Tuesday, 3 August 2021

SIRI 72 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 21: Sifat Marah, Dendam Dan Hasad Dengki

Tajuk Mudarasah: Sakit Hati Dan Hasad Dengki

Halaman Rujukan Kitab : 329

Nota Mudarasah:

Hati yang busuk dan tidak suka berlaku kebaikan pada orang lain juga boleh terserlah pada diri seseorang yang tiada kepentingan kedudukan atau yang tidak takabur. Ini kerana apabila diceritakan kepadanya bahawa ada hamba Allah memperolehi kedudukan yang selesa lantaran nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya, dia sukar menerimanya. Sebaliknya apabila diberitahu bahawa orang lain dalam keadaan tidak menentu, tercorot dan hidup susah. dia rasa senang hati. Sifatnya sentiasa suka sekiranya orang lain sentiasa berada di belakang. Dia juga tidak suka nikmat Allah melimpah kepada orang lain, seolah-olah nikmat tersebut diambil daripada kerajaan dan khazanah miliknya.

Setengah ulamak berkata: Al-bakhil ialah orang yang bakhil dengan hartanya sendiri manakala as-syahih pula (bukan sahaja dia bakhil terhadap hartanya sendiri) bahkan juga dia bakhil terhadap harta orang lain (tidak suka orang lain membelanjakan harta untuk diberikan kepada yang berhajat). Orang seperti ini sebenarnya bakhil dengan nikmat Allah Taala terhadap orang lain yang tidak mempunyai apa-apa permusuhan mahupun kaitan dengannya. Puncanya hanyalah hati yang busuk dan tabiat yang hina. Proses merawatnya memerlukan usaha yang berganda kerana penyakitnya itu bukan lagi disebabkan oleh faktor luar yang mendatang yang mudah di atasi, tetapi berpunca dari faktor dalaman iaitu hati dan tabiatnya itu sendiri yang buruk. Ini tentu akan merumitkan rawatannya. Semua perkara di atas adalah punca atau faktor kepada penyakit hasad dan dengki.

Sebab Berlaku Banyaknya Hasad Dengki

Perasaan hasad banyak terjadi di kalangan masyarakat yang mempunyai faktor-faktor yang telah kita sebutkan tadi. Perasaan ini biasanya berlaku antara sahabat handai, rakan sesekerja, saudara mara dan sepupu sepapa. Ini kerana punca hasad dengki ialah wujudnya kepentingan-kepentingan yang berkait dengan matlamat matlamat tertentu yang ingin dicapai sehingga mencetuskan pertentangan. Akibatnya timbullah perasaan jauh hati dan saling membenci.

Justeru, kamu akan dapati seorang alim akan berdengki kepada seorang alim yang lain, bukan kepada seorang ahli ibadat. Begitu juga ahli ibadat akan berdengki kepada orang yang seumpamanya dan bukan kepada orang alim. Begitulah juga peniaga dan tukang kasut, kesemuanya akan berdengki kepada orang yang seumpama mereka. Tukang kasut tidak akan berdengki kepada penjual kain kecuali jika timbul sebab-sebab yang lain kerana masing-masing mempunyai fokus dan tujuan mereka yang tersendiri.

Punca permusuhan ialah persaingan untuk merebut satu matlamat. Matlamat yang sama tidak akan menghimpunkan dua orang yang berjauhan antara dua negara kerana antara mereka tidak mempunyai apa-apa hubungan. Walau bagaimanapun, perasaan hasad dengki boleh terjadi pada salah seorang antara mereka berdua, apabila dia terlalu tamak dan rakus terhadap pangkat kedudukan sehingga dia sentiasa berdengki kepada setiap orang yang turut mempunyai kelebihan yang menjadi kebanggaannya itu, walau di mana pun orang itu berada.

Batu asas kepada semua penyakit ini ialah perasaan cintakan dunia. Dunialah yang telah menyempitkan ruang kepada orang yang bersaing untuk merebutnya. Manakala akhirat pula adalah sebaliknya, di mana ruangnya tidak pernah sempit. Sesiapa yang suka untuk mengenali Allah, para Malaikat, para Nabi dan seluruh kerajaan-Nya di langit dan bumi, pasti dia tidak akan berdengki terhadap orang lain yang turut mengetahui perkara tersebut. Ini kerana makrifat dan ilmu tidak akan menyempitkan hati pemiliknya. Sesuatu ilmu boleh dikongsi oleh berjuta orang yang tahu bahkan mereka akan merasa bangga jika orang lain turut mengetahuinya. Oleh itu tiada hasad dengki di kalangan ulamak yang mementingkan agama kerana matlamat mereka hanyalah mengenali Allah Taala. Makrifatullah adalah lautan yang amat luas tidak bertepi. Matlamat mereka pula ialah untuk mendapat kedudukan mulia di sisi Allah dan kedudukan di sisi Allah ini tiada batasannya. Setinggi-tinggi nikmat Allah ialah bertemu dengan-Nya di mana ia tidak perlu kepada tolak-menolak dan berebut-rebut untuk menikmatinya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment