Thursday, 21 April 2022

SIRI 333 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Sifat-sifat Syurga (Semoga Allah Mengurniakannya kepada Kita)

Halaman Rujukan Kitab : 720

Nota Mudarasah:

Dalam riwayat lain menyebut, maksudnya:
Setiap seorang akan memperolehi dua orang isteri yang sungguh cantik dan putih melepak sehingga kelihatan gebu isi kedua betis mereka. Mereka umpama satu hati, tidak akan bertengkar atau membenci antara satu sama lain. Mereka sentiasa bertasbih kepada Allah siang dan malam.

Abu Musa al-Asy'ari r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
جِنَّتَانِ مِنْ فِضَّةٍ، آنِيَتُهُمَا وَمَا فِيهِمَا وَجَنَّتَانِ مِنْ ذَهَبٍ آنِيَتُهُمَا وَمَا فِيهِمَا، وَمَا بَيْنَ الْقَوْمِ وَبَيْنَ أَنْ يَنْظُرُوا إِلَى رَبِّهِمْ إِلَّا رِدَاءُ الْكِبْرِ عَلَى وَجْهِهِ فِي جََّةِ عَدْنٍ
Dua buah syurga di mana bekas dan segala isinya diperbuat daripada perak, manakala dua buah syurga lagi, bekas dan segala isinya diperbuat daripada emas. Tiada halangan antara manusia untuk melihat Tuhan mereka melainkan pakaian kesombongan yang diletakkan oleh Allah s.w.t. di hadapan-Nya dalam syurga Adn.⁷⁹⁴
794 Riwayat al-Bukhari (8/479) dan Muslim (180).

Dalam hadis as-Sohihain⁷⁹⁵ juga ada menyebut riwayat Abu Musa r.a. di mana Rasulullah s.a.w telah bersabda:
795 Riwayat al-Bukhari (6/229), Muslim (2838) dan at-Tirmizi
إِنَّ فِي الْجَنَّةِ لَخَيْمَةً مِنْ دُرَّةٍ مُجَوَّفَةٍ عَرْضُهَا سِتُّونَ مِيلاً فِي كُلَّ زَاوِيَةٍ مِنْهَا أَهْلٌ مَا يَرَوْنَ الآخَرِينَ يَطُوفُ عَلَيْهِمُ الْمُؤْمِنُ
Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat satu khemah yang diperbuat daripada mutiara yang melengkung, lebarnya sepanjang 60 batu. Di setiap penjurunya ada penghuni di mana mereka tidak dapat melihat penghuni-penghuni di penjuru-penjuru yang lain. Orang yang beriman berjalan mengelilingi (menziarahi) mereka.


Ketahuilah bahawa Allah s.w.t. telah menyebut pelbagai kenikmatan syurgawi secara terperinci pada banyak tempat dalam al-Quran, kemudian menghimpunkan segala sifat-sifatnya dalam beberapa ayat. Antaranya:

Firman Allah s.w.t:
وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنْفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ
Dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata.
( Az-Zhukruf : 71 )


لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا
(Dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
( Al-Kahfi : 108 )


Kemudian ditambah lagi dengan firman-Nya:
فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ
Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan.
( As-Sajadah : 17 )


Sifat-sifat syurga⁷⁹⁶ itu terlalu banyak. Memadailah jika kami menyebut sifat-sifat tersebut dalam bentuk kesimpulan sebagaimana dalam beberapa ayat di atas.
796 Sila rujuk risalah karanganku bertajuk al-Jannah: Na'iemuha wa at Tariiqu Ilaiha. Ia adalah cetakan yang senang diperolehi.

Setinggi-tinggi nikmat dalam syurga ialah melihat Allah s.w.t.. Dalam as-Sohihain⁷⁹⁷, terdapat hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
797 Riwayat al-Bukhari (11/387) dan Muslim (182).
قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ! هَلْ نَرَى رَبَّنَا؟ فَقَالَ: هَلْ تُضَارُّونَ فِي الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ، لَيْسَ دُونَهُ سَحَابٌ؟ قَالُوا لَا يَا رَسُولَ اللهِ. قَالَ: فَإِنَّكُمْ تَرَوْنَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذٰلِكَ
Rasulullah s.a.w. ditanya: Adakah kita akan dapat melihat Tuhan kita? Rasulullah s.a.w. bertanya kembali: Adakah membawa mudarat kepada kamu ketika melihat bulan purnama yang tidak dilitupi oleh awan? Para sahabat menjawab: Tidak. Rasulullah bersabda: Begitulah kamu akan melihat-Nya pada hari akhirat kelak.


Keluasan Rahmat Allah

Kami mengakhiri kitab ini dengan menyebut betapa luas nya rahmat Allah s.w.t.. Dengan rahmat tersebut, kita sentiasa mengharapkan kurniaan dari-Nya. Ini kerana kita tidak mem punyai apa-apa amalan yang melayakkan kita untuk berharap bagi mendapatkan keampunan-Nya. Tetapi dengan rahmat dan kemuliaan-Nya itulah kita boleh mengharapkan keampunan dari Nya. Firman Allah s.w.t.:
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
( Az-Zumar : 53 )


Abu Hurairah r.a. meriwayatkan: Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَمَّا قَضَى اللهُ الْخَلْقَ كَتَبَ فِي كِتَابِهِ، فَهْوَ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ إِنَّ رَح~مَتِي غَلَبَتْ غَضَبِي
Setelah Allah s.w.t. menciptakan makhluknya, Dia menulis dalam satu buku yang ada bersama-Nya di atas Arasy: Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku. ⁷⁹⁸
798 Riwayat al-Bukhari (13/325) dan Muslim (2751)

Abu Hurairah r.a. juga meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
إِنَّ ِللهِ مِائَةَ رَحْمَةٍ أَنْزَلَ مِنْهَا رَحْمَةً وَاحِدَةً بَيْنَ الْجِنِّ وَالإِنْسِ وَالْبَهَائِمِ وَالْهَوَامِّ فَيِهَا يَتَعَاطَفُونَ وَبِهَا يَتَرَاحَمُونَ وَبِهَا تَعْطِفُ الْوَحْشُ عَلَى وَلَدِهَا وَأَخَّرَ اللهُ تِسْعَا وَتِسْعِينَ رَحْمَةَ يَرْحَمُ بِهَا عِبَادَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Sesungguhnya Allah memiliki seratus rahmat. Allah telah menurunkan satu daripadanya ke bumi untuk dinikmati bersama oleh manusia, jin dan bintang-binatang. Dengan rahmat itu mereka semua berbelas kasihan dan berkasih sayang. Dengannya juga binatang-binatang buas dapat menyayangi anaknya. Manakala 99 rahmat lagi, Allah menangguhkannya untuk diberikan kepada hamba-Nya pada hari kiamat.⁷⁹⁹
799 Riwayat al-Bukhari (10/362) dan Muslim (2752).

Ibnu Abbas r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى رَحِيْمٌ. مَنْ هَمَّ بِحَسَنَةِ وَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبْتُهَا لَهُ حَسَنَةً فَإِنْ عَمِلَهَا كَتَبْتُهَا عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ وَإِذَا هَمَّ بِسَيِّئَةٍ وَلَمْ يَعْمَلْهَا لَمْ أَكْتُبْهَا عَلَيْهِ فَإِنْ عَمِلَهَا كَتَبْتُهَا سَيِّئَةً وَاحِدَةً أَوْ يَمْحُوْهَا اللهُ وَلَا يَهْلِكُ عَلَى اللهِ تَعَالَى إِلَّا هَالِكٌ
Sesungguhnya Tuhan kamu bersifat Maha Penyayang. Sesiapa yang berniat melakukan kebaikan, sedangkan dia masih belum melakukannya, akan ditulis satu kebajikan untuknya. Jika dia melaksanakannya, akan ditulis untuknya sepuluh hingga tujuh ratus kebajikan. Barang siapa yang berniat melakukan kejahatan tetapi tidak melakukannya, akan ditulis satu kebajikan untuknya. Jika dia melakukannya, akan ditulis satu dosa untuknya, ataupun Allah akan menghapuskan dosanya nanti. Allah sekali-kali tidak membinasakan sesiapa tetapi dialah yang membinasakan dirinya sendiri.⁸⁰⁰
800 Riwayat al-Bukhari (11/277) dan Muslim (130,131),

Abu Zar r.a. juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Allah s.w.t telah berfirman: Barang siapa yang melakukan satu kebajikan, Aku akan berikan pahala kepadanya 10 kali ganda ataupun lebih lagi. Barang siapa yang melakukan satu kejahatan, Aku akan membalas kejahatan itu dengan satu dosa atau Aku akan ampunkannya. Siapa yang melakukan amalan untuk menghampiri-Ku sekadar sejengkal, maka Aku akan menghampirinya sebanyak satu hasta. Barang siapa yang menghampiriku dengan satu hasta, Aku akan menghampirinya dengan satu depa. Siapa yang datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan pergi kepadanya dengan berlari.⁸⁰¹
801 Riwayat Muslim (2687).

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Seorang lelaki telah melakukan satu dosa lalu dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa maka ampunilah aku. Allah s.w.t. berfirman: Hambaku ini menyedari dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa-dosanya lalu dia meminta ampun. Ketahuilah sesungguhnya aku telahpun mengampuninya. Kemudian dia berhenti melakukan dosa tersebut dalam beberapa tempoh yang tertentu. Kemudian dia sekali lagi melakukan dosa yang lain. Lalu dia berdoa: Wahai Tuhan, aku telah melakukan dosa, ampunilah aku. Allah berkata: Hambaku menyedari dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa-dosanya lalu dia meminta ampun. Ketahuilah sesungguhnya aku telahpun mengampuninya. Lelaki itu berhenti melakukan dosa tersebut dalam beberapa tempoh tertentu. Kemudian dia sekali lagi melakukan dosa yang lain. Lalu dia berdoa: Wahai Tuhan, aku telah melakukan dosa, ampunilah aku. Allah berkata: Hambaku menyedari dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dosanya lalu dia meminta ampun. Aku bersaksi dengan kamu semua bahawa Aku telahpun mengampuninya. Maka buatlah apa sahaja yang dingininya.⁸⁰²
802 Riwayat al-Bukhari (7507) dan Ahmad (2/296, 405, 492).

Semua hadis di atas adalah sahih.

Dalam as-Sohihain⁸⁰³ juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab r.a. katanya:
803 Riwayat al-Bukhari (10/360) dan Muslim (275-4).
Sekumpulan tawanan perang telah dibawa mengadap Rasulullah s.a.w.. Ketika salah seorang tawanan perempuan sedang berjalan-jalan, tiba-tiba dia mendapati seorang bayi yang juga termasuk dalam kumpulan tawanan tersebut. Setelah mendapatkan bayi tersebut, perempuan itu terus memeluknya dan menyusukannya. Melihatkan keadaan itu, Rasulullah s.a.w. pun bersabda: Adakah kamu rasa perempuan itu sanggup mencampakkan anaknya itu ke dalam api?. Para sahabat menjawab: Sudah tentu tidak. Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah mengasihani hamba hamba-Nya lebih dari perempuan itu mengasihani anaknya.

Dalam as-Sohihain⁸⁰⁴ juga menyebut riwayat Abu Zar r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
804 Riwayat al-Bukhari (3/88) dan Muslim (94).
Setiap hamba yang mengucap: 'La Ilaha Illallah' (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah), kemudian dia mati dalam keadaan berpegang dengan kalimah yang diucapkan itu, dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Aku bertanya: Walaupun dia pernah berzina dan mencuri?. Rasulullah s.a.. menjawab: Ya, sekalipun dia pernah berzina dan mencuri. Rasulullah mengulanginya sebanyak tiga kali dan pada kali keempatnya, baginda bersabda: Walaupun Abu Zar tidak setuju.

Dalam as-Sohihain juga meriwayatkan daripada Itban bin Malik r.a. katanya: Nabi s.a.w bersabda:
إِنَّ اللهَ حَرَّمَ النَّارَ عَلَى مَنْ قَالَ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ يَبْتَغِي بِذٰلِكَ وَجْهَ اللهِ
Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengharamkan neraka ke atas mereka yang menyebut 'La Ilaha Illallah', semata-mata kerana mengharapkan keredaan Allah.⁸⁰⁵

805 Riwayat al-Bukhari (2/132) dan Muslim (33).

Dalam as-Sohihain⁸⁰⁶ juga menyebut hadis Anas bin Malik r.a., daripada Nabi s.a.w. sabdanya:
806 Riwayat al-Bukhari (13/395) dan Muslim (193).
أَخْرِجُوا مِنَ النَّارِ مَنْ قَالَ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ وَكَانَ فِي قَلْبِهِ مِنَ الْخَيْرِ مَا يَزِنُ شَعِيرَةً أَخْرِجُوا مِنَ النَّارِ مَنْ قَالَ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ وَكَانَ فِي قَلْبِهِ مِنَ الْخَيْرِ مَا يَزِنُ بُرَّةً أَخْرِجُوا مِنَ النَّارِ مَنْ قَالَ لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ وَكَانَ فِي قَلْبِهِ مِنَ الْخَيْرِ مَا يَزِنُ ذَرَّةً
Dikeluarkan dari neraka orang yang mengucap La Ilaha Illallah' sedang dalam hatinya hanya mempunyai kebaikan seberat satu biji barli. Dikeluarkan dari neraka orang yang mengucap 'La Ilaha Illallah' sedang di dalam hatinya hanya ada kebaikan seberat satu biji gandum. Dikeluarkan dari neraka orang yang mengucap 'La Ilaha Illallah' sedang di dalam hatinya hanya ada kebaikan seberat satu zarrah.


Daripada Abu Musa r.a.⁸⁰⁷ katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
807 Riwayat Muslim (2767). Ahmad (4/402), Ibn Majah (4292) dan al-Baghawi (4324).
إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ دَفَعَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى كُلِّ مُسْلِمٍ يَهُودِيًّا أَوْ نَصْرَانِيًّا فَيَقُولُ هٰذَا فَكَاكُكَ مِنَ النَّارِ
Apabila tiba hari kiamat, setiap mukmin akan didatangkan dengan seorang yahudi atau nasrani sehingga dia mengadapnya, lalu dikatakan kepadanya: Inilah penebus kamu dari memasuki api neraka.

Abdullah bin Amru bin al-'As r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
Pada hari kiamat, seorang di kalangan umatku dihadapkan kepada Allah s.w.t. di depan khalayak ramai. Lalu dibentang. kan sebanyak 99 buah catatan amalannya. Setiap satunya sejauh mata memandang. Kemudian Allah berfirman: Adakah kamu ingin menafikannya? Adakah penulis-penulisku telah menzalimimu (dengan menulis sesuatu yang tidak kamu lakukan)? Dia menjawab: Tidak wahai Tuhanku. Allah berfirman lagi: Adakah kamu mempunyai apa-apa alasan atau kebajikan yang lain? Lelaki itu tercengang seketika, kemudian berkata: Tidak wahai Tuhanku. Lalu Allah berfirman: Bahkan, sesungguhnya kamu ada satu kebajikan di sisi Kami dan pada hari ini kamu tidak akan dizalimi. Lalu dikeluarkan satu kad yang tertulis padanya: "La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah (Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah). Allah berfirman: Timbangkanlah beratnya. Lelaki itu berkata: Apalah nilainya kad yang kecil ini berbanding seluruh catatan amalan jahat itu. Lalu dikatakan kepadanya: Kamu tidak akan dizalimi pada hari ini. Kemudian diletakkan catatan-catatan amalannya pada sebelah timbangan dan kad tersebut pada sebelah yang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda: Lalu timbangan seluruh catatan tersebut terangkat kerana beratnya timbangan kad tersebut. Tiada sesuatu pun yang setanding beratnya dengan nama Allah Azzawajalla.⁸⁰⁸
808 Riwayat Ahmad (2/213.221), at-Tirmizi (2639), Ibnu Majah (4300), Ibnu Hibban (2524-Mawarid), al-Hakim (1/6,529) dan al-Baghawi dalam kitab Syarhus Sunnah (15/133) dengan sanad yang sahih.

Al-Fudhail bin Iyadh telah memerhatikan keadaan manusia yang sedang bertasbih dan menangis pada hari Arafah, lalu beliau berkata: Jika mereka semua ini pergi meminta satu danaq⁸⁰⁹ dari seseorang, adakah dia akan menolak permintaan mereka?. Dijawab kepadanya: Tentu tidak akan ditolak. Lalu beliau berkata: Demi Allah, keampunan Allah adalah lebih senang diperolehi di sisi Allah daripada satu danaq yang dia diberikan oleh lelaki tersebut kepada mereka.
809 Satu danaq bersamaan dengan satu perenam dirham.

Ibrahim bin Adham berkata: Aku telah melakukan tawaf secara bersendirian pada suatu malam yang gelap gelita dalam keadaan hujan yang lebat sehingga tiba waktu sahur, Kemudian aku mengangkat tangan ke langit dan berdoa: Wahai Tuhanku, aku memohon pada-Mu agar memeliharaku dari segala perkara yang Engkau benci. Tiba-tiba terdengar suatu suara di udara berkata: Bukan kamu sahaja yang meminta pemeliharaan dari-Ku, bahkan semua makhluk memintanya. Kalau aku pelihara dirimu dari segala dosa, kepada siapa pula yang Aku akan muliakannya nanti dengan keampunan-Ku?.

Kesemua hadis di atas, di samping hadis-hadis yang kami telah utarakan dalam bab ar-Rajaa' (pengharapan) sebelum ini, sebenarnya memberi berita gembira kepada kita, betapa Allah s.w.t. adalah Tuhan yang bersifat dengan sifat kemuliaan dan betapa luasnya sifat rahmat dan pemurah-Nya terhadap hamba hamba-Nya. Kita mengharapkan agar Allah tidak melayani kita berdasarkan apa yang layak bagi kita⁸¹⁰ dan memberikan kemuliaan keampunannya kepada kita di atas sifat ketuhanan-Nya yang Maha Agung lagi Maha Pengampun.
810 Kerana sebenarnya manusia dengan segala amalan dan dosanya tidak layak memasuki syurga Allah. Justeru, doa ini memohon agar Allah tidak melayani kita berdasarkan apa yang kita layak menerimanya tetapi mengurniakan rahmat-Nya dengan mengampuni kita dan memasukkan kita ke syurga-pent.

Kami memohon keampunan daripada Allah terhadap segala ucapan dan perkataan yang tidak selari dengan perbuatan dan tindakan kami. Begitu juga terhadap segala perkara yang dibuat semata-mata untuk menunjukkan kelebihan dan kebaikan kami kepada manusia. Kami juga memohon keampunan dari-Mu di atas kecuaian kami dalam melakukan perkara-perkara yang boleh mencemari ilmu dan amalan kami. Dengan sifat kemuliaan-Nya kami meminta syafaat dan dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah kami memohon kurnia dari kebaikan-Nya. Sesungguhnya Allah sangat hampir dan Maha Menerima permintaan hamba-hamba-Nya.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian Alam, pujian yang banyak dan penuh berkat sepertimana yang disukai dan diredai oleh Tuhan kami dan juga yang layak dengan kemuliaan-Nya Azzawajalla.⁸¹¹
811 Amin, segala pujian hanyalah kepada Allah, tuhan yang mencipta dan mentadbir seluruh alam. Alhamdulillah, dengan taufik dari-Nya, komentar atau ta'liq ke atas kitab yang penuh keberkatan ini dapat disempurnakan.

Selawat dan salam Allah ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. serta ke atas seluruh ahli keluarga dan sahabat baginda dengan salam yang sebanyak-banyaknya.

-Tamat-


Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment