Sunday, 4 July 2021

SIRI 43 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 20: Penyakit Lidah

Tajuk Mudarasah: Penyakit Percakapan

Sub Tajuk: Berbohong Dalam Percakapan Dan Bersumpah

Halaman Rujukan Kitab : 292

Nota Mudarasah:

7. Mendedahkan Rahsia dan Mungkir Janji serta Berbohong dalam Percakapan dan Sumpah

Semua perkara di atas adalah dilarang, kecuali beberapa perkara yang diharuskan sebagai rukhsah (kemudahan) iaitu berbohong kepada isteri (untuk menenangkan hatinya) dan berbohong dalam peperangan.

Kaedah dalam perkara ini ialah: Setiap tujuan yang baik yang hanya dapat dicapai dengan berbohong, maka pembohongan itu harus dilakukan. Ini sekiranya tujuan yang baik itu adalah sesuatu perkara yang harus. Jika tujuan itu perkara yang wajib, berbohong juga wajib dilakukan. Namun begitu, seboleh-bolehnya pembohongan hendaklah dijauhi.

Sindiran dan kiasan (ta'ridh)³⁸³ harus dilakukan kerana Nabi s.a.w. bersabda:
383 Atau "tauriyah" iaitu cakap berlapik dengan mempuyai makna tersirat. Ia berlawanan dengan "tasrih" iaitu bercakap dengan maksud yang terang dan jelas.

Sesungguhnya sindiran dan kiasan itu dapat mengelakkan diri dari berbohong.³⁸⁴
384 As-Suyuti ada menyebutnya dalam kitab Jami' as-Soghir (2332) dan telah melemahkan riwayatnya. Al-Munawi dalam kitab Faidul Qadir (2/472) telah menyandarkan riwayat ini kepada Ibnu Sunni selain Ibnu Adiy dan al Baihaqi. Tetapi kemudiannya dia juga melemahkan sanadnya. Al-Bukhari meriwayatkan hadis ini dalam kitab Adabul Mufrad (885) secara mauquf (tergantung) kepada riwayat Umran bin Husoin dengan sanad perawi yang thiqah (boleh dipercayai).

Harus menggunakan sindirian dan kiasan ketika ada keperluan. Jika tidak, maka hukumnya adalah makruh kerana ia menyerupai pembohongan.

Antara contoh kiasan dan sindiran itu ialah apa yang diceritakan oleh Abdullah bin Rawahah r.a. bahawa pada satu malam beliau telah menyetubuhi hamba perempuannya. Perkara ini kemudiannya diketahui oleh isterinya dan menyebabkan dia naik berang. Dengan perasaan marah, isterinya mengambil pisau kemudian meluru ke bilik hambanya itu dan dia dapati suaminya sudah tidak ada. Dengan nada yang marah, isterinya bertanya: Adakah benar kamu telah menidurinya? Abdullah berkata: Tidak, aku tak buat apa-apa pun padanya. Isterinya berkata lagi: Buktikan! Pergi baca al-Quran (untuk membuktikan beliau tidak berhadas besar) atau aku akan belah perutmu dengan pisau ini!..

Abdullah bin Rawahah pun bersyair:
Di sisi kita ada Rasulullah s.a.w. yang sentiasa membaca kitab nya (al-Quran),
ketika terserlah kebaikan dari fajar yang menyingsing di waktu pagi.
Lambung baginda jauh dari tilamnya (berjaga malam), sedangkan orang-orang yang kafir amat lena tidurnya.
Baginda memberikan kami petunjuk selepas dahulunya kami sesat, lalu hati kami amat yakin bahawa setiap yang baginda ucapkan itu pasti berlaku.
³⁸⁵
385 Maksudnya: Abdullah cuba menggambarkan melalui syairnya itu (secara kiasan, tidak berterus terang) bahawa ketiadaannya di bilik isterinya bukan bererti dia berada di bilik hamba sahayanya. Mungkin dia keluar beribadat sepertimana dilakukan oleh baginda s.a.w..

Mendengarkan syairnya itu, isterinya berkata: Aku percaya kepada Allah dan bohonglah mataku ini.³⁸⁶
386 Ibnu Asakir meriwayatkannya dalam kitab at-Tarikh karangannya (m/s 343). Tetapi sanadnya daif.

Apabila an-Nakha'ie dicari, dia berpesan kepada hambanya: Katakan kepada mereka: "“Carilah dia di masjid". Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment