Monday, 2 August 2021

SIRI 71 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Sakit Hati Dan Hasad Dengki

Halaman Rujukan Kitab : 327

Nota Mudarasah:

Hasad mempunyai beberapa faktor. Antaranya ialah permusuhan, takabur, ujub, keinginan menjadi ketua, hati yang busuk dan bakhil. Faktor terbesar ialah permusuhan dan kebencian. Sesiapa saja yang disakiti oleh orang lain dengan apa cara sekalipun atau ditentang dalam usahanya untuk mencapai sesuatu matlamat, pasti hatinya akan membenci individu tersebut dan terpendamlah rasa sakit hati di dalam dirinya.

Memendam rasa sakit hati akan membawa kepada perasaan ingin bertindak balas bagi memenuhi kehendak nafsu marahnya. Justeru, apabila seterunya itu ditimpa musibah, dia akan bergembira dan menganggapnya sebagai pembalasan dan keadilan dari Allah Taala. Sebaliknya jika seterunya itu mendapat nikmat, dia akan marah. Tuntasnya, hasad tidak akan terlepas dari perasaan benci dan bermusuh.

Kemuncak sifat orang yang bertakwa ialah tidak melampaui batas atau menzalimi seseorang. Dirinya merasa benci untuk berbuat demikian. Sekiranya dia membenci seseorang insan tetapi dia tidak merasai apa-apa perasaan ketika orang yang dibenci itu mendapat kesenangan atau ditimpa kesusahan, maka itu tidak mungkin berlaku.⁴³⁷
437 Ini kerana sifat orang membenci atau hasad pasti gembira ketika orang yang dihasad itu ditimpa kesusahan atau musibah dan begitulah sebaliknya-pent.

Manakala gambaran takabur pula ialah apabila sesetengah rakan yang setaraf dengannya mendapat harta ataupun pangkat tertentu. Dia bimbang rakannya itu akan menjadi lebih besar dan lebih hebat darinya dan dia tidak dapat menerima keadaan tersebut. Sekiranya orang yang mendapat nikmat itu lebih rendah kedudukannya darinya, dia tidak dapat menerima hakikat bahawa orang tersebut akan menjadi lebih tinggi atau sama taraf dengannya. (Dia mahu sentiasa kelihatan lebih dari orang lain). Inilah juga faktor kebencian dan sifat hasad orang kafir terhadap Nabi s.a.w.. Firman Allah Taala:


Firman Allah Taala lagi berkenaan sifat dengki mereka kepada orang beriman:


Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:




Oleh itu mereka merasa hairan dan jelek apabila martabat kerasulan diberikan kepada manusia yang sama seperti mereka, lalu mereka merasa dengki kepadanya.

Manakala keinginan menjadi ketua dan cintakan pangkat, contohnya ialah perasaan ingin menjadi seorang yang unggul dalam satu-satu bidang (tidak mahu wujudnya seseorang yang setanding dengannya). Apabila dirinya dikuasai oleh sifat sukakan pujian, dia berasa amat gembira jika dipuji dan menyangka bahawa dialah orang yang tiada tolok bandingnya dalam bidangnya itu. Namun apabila dia terdengar ada saingannya di hujung dunia sana, dia merasa tercabar dan mengharapkan kematian ataupun hilang keistimewaan pencabarnya itu, sama ada dari segi keilmuan, keberanian, ibadat, perusahaan, kekayaan dan lain-lain lagi. Semua ini berpunca dari sifat gilakan kedudukan menjadi tokoh terunggul dalam bidang yang diceburinya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment