Sunday, 11 July 2021

SIRI 50 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 20: Penyakit Lidah

Tajuk Mudarasah: Kelonggaran Mengumpat dan Kafarahnya

Halaman Rujukan Kitab : 301

Nota Mudarasah:

iv. Memberi amaran kepada orang Islam lain terhadap kejahatan pihak-pihak tertentu. Contohnya apabila kamu melihat seorang penuntut ilmu yang seringkali berulang-alik menemui ahli bid'ah atau fasik dan kamu bimbang dia terpengaruh dengan mereka. Ketika itu kamu hendaklah mendedahkan cerita yang sebenarnya.

Begitu juga hamba yang kamu mahu jual merupakan seorang yang suka mencuri ataupun seorang fasik, lalu kamu memberitahu halnya kepada orang yang ingin membelinya. Ini tidak termasuk mengumpat yang dilarang.

Begitu juga seorang yang diminta pendapatnya dalam masalah perkahwinan (mengenai calon isteri atau suami yang akan dikahwini) atau mengenai seorang yang akan ditinggalkan amanah kepadanya. Ketika itu dia boleh memberitahu apa yang dia tahu mengenainya dengan tujuan memberi nasihat dan pandangannya kepada orang yang meminta pendapatnya itu, bukan kerana hendak memburuk-burukkan seseorang. Ini diharuskan apabila dia percaya bahawa perkara tersebut tidak akan dapat dijelaskan dengan sempurna melainkan secara berterus terang dan terbuka.

v. Seseorang yang terkenal dengan gelaran tertentu seperti si tempang atau si rabun. Tidak menjadi satu dosa dengan menyebutnya tetapi kalau ada panggilan atau cara lain yang lebih baik, kita sepatutnya menggunakan cara atau panggilan tersebut.

vi. Seseorang yang melakukan kejahatan dan kefasikan secara terbuka dan terang-terangan. Pada masa yang sama dia tidak meghalang atau merasa marah jika kejahatannya itu disebut-sebut.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang telah membuang pakaian malunya, maka tidak ada istilah atau makna mengumpat lagi baginya³⁹⁸.
398 Riwayat al-Baihaqi (10/210), al-Khatib (8/438), al-Qudhoie dalam kitab Musnad as-Syihab (426, 427) daripada Anas r.a.. Padanya terdapat perawi yang sangat daif seperti yang diterangkan oleh Syeikh Albani dalam kitab as-Silsilatul Doifah (585).

Al-Hasan telah ditanya: Adakah aku memperkatakan berkenaan dengan orang jahat yang melakukan kejahatan secara terang terangan itu dikira mengumpat? Al-Hasan menjawab: Tidak, bahkan tidak ada juga kemuliaan (kalau bercakap mengenainya).

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment