Saturday, 31 July 2021

SIRI 69 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Sakit Hati Dan Hasad Dengki

Halaman Rujukan Kitab : 325

Nota Mudarasah:

Diriwayatkan lagi bahawa Allah Taala berfirman, maksudnya:
Orang yang hasad dengki ialah musuh kepada nikmat Ku, marah dengan ketentuan-Ku dan tidak reda dengan pembahagian-Ku kepada hamba-hamba-Ku.

Ibnu Sirin berkata: Aku tidak pernah berhasad dengki terhadap seseorang dalam perkara dunia. Jika dia di kalangan ahli syurga, kenapa aku perlu berdengki kepadanya mengenai dunia sedangkan dia dalam perjalanannya ke syurga? Jika dia merupakan ahli neraka bagaimana aku masih ingin berdengki kepadanya dalam perkara dunia sedangkan dia dalam perjalanan menuju ke neraka?.

Iblis pernah berkata kepada Nabi Nuh a.s.: Jauhilah dari berhasad dengki kerana sifat inilah yang menjadikan aku sebegini.

Ketahuilah bahawa apabila Allah Taala mengurniakan nikmat kepada seseorang saudara kamu, kamu akan berada dalam dua situasi:

i- Kamu benci kepada nikmat tersebut dan amat suka jika ianya tiada atau lenyap. Ini dinamakan hasad dengki.

ii. Kamu tidak membencinya dan juga tidak mahu saudaramu itu kehilangannya tetapi kamu begitu ingin untuk memperolehi kelebihan yang sama sepertinya. Ini dinamakan ghibtoh.

Pengarang r.hm. berkata: Aku dapati masih belum ada seorang pun yang memberi komentar dalam masalah ini sebagaimana yang sepatutnya diberikan. Oleh itu, di sini aku ingin perjelaskan bahawa:

Secara fitrahnya, jiwa seseorang memang dibentuk sukakan ketinggian diri. Ia tidak suka diatasi atau disaingi oleh orang lain. Apabila ada saingan mengatasinya, ia merasa susah, benci dan ingin agar kelebihan saingannya itu hilang supaya kembali setaraf dengannya. Ini merupakan sesuatu yang telah tetap tertanam dalam tabiat manusia.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Tiga perkara yang tidak boleh dihindari oleh sesiapa pun iaitu: Sangkaan, merasa malang dan hasad dengki. Aku akan memberitahu kamu cara mengatasinya iaitu: Jika kamu bersangka buruk, jangan kamu mengenal pastinya (dengan soal siasat), jika kamu merasa malang, teruskan saja usaha atau rancangan kamu dan jangan pedulikannya. Apabila kamu berhasad dengki, janganlah melampau.⁴³⁵
435 Al-Hafiz Iraqi menyatakan dalam kitab al-Mughni (3/187): Riwayat Ibnu Abu Dunia dalam kitab Zammul Hasad daripada hadis Abu Hurairah r.a.. Pada sanadnya terdapat Ya'kub bin Muhammad az-Zuhri dan Musa bin Ya'kub az-Zam'ie, di mana jumhur ulamak melemahkan riwayat mereka berdua. Perkataan: «at-Tiarah» (merasa malang atau sial) bermaksud pesimis (lawan optimis).

Bagi merawat penyakit hasad, kadang-kadang ia boleh dilakukan dengan meredai ketentuan Allah, kadang-kadang dengan bersifat zuhud dalam perkara dunia dan ada kalanya ia boleh dirawat dengan merenung dan berfikir tentang masalah-masalah duniawi yang timbul daripada nikmat-nikmat tersebut dan juga tentang keadaannya ketika dihisab pada hari akhirat kelak. Renungan ini pasti akan menghiburkan hatinya lalu memeliharanya daripada terikut atau terpengaruh dengan segala cetusan jiwanya sama ada pada perbuatan atau pertuturannya. Sekiranya dia melakukan perkara ini, perasaan yang sedia tertanam di dalam hatinya itu sudah tentu tidak akan memudaratkannya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment