Tuesday, 22 June 2021

SIRI 31 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 19: Memecah Keinginan Dua Jenis Nafsu; Perut (Makan) Dan Seks

Tajuk Mudarasah: Mengenai Nafsu Makan

Halaman Rujukan Kitab : 282

Nota Mudarasah:

Terdapat segolongan orang zuhud yang bersikap melampau dalam mengurangkan makan dan sanggup menahan lapar. Dalam kitab lain,³⁶² aku telah nyatakan tindakan mereka yang silap ini.
362 Lihat kitab Talbisu Iblis karangan Ibnul Jauzi.

Tahap seimbang dalam mengawal makan ialah berhenti makan ketika masih berselera. Tahap keseimbangan yang paling baik ialah sepertimana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w. tadi iaitu satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga lagi untuk nafasnya.

Makan secara sederhana dan seimbang dapat menyihatkan tubuh badan dan mampu menghindari penyakit. Caranya ialah dia menikmati sesuatu makanan itu hingga dia asa berselera kemudian dia berhenti ketika masih lagi berselera. Makan yang terlampau sedikit secara berterusan boleh melemahkan tubuh badan. Terdapat beberapa kumpulan manusia yang terlampau mengurangkan makan sehingga mereka tidak dapat melaksanakan kewajipan fardunya dengan sempurna. Kerana jahil, mereka menganggapnya sebagai satu kelebihan. Hakikat sebenarnya bukannya begitu. Sebenarnya maksud berlapar yang dipuji ialah tahap sederhana dan seimbang sepertimana yang kita sebutkan tadi.

Cara latihan untuk mengurangkan nafsu makan bagi orang yang sentiasa kekenyangan ialah dengan mengurangkan makan secara beransur-ansur, sehinggalah sampai kepada tahap yang boleh dikatakan seimbang sebagaimana yang telah disebutkan di atas. Sebaik-baik perkara ialah yang bersederhana. Yang pentingnya, dia makan dengan kadar yang tidak menghalangnya dari beribadat dan dapat mengekalkan stamina dirinya. Iaitu makan yang tidak menyebabkan dia berasa kenyang atau lapar. Pada masa itu badan akan menjadi sihat, semangat akan terkumpul dan pemikiran pun akan menjadi bersih.

Banyak makan akan menyebabkan banyak tidur dan otak menjadi lembab kerana banyak wap yang naik ke otak sehingga melitupi ruang pemikiran dan memorinya. Ia juga akan mengundang pelbagai penyakit lain.

Perlu diingat bahawa mereka yang meninggalkan sesuatu keinginan nafsu ini akan terdedah pula kepada penyakit riya'. Justeru, ada di kalangan mereka memerangi riya' ini dengan membeli apa yang diingininya kemudian dia meletakkannya sahaja di rumahnya sedangkan dia zuhud terhadapnya. Dengan itu dia dapat menyembunyikan kezuhudannya. Inilah kemuncak zuhud yang sebenar. Iaitu berzuhud dalam zuhudnya dengan menampakkan sebaliknya. Ini adalah amalan para siddiqin kerana dia memaksa dirinya menelan pahit kesabaran sebanyak dua kali dan yang kedua itu adalah lebih pahit lagi.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment