Thursday, 8 July 2021

SIRI 47 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 20: Penyakit Lidah

Tajuk Mudarasah: Faktor Pendorong Mengumpat Dan Cara Mengatasinya

Halaman Rujukan Kitab : 298

Nota Mudarasah:

Untuk mengatasi gejala ini, orang yang mengumpat hendaklah mengetahui bahawa dia sentiasa terdedah kepada kemurkaan Allah s.w.t. dan segala kebaikan yang dilakukannya akan dipindahkan kepada orang yang diumpatnya. Sekiranya kebaikannya sudah habis, kejahatan orang yang diumpat itu pula akan dipindahkan kepadanya. Siapa yang menyedari hakikat ini nescaya dia tidak akan mengumpat lagi.

Dia juga sepatutnya memikirkan tentang kekurangan diri sendiri dan cuba untuk memperbaikinya. Dia hendaklah berasa malu untuk mengaibkan orang lain kerana dia sendiri banyak keaibannya. Sebagaimana kata setengah penyair:

Jika kamu mengaibkan manusia sedangkan kamu juga seperti mereka,

Bagaimana seorang yang buta sebelah matanya boleh men gaibkan orang lain,

Jika kamu mengaibkan seseorang dengan menyebut sesuatu sifat yang tiada padanya,

Itu sebenarnya dosa yang lebih besar di sisi Allah dan juga manusia.


Sekiranya dia menyangka dia tidak mempunyai sebarang keaiban, sepatutnya dia menumpukan perhatiannya untuk bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan kepadanya. Jangan cemari diri dengan melakukan keaiban yang paling buruk iaitu mengumpat. Jika dia sendiri tidak mahu dan tidak suka diumpat, begitulah juga seharusnya dia tidak suka mengumpat orang lain.

Dia juga hendaklah melihat faktor pendorong kepada mengumpat dan berusaha untuk mengatasinya. Rawatan kepada sesuatu penyakit ialah dengan mencegah punca-punca yang menyebabkan ia berlaku. Kita telah menyenaraikan beberapa faktor tersebut di atas dan kita kena berusaha untuk mencegahnya. Penyakit marah harus dicegah dengan cara-cara yang akan kita utarakan dalam babnya nanti. Sikap untuk meraikan teman (walaupun dalam perkara yang tidak baik) harus dirawat dengan mengetahui dan meyakini bahawa Allah amat murka kepada sesiapa yang hanya mencari keredaan manusia walaupun dengan kemurkaan Allah. Sepatutnya dia berani memarahi rakan-rakannya tu. Inilah juga konsep yang sepatutnya diambil dalam merawat penyakit-penyakit yang lain.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment