Wednesday, 13 July 2022

SIRI 413 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 2: Adat Kebiasaan

Bab 8: Adab-Adab Makan, Berkumpul, Menghadap Hidangan Dan Bertemu

Tajuk 1 Mudarasah: Jangan Masuk Ke Satu Tempat yang Terdapat Satu Kumpulan Sedang Makan
Tajuk 2 Mudarasah: Adab-adab Menerima Tetamu
Tajuk 3 Mudarasah: Adab-adab Menyahut Jemputan

Halaman Rujukan Kitab : 113

Nota Mudarasah:

Jangan Masuk Ke Satu Tempat yang Terdapat Satu Kumpulan Sedang Makan

Seseorang itu tidak seharusnya masuk ke satu tempat jika dia mengetahui di situ ada kumpulan yang sedang makan. Sekiranya dia terserempak secara kebetulan, lalu mereka mengajaknya makan bersama, hendaklah dia selidiki sama ada ajakan itu kerana mereka segan kepadanya atau sebab-sebab yang lain. Jika mereka menjemputnya kerana rasa malu dan segan, dia hendaklah menolak dengan cara baik. Jika ajakan tersebut kerana mereka sememangnya sangat suka sekiranya dia makan bersama, dia hendaklah menerima dan makan bersama mereka.

Sesiapa yang masuk ke rumah kawannya ketika dia tiada di situ, dia harus makan makanan yang ada jika dia tahu kawannya itu pasti gembira apabila mengetahuinya.

Adab-adab Menerima Tetamu

Antara adab-adab menerima tetamu (menjadi tuan rumah) ialah:

i. Menjemput orang yang bertakwa untuk menjadi tetamu, bukannya orang yang fasik. Sebahagian ulamak salaf berkata: Hendaklah kamu makan makanan orang yang bertakwa dan hendaklah orang yang bertakwa sahaja yang memakan makanan kamu.¹⁷⁰
170 Diriwayatkan secara marfu' daripada hadis Abu Said al-Khudri ra.. Riwayat Abu Daud (4832), at-Tirmizi (2397) dan Ibnu Hibban (2049 mawarid) dengan sanad hasan.

ii. Lebih mengutamakan fakir miskin daripada orang kaya.

iii. Tidak seharusnya mengabaikan kaum kerabatnya dalam melayani mereka sebagai tetamunya. Pengabaian tersebut boleh merenggang dan memutuskan hubungan silaturrahim.

iv. Hendaklah mengambil kira tertib atau susunan jemputan di kalangan rakan dan kenalan.

v. Jemputan dibuat bukan dengan tujuan berbangga-bangga dan bermegah-megah tetapi kerana mengikut sunnah yang menganjurkan supaya memberi makan agar dapat mendekatkan hati sesama muslim dan menggembirakan hati orang beriman.

vi. Jangan menjemput seseorang yang dia tahu bahawa dia berkeberatan untuk menerimanya ataupun seseorang yang boleh menyebabkan dirinya tidak tenang dan sakit hati disebabkan hadirin yang lain dengan sebab-sebab tertentu.

Adab-adab Menyahut Jemputan

Antara adab-adab menyahut jemputan ialah:

i. Jika jemputan untuk menghadiri majlis kenduri hari perkahwinan, wajib dia menyahut dan menghadirinya. Jika jemputan yang lain, hukum menyahutnya adalah harus. Kemudian tidak seharusnya menerima jemputan golongan kaya sahaja sebaliknya menolak jemputan orang miskin.

ii. Jangan menolak sesuatu jemputan semata-mata kerana puasa (sunat). Hendaklah dia menghadirinya. Jika dia berpuasa sunat dan dia tahu jika dia berbuka akan menggembirakan saudaranya yang muslim, dia hendaklah berbuka.

iii. Sekiranya makanan yang disediakan itu haram, dia hendaklah menolak jemputan tersebut. Demikian juga jika majlis tersebut mempunyai perkara-perkara yang haram seperti hamparan-hamparan, bekas-bekas, seruling atau gambar yang diharamkan. Dia juga hendaklah menolak jemputan orang yang zalim, fasik, ahli bid'ah atau seseorang yang hanya ingin bermegah-megah.

iv. Menyahut dan menghadiri jemputan bukanlah kerana mahu makan tetapi hendaklah berniat kerana mengikut sunnah, memuliakan saudaranya yang beriman serta mengelakkan dirinya daripada disangka buruk oleh orang lain. Boleh jadi orang akan berkata "dia ini seorang yang sombong", jika dia menolak jemputan tersebut.

v. Hendaklah bersifat tawaduk ketika berada dalam majlis dan jangan duduk terkehadapan (untuk menonjolkan dirinya). Jika tuan rumah memberikan satu tempat untuknya, jangan pula dia melampauinya.

vi. Jangan selalu memandang-mandang ke arah datangnya makanan kerana ia menggambarkan sikap pelahapnya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment