang yang tidak dapat menjaga lidahnya dalam percakapan harian dan tidak berdaya untuk bersabar, dia tidak akan terselamat melainkan dengan beruzlah.

3. Bersabar terhadap perkara yang di luar kehendak dan pilihannya, seperti musibah yang melanda. Contohnya kematian seorang yang dikasihi, hilang harta benda, buta mata, sakit dan semua jenis musibah yang lain. Sabar terhadapnya adalah di antara maqam yang tertinggi kerana sandaran kepada kesabaran itu adalah keyakinannya kepada Allah. Sabda Nabi s.a.w.

من يرد الله به خيرا يصب منه
Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan terhadapnya Dia akan mengujinya dengan ditimpakan musibah.¹

Sabar menghadapi gangguan kejahatan manusia lain adalah setinggi-tinggi tahap kesabaran. Firman Allah Taala:

وإن تصبروا وتتقوا فإن ذلك من عزم الأمور
Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).
(Aali-Imran: 186)


ولقد نعلم أنك يضيق صدرك بما يقولون
Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka perkatakan.
(Al-Hijr: 97)


________________________
1 Riwayat al-Bukhari (5645), Ahmad (7234), Malik (2/229), an-Nasaie dalam kitab al-Kubra sebagaimana juga dalam kitab Tuhfatul Asyraf (10/77), al Qudhoie dalam Musnad as-Syihab (344) dan al-Baghawi (1420) daripada Abu Hurairah r.a.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment