Thursday, 27 May 2021

SIRI 5 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 17: Keajaiban Hati

Tajuk Mudarasah: Hasutan Iblis Dalam Hati Manusia

Sub Tajuk: Laluan Atau Pintu Masuk Syaitan Ke Dalam Jiwa Manusia

Halaman Rujukan Kitab : 256

Nota Mudarasah:

Ini sebahagian daripada pintu masuk syaitan ke dalam hati. Menutup pintu-pintu ini merupakan satu-satunya jalan untuk merawat penyakit-penyakit tersebut. Ia hanya boleh dilakukan melalui proses pembersihan jiwa dari segala sifat yang buruk Selepas ini, kita akan menjelaskan sifat-sifat ini antu persatu, insyaAllah.

Apabila akar umbi kepada sifat-sifat ini berjaya dicabut dari hati, ketika itu peluang dan ruang yang masih ada kepada syaitan hanyalah melalui cetusan dan lintasan-lintasan hati yang tidak lagi stabil. Itu semua boleh dihalang dengan zikrullah dan memakmurkan hati dengan taqwa kepada Allah.

Syaitan itu umpama si anjing kelaparan yang menghampiri kamu. Sekiranya kamu tidak memegang daging ataupun roti, anjing itu mampu dihalau dengan hanya berkata: His, pergi !!!. Namun jika kamu sedang memegang roti atau daging, menyergahnya dengan perkataan sahaja tidak akan dapat menghalaunya. Demikianlah juga hati yang sudah bersih dari segala makanan syaitan. Ia dapat dihalau dengan hanya zikrullah. Manakala hati yang sudah tewas kepada hawa nafsu, zikrullah akan tertolak ketepi dan ia tidak lagi masuk bertapak di lubuk hatinya. Ketika itulah syaitan masuk dan bertapak menguasainya.

Sekiranya kamu mahu pastikan apakah benar berlaku sedemikian maka kamu boleh perhatikan kepada sembahyangmu.. Perhatikan bagaimana syaitan akan berbisik kepada hatimu ketika itu. Ia akan berbicara tentang pasar, wang keluar masuk dan segala urusan duniawi.

Seseorang itu dimaafkan jika berlaku hanya sekadar lintasan atau cetusan hati (hadithun nafsi). Termasuklah juga kalau hanya diperingkat cita-cita. Sekiranya dia tidak melakukannya (maksiat. yang dicita-citakan itu) kerana takutkan Allah, dia diberikan satu pahala kebaikan. Jika dia meninggalkannya kerana sebab-sebab tertentu, kami harap dia akan dimaafkan. Ini tidak termasuk keazaman dan tekad untuk melakukan sesuatu. Berazam untuk melakukan sesuatu dosa adalah satu kesalahan. Ini berdalilkan kepada sabda Nabi s.a.w.

إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا فَالْقَاتِلُ وَالْمُقْتُولُ فِي النَّارِ . قِيلَ: مَا بَالُ الْمَقْتُولِ قَالَ : إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ
“Apabila dua orang Islam berbunuh-bunuhan, kedua-duanya sama ada orang yang membunuh dan orang yang terbunuh akan dimasukkan ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Kenapa pula orang yang dibunuh pun masuk neraka?. Jawab Rasulullah s.a.w.: Sebenarnya dia juga bertekad untuk membunuh lawannya itu.³³⁹”
339 Riwayat al-Bukhari (12/173) dan Muslim (2888) daripada Abu Bakrah r.a..

Tekad dan azam (untuk melakukan maksiat) menjadi kesalahan kerana segala amal dikira berdasarkan niat. Bukankah sifat sombong, riya' dan bangga diri itu juga termasuk dalam perkara dalaman (batin sepertimana keazaman dan tekad)? Jika seorang lelaki melihat seorang wanita berada di atas katil dan menyangka (dalam hatinya) itu adalah isterinya lalu dia menyetubuhinya, ketika itu dia tidak dikira berdosa. Sebaliknya kalau dia melihat isterinya di atas katil, tetapi dia menganggap (dalam hati dan fikirannya) bahawa itu adalah wanita lain lalu dia menyetubuhinya maka dia dikira berdosa. Semua perkara ini bergantung kepada apa yang diqasadkan (diputuskan) dalam hati.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment