Sunday, 17 July 2022

SIRI 417 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 2: Adat Kebiasaan

Bab 9: Perkahwinan: Adab-Adab Dan Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Penyakit-penyakit Perkahwinan

Halaman Rujukan Kitab : 119

Nota Mudarasah:

Pergaulan yang Baik

Untuk mendapatkan pergaulan yang baik, seseorang calon isteri itu hendaklah memiliki beberapa ciri berikut:

i. Agama. Ini adalah perkara yang paling asas kerana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
Hendaklah kamu memilih perempuan yang beragama (berpegang dengan ajaran agamanya).¹⁷³
173 Riwayat Muslim (715) daripada Jabir r.a. dan selainnya dalam hadis sahihain daripada Abu Hurairah r.a.

Sekiranya dia tidak mempunyai asas agama yang kuat, dia akan merosakkan agama suaminya bahkan boleh membebankan si suami. Apatah lagi sekiranya isteri terlalu kuat cemburu, sudah pasti menimbulkan kekacauan dan mengeruhkan suasana kehidupan.

ii. Berakhlak mulia. Ini kerana akhlak yang buruk lebih banyak mendatangkan mudarat daripada manfaat.

iii. Tubuh badan yang menarik. Ini juga dituntut kerana ia dapat mengukuhkan perkahwinan. Oleh itu syarak memerintahkan supaya melihat perempuan yang ingin dipinang. Sesetengah golongan, mereka tidak melihat kepada kecantikan kerana mereka berkahwin bukan untuk berseronok. Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad r.hm. telah memilih seorang perempuan yang juling matanya walaupun perempuan tersebut mempunyai saudarinya yang lebih cantik. Walau bagaimanapun, fenomena ini jarang berlaku kerana kehendak naluri manusia adalah sebaliknya.

iv. Mahar yang sederhana. Sa'id bin al-Musayyib telah mengahwinkan anak perempuannya dengan mahar hanya dua dirham. Umar r.a. pernah berkata: Janganlah kamu berlebih-lebihan atau keterlaluan dalam masalah mahar perempuan.

Sebagaimana makruh pihak perempuan melampau dalam menentukan kadar maharnya, demikianlah juga pihak lelaki makruh bertanya tentang harta yang dimiliki pihak perempuan.

At-Thauri berkata: Apabila seorang lelaki berkahwin dan berkata: Manakah harta yang menjadi milik orang perempuan?, ketahuilah dia adalah pencuri.

v. Dara. Syarak menuntutnya kerana ia akan menyuburkan perasaan cinta. Kemanjaannya terhadap suami adalah lebih kuat berbanding dengan seorang janda. Hasilnya akan termeterailah kasih sayang. Naluri manusia secara semulajadinya akan merasa lebih mesra dengan orang yang baru kali pertama mahu berjinak dan bermesra. Kasih sayang suaminya kepadanya akan menjadi lebih sempurna kerana naluri kebanyakan manusia tidak menginginkan wanita yang sudah disentuh oleh orang lain.

vi. Wanita yang subur.

vii. Keturunan, iaitu dari keluarga yang beragama dan baik.

viii. Dia seorang yang asing.¹⁷⁴
174 laitu bukan dari lingkungan kaum keluarga atau kerabat sendiri-pent.

Jika lelaki disuruh melihat perempuan yang ingin dipinangnya, wali pihak perempuan pula dituntut agar melihat aspek keagamaan, akhlak dan keadaan lelaki yang meminang. Ini kerana dengan perkahwinan, wanita akan dimiliki dan dikawal oleh suami, Sekiranya si wali mengahwinkan anaknya dengan suami yang fasik atau ahli bid'ah, dia telah melakukan satu kesalahan yang besar terhadap anak perempuannya dan juga ke atas dirinya sendiri.

Seorang lelaki telah berkata kepada al-Hassan: Orang yang macam manakah patut aku kahwinkan dengan anak perempuanku? Beliau menjawab: Orang yang bertakwa kepada Allah. Jika dia menyayangi isterinya dia akan memuliakannya tetapi jika dia memarahinya dia tidak akan menzaliminya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment