Friday, 28 May 2021

SIRI 6 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 17: Keajaiban Hati

Tajuk Mudarasah: Hati Yang Teguh Di Atas Kebaikan (Bahagian 1)

Halaman Rujukan Kitab : 257

Nota Mudarasah:

Terdapat hadis yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. seringkali berdoa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قُلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ. يَا مُصَرِّفَ القُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu. Wahai yang memalingkan hati-hati, palingkan hati kami ke arah mentaati-Mu.³⁴⁰ ”
340 Keratan hadis yang pertama adalah riwayat at-Tarmizi (2141) daripada Anas r.a. Keratan yang kedua pula dari riwayat Muslim (2654) daripada Abdullah bin Umar r.a.. Hadis ini hadis sahih.

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Hati itu umpama sehelai bulu ayam yang berpusing-pusing ditiup angin di tengah padang yang luas.³⁴¹
341 Riwayat Ahmad (4/419, 408) dan Ibnu Abu Asim dalam kitab as-Sunnah (227) daripada Abu Musa Asy'ari r.a. dengan sanad yang sahih.

Keteguhan hati terhadap perkara yang baik atau buruk dan keadaannya yang terumbang-ambing antara dua perkara tersebut terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

i. Hati yang dimakmurkan dengan taqwa, disucikan (dari noda) melalui proses latihan (yang berterusan) dan juga dibersihkan dari segala akhlak yang buruk. Menerusi hati sebegini, lahirlah cetusan-cetusan yang baik yang akan dapat menyaksikan keajaiban daripada khazanah-khazanah yang ghaib (iaitu daripada Allah s.w.t.). Ketika itu malaikat akan membekalkan kepadanya petunjuk (ke arah kebenaran hakiki).

ii. Hati yang terabai dan terbiar yang sarat dengan hawa nafsu serta di saluti dan dicemari dengan segala jenis keburukan dan akhlak yang keji. Pengaruh syaitan bermaharajalela di dalamnya kerana wilayah kekuasaannya semakin luas, manakala pengaruh keimanan pula menjadi lemah. Hati sebegini dipenuhi dengan kelam syahwat lalu memadamkan sinar cahayanya. Keadaannya seumpama mata yang dimasuki asap tebal sehingga dia tidak dapat melihat apa-apa lagi. Justeru, ancaman mahupun nasihat tidak ada gunanya lagi kepadanya.

iii. Hati yang pada mulanya dipengaruhi oleh gelojak hawa nafsu yang mendorong ke arah keburukan, kemudian datang cetusan keimanan lalu mendorongnya ke arah kebaikan.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment