Friday, 9 July 2021

SIRI 48 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 20: Penyakit Lidah

Tajuk Mudarasah: Buruk Sangka Punca Timbulnya Mengumpat

Halaman Rujukan Kitab : 299

Nota Mudarasah:

Buruk Sangka Punca Timbulnya Mengumpat

Kadangkala faktor seseorang itu mengumpat ialah mainan hati iaitu bersangka buruk terhadap orang Islam lain. Zan (berprasangka) itu sememangnya suatu yang disenangi jiwa dan hati cenderung kepadanya. Kamu tidak boleh berburuk sangka terhadap orang Islam lain kecuali dalam perkara yang jelas dan tidak boleh disangkal lagi. Jika datang seorang yang adil dan dipercayai memberitahu kepada kamu yang menyebabkan hatimu cenderung untuk mempercayainya, ketika itu kamu adalah dimaafkan kerana kalau kamu dustai perkhabarannya itu, bermakna kamu telah berburuk sangka pula kepada pemberi maklumat tersebut. Kamu tidak boleh bersangka baik kepada seseorang dan bersangka buruk kepada orang lain dalam perkara yang sama. Sebaiknya, hendaklah kamu siasat terlebih dahulu, adakah keduanya (pemberitahu dan orang yang menjadi sasaran berita itu) mempunyai pertelingkahan peribadi atau hasad dengki? Kerana ini boleh menjadi sebab kepada timbulnya tuduhan tersebut.

Apabila terlintas dalam hati untuk bersangka buruk terhadap seorang Islam yang lain, sepatutnya kamu lebih berusaha untuk meraikan dan mendoakan kebaikan buatnya. Ini akan menimbulkan kemarahan syaitan lalu menjauhkan dirinya darimu. Pada ketika itu syaitan tidak lagi berani menggoda kamu dengan lintasan lintasan hati yang busuk kerana bimbang kamu akan membalasnya dengan doa dan sifat meraikan tadi. Jika kamu telah mengenal pasti kesilapan seseorang muslim, kamu hendaklah menasihatinya tanpa pengetahuan orang lain.

Akibat dari sangkaan buruk akan lahirlah sikap suka mengintip kesalahan orang lain. Fitrah hati tidak akan puas hanya dengan sangkaan lalu mendorong dirinya melakukan penyiasatan dan dengan itu dia menghabiskan masa mencari dan mengintip orang lain. Ini adalah perkara yang terlarang kerana ia akan mendedahkan keaiban orang Islam yang lain. Sebenarnya, hati kamu akan lebih tenang dan selamat terhadap orang Islam lain jika perkara tersebut (yang menjadi perhatian kamu) itu tidak kamu ketahui.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment