Monday, 18 October 2021

SIRI 148 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 26: Taubat : Syarat, Rukun Dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Pengenalan Berkaitan Taubat

Halaman Rujukan Kitab : 444

Nota Mudarasah:

Nabi s.a.w. bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللهِ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah sebanyak seratus kali pada setiap hari.⁵⁵⁰
550 Riwayat Muslim (2703 & 42), Ahmad (4/211), Abu Daud (1515), al-Baghawi (1288) dan an-Nasaie dalam kitab Amalul Youm Wal Lailah & Tuhfatul Asyraf (1/78) dan at-Tobraní dalam kitab al-Kabir (882).

Satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah Taala sangat gembira dengan taubat hamba-Nya yang beriman lebih dari gembiranya seorang lelaki yang berada di suatu padang gersang yang luas dan boleh mengundang maut. Dia membawa kenderaan, makanan dan minuman yang mencukupi bersamanya. Sehinggalah pada suatu masa dia tertidur. Apabila terjaga dari tidurnya, dia dapati tunggangannya telah tiada. Lalu dia pergi mencarinya di serata tempat sehinggalah dia kehausan. Dia pun berkata dalam hatinya: Lebih baik aku kembali ke tempat pertama tadi dan tidur di sana menunggu mati. Lalu dia meletakkan kepalanya ke atas lengannya untuk menunggu mati kerana kehausan. Apabila dia terjaga, tiba tiba dia mendapati kenderaan dan segala bekalan minuman dan makanannya ada di sisinya. Dia pun bergembira, tetapi ketahuilah bahawa Allah bergembira dengan taubat hamba Nya yang beriman lebih dari kegembiraan lelaki tersebut.⁵⁵¹
551 Riwayat al-Bukhari (11/88, 90), Muslim (2744) dan at-Tarmizi (2499 & 2500)

Terlalu banyak hadis yang memperkatakan tentang taubat. Ijmak para ulamak juga mewajibkan seseorang itu bertaubat dari dosanya, kerana ia merupakan perkara yang membinasakan dan menjauhkannya dari Allah Taala. Justeru itu, dia wajib serta merta menjauhkan diri dari melakukannya.

Bertaubat adalah kewajipan yang berterusan kerana manusia tidak sunyi dari melakukan kesalahan. Jika tiada maksiat dari anggota badannya, mungkin maksiat datang dari hatinya yang berazam melakukan maksiat. Kalau tidak dari hati, mungkin datang dari perasaan was-was yang dicetuskan oleh syaitan yang sentiasa cuba mengeliru dan melalaikannya dari mengingati Allah Taala. Seterusnya jika maksiat bukan dari perasaan tersebut, mungkin ia datang dari kecuaian dan kealpaannya untuk mengenali Allah, sifat-sifat serta perbuatan-Nya. Semua perkara tersebut adalah kekurangan-kekurangan yang mana tiada seorangpun yang selamat darinya. Kadar diri manusia, masing-masing berbeza. Yang pasti, mereka pada asasnya tetap ada kekurangan.

Kerana itulah Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya bisikan syaitan kadang-kadang terngiang ngiang di hatiku, lalu aku meminta pengampunan daripada Allah Taala sebanyak tujuh puluh kali sehari semalam.⁵⁵²
552 Riwayat Muslim (2702) dan Ibnu Khathir menyebutnya dalam kitab Jami'ul Usul

Oleh sebab itu, Allah Taala memuliakan Nabi s.a.w. dengan firman-Nya:
لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا
Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian. Dan Dia menyempurnakan nikmat-Nya ke atas kamu dan memberi petunjuk kepadamu ke jalan yang lurus.

( Al-Fath : 2 )

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment