Saturday, 20 November 2021

SIRI 181 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar Dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Syukur
Sub Tajuk: Bagaimana Bersyukur?

Halaman Rujukan Kitab : 490

Mudarasah bermula pada minit ke 4:39

Nota Mudarasah:

Bersyukur Melalui Hati, Lidah dan Anggota Badan

Syukur boleh berlaku dengan hati, lidah dan anggota badan. Syukur dengan hati ialah berniat melakukan kebaikan dan menyembunyikannya daripada pengetahuan makhluk seluruhnya. Syukur dengan lidah ialah menzahirkan perasaan syukur kepada Allah dengan lafaz memuji-Nya (at-tahmid). Manakala syukur dengan anggota badan ialah menggunakan nikmat Allah untuk mentaati-Nya dan menghindarkan diri dari menggunakannya untuk tujuan maksiat kepada-Nya.

Sesiapa yang bersyukur terhadap nikmat kedua matanya, dia akan menutupi keaiban seseorang Islam yang dilihatnya. Bersyukur terhadap nikmat kedua telinga pula ialah menutupi segala keaiban yang didengarinya. Semua ini termasuk dalam makna mensyukuri nikmat anggota badan.

Manakala bersyukur dengan lidah ialah dengan menzahirkan perasaan reda terhadap Allah. Sikap ini mesti diwujudkan dalam diri setiap manusia. Sabda Rasulullah s.a.w.:

التحدث بالنعم شكر وتركها كفر
Memperkatakan tentang nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah adalah tanda syukur dan meninggalkannya pula adalah tanda kufur (kufur nikmat).¹


Diriwayatkan bahawa dua orang lelaki dari golongan Ansar telah bertemu sesama mereka. Salah seorang darinya bertanya: Bagaimana keadaan pagimu? Sahabatnya itu menjawab: Alhamdulillah. Lalu Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Wahai sahabatku sekelian! Hendaklah kamu semua berkata sepertinya.²

Diriwayatkan, seorang lelaki telah memberi salam kepada Umar bin al-Khattab, lalu Umar menjawab salam tersebut dan bertanya: Bagaimana keadaan pagimu? Lelaki itu menjawab: Alhamdulillah. Mendengarkannya, Umar lalu berkata: Itulah yang aku mahukan. Golongan salaf terdahulu saling bertanya khabar antara satu sama lain semata-mata untuk menunjukkan perasaan syukur kepada Allah Taala. Oleh itu, orang yang bersyukur adalah orang yang melakukan kerja taat manakala orang yang bertanya khabar juga melakukan kerja taat (kedua-duanya mendapat pahala).

Abu Abdul Rahman al-Hubuli berkata: Apabila seseorang memberi salam kepada seorang yang lain dan bertanya: Bagaimana keadaan pagimu? Orang yang ditanya itupun menjawab: Alhamdulillah, pada masa itu malaikat yang berada di kirinya akan bertanya kepada malaikat di sebelah kanan: Bagaimana kamu menulis perbuatannya ini? Malaikat di sebelah kanan menjawab: Aku menulisnya di kalangan orang yang memuji-muji Allah Taala.

Ketika Abu Abdul Rahman ditanya: Bagaimana keadaan pagimu? Beliau menjawab: Saya memuji Allah untuk kamu dan semua makhluk-Nya.

__________________________________________________
1 Riwayat Ahmad (4/278, 375), al-Kharaiti dalam Fadhilatus Syukr (83), Abu Syeikh dalam al-Amthal (111) dan Ibnu Abu Dunia dalam as-Syukr (64) daripada Nu'man bin Basyir r.a.. Hadis hasan.
2 Setakat sumber rujukan yang ada padaku, aku tidak menemui riwayat seperti ini. Dan ulamak telah berselisih pendapat mengenainya.

__________________________________________________

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment