Tuesday, 21 September 2021

SIRI 121 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 3: Perkara Yang Membinasakan

Bab 24: Sifat Takabur Dan Ujub Yang Tercela

Tajuk Mudarasah: Pembahagian Bencana Sifat Takabbur

Halaman Rujukan Kitab : 402

Nota Mudarasah:

Pembahagian Bencana Sifat Takabur

Bencana takabur yang menimpa para ulamak dan ahli ibadat terbahagi kepada tiga peringkat:

Pertama: Sifat takabur yang bertakhta di hati. Ia menyebabkan seseorang itu merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Namun begitu, dia berusaha untuk melawannya dan cuba bersifat rendah diri. Dalam dirinya telah ditumbuhi pokok-pokok takabur tetapi dia telah memotong dahan-dahan pokok tersebut.

Kedua: Sifat takabur yang dizahirkan melalui perbuatan seperti sombong dan angkuh dalam sesuatu majlis, menunjukkan kelebihannya berbanding sahabat-sahabatnya dan memarahi orang yang cuai dari melayaninya. Justeru, kamu dapat melihat seorang alim memalingkan mukanya dari orang lain seolah-olah dia tidak pedulikan mereka dan seorang yang kuat beribadat memandang jijik kepada orang lain. Dua golongan manusia ini sebenarnya jahil terhadap didikan Allah kepada Nabi-Nya s.a.w. sebagaimana yang tergambar dalam firman-Nya:


Ketiga: Sifat takabur yang tergambar secara langsung dari tutur kata seperti dakwaan-dakwaan membanggakan diri, mem bersihkan diri dengan memuji-muji dirinya sendiri dan cerita-cerita tertentu untuk memperlihatkan kelebihan diri. Begitu juga takabur dengan keturunan di mana orang yang berasal dari keturunan yang mulia akan memandang hina keturunan orang lain, walaupun mereka yang dihina itu lebih baik amalannya. Ibnu Abbas berkata: "Seorang lelaki berkata kepada seorang yang lain: "Aku lebih mulia daripada kamu". Padahal, tiada seorang pun yang lebih mulia di antara kamu, melainkan dengan taqwa. Ini dinyatakan oleh Allah Taala dalam firman-Nya:


Manusia juga akan merasa takabur disebabkan harta, kecantikan, kekuatan atau kekuasaan, ramainya pengikut dan seumpamanya.

Takabur dengan harta kekayaan biasanya melanda golongan pemimpin, peniaga dan seumpamanya.

Takabur dengan kecantikan pula, kebiasaannya berlaku pada golongan wanita. Implikasinya, akan lahirlah sikap cuba merendah-rendahkan, mengumpat dan memperkatakan keaiban wanita lain.

Manakala takabur kerana ramai pengikut atau penyokong, kebiasaannya berlaku di kalangan pimpinan kerajaan yang bersaing untuk meramaikan para pengikut mereka. Begitu juga di kalangan cerdik pandai yang berlumba-lumba untuk meramaikan muridnya:

Kesimpulannya, setiap perkara yang dianggap sempurna akan dijadikan bahan untuk bermegah-megah walaupun hakikatnya adalah sebaliknya. Seorang yang fasik pun boleh berbangga dengan banyaknya arak yang diminum atau kejahatan yang dilakukannya, kerana dia menganggap itu adalah satu kesempurnaan.

Sifat takabur boleh berlaku melalui tingkah laku seharian seseorang seperti palingan wajah, jelingan mata dan anggukan kepalanya. Bagitu juga caranya bersila, bersandar dan tutur kata serta gayanya bercakap dan juga bahasa yang digunakan. Ia juga dapat dilihat pada gaya berjalan, lenggokan badan, cara berdiri dan duduk serta setiap pergerakan, rehat dan perilakunya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment