Sunday, 14 November 2021

SIRI 175 - SABAR Bahagian 6


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar Dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Sabar
Sub Tajuk: Adab-Adab Sabar

Halaman Rujukan Kitab : 482

Mudarasah berlangsung pada minit ke 6:24

Nota Mudarasah:

Adab-adab Sabar

Diantara adab orang yang bersabar ialah:

i. Bersabar ketika mula ditimpa musibah atau ketika mengetahui musibah yang melanda. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Sesungguhnya sabar adalah pada kejutan pertama musibah yang berlaku.¹

ii. Merujuk atau kembali kepada Allah Taala dengan ucapan Innaa lillaahi wainna ilaihi raji'uun (al-istirja). Ini berdasarkan hadis riwayat Muslim daripada Ummi Salamah r.ha.²

iii. Menenangkan badan dan lidah ketika ditimpa sesuatu musibah. Manakala menangis adalah harus dan bukannya satu kesalahan.

Sebahagian cendikiawan Islam berkata: Menzahirkan kesedihan (dengan memukul muka dan seumpamanya) tidak akan mengembalikan apa yang telah lepas berlalu, tetapi ia menggembirakan orang yang dengki kepadanya (kerana seronok melihat keadaan sedihnya itu).

iv. Antara adab kesabaran yang baik ialah tidak menampakkan kesan daripada musibah yang menimpa dirinya, sebagaimana yang dilakukan oleh Ummu Sulaim r.ha, isteri Abu Talhah r.a. ketika kematian anaknya. Hadisnya masyhur dalam kitab sahih Muslim.²

Thabit al-Bannaní menceritakan: Abdullah bin Mutorrif telah meninggal dunia, lalu bapanya (Mutorrif) keluar menemui kaumnya dalam keadaan berpakaian cantik dan berbau wangi. Lalu kaumnya memarahinya dan berkata: Abdullah baru sahaja meninggal, tetapi kamu sudah keluar dengan pakaian yang sebegini cantik dan bauan yang harum semerbak. Lalu dia menjawab: Apakah aku perlu tewas dengan ujian ini? Sesungguhnya Allah Taala telah menjanjikan kepada aku dengan tiga perkara, di mana setiap perkara tersebut aku lebih sukakannya daripada dunia dan segala isinya. Lalu beliau membaca firman Allah Taala:

الذين إذا أصبتهم مصيبة قالوا إنا لله وإنا إليه راجعون (56) أوليك عليهم صلوات من ربهم ورحمة وأوليك هم المهتدون
(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk-Nya.
(Al-Baqarah: 156 & 157)


Kemudian Mutorrif berkata: Aku lebih suka jika aku dihukum didunia ini lagi walaupun pada hari akhirat kelak aku hanya diberikan nikmat sekadar secebuk air (asalkan aku tidak diazab di sana).

__________________________________________________
1 Riwayat al-Bukhari (3/138) dan Muslim (626) daripada Anas r.a.. Hadis sahih.
2 Riwayat Muslim (918), Malik (1/236), Abu Daud (3119) dan at-Tirmizi (3506).
3 Riwayat Muslim (2144) dan al-Bukhari (3/135) daripada Anas r.a..

__________________________________________________

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment