Sunday, 31 October 2021

SIRI 161 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 26: Taubat : Syarat, Rukun Dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Taubat

Halaman Rujukan Kitab : 458

Nota Mudarasah:

Taubat

Taubat merupakan perasaan kesal yang akan melahirkan keazaman dan niat untuk berubah. Dengan penyesalan tersebut, dia mula menyedari bahawa maksiat adalah penghalang antara seseorang hamba dengan Tuhannya.

Penyesalan adalah rasa terhiris di hati ketika berpisah dengan kekasihnya. Tandanya ialah dia akan berdukacita dan menangis berpanjangan. Seseorang yang menyedari satu musibah menimpa anaknya atau orang yang disayangi, dia akan menangis dan berduka panjang. Siapakah yang lebih dikasihi oleh seseorang selain dirinya sendiri? Apakah ada balasan lain yang lebih teruk dari azab neraka? Apakah ada sebab yang lebih kuat untuk diturunkan sesuatu azab selain dari maksiat? Siapakah pula pembawa khabar berita yang lebih benar selain Rasulullah s.a.w.?

Renunglah; jika seorang doktor memberitahu bahawa anaknya tidak akan sembuh dari sakitnya, serta merta dia akan merasa sangat sedih. Sedangkan, anaknya itu bukanlah seperti dirinya sendiri yang pasti lebih dikasihinya. Doktor yang memberitahunya itu bukanlah lebih tahu dari Allah dan Rasul-Nya. Kematian itu pula bukanlah seperti neraka yang pasti lebih teruk kesakitannya. Penyakit juga bukanlah sebab langsung kepada kematian. Berbeza dengan maksiat yang merupakan sebab langsung seseorang itu mendapat kemurkaan Allah dan kemudiannya dihumbankan ke dalam neraka!.

Seorang yang ingin bertaubat hendaklah meneliti sembahyang yang telah ditinggalkannya atau sembahyang yang dikerjakannya tanpa menepati syaratnya. Contohnya, sembahyang yang dilakukan dengan pakaian yang terkena najis atau niat yang tidak sah disebabkan kejahilannya. Semua sembahyang ini hendaklah diqada'kannya. Begitu juga dengan puasa, zakat, haji, atau ibadat ibadat wajib yang lain. Dia hendaklah menqada'nya setelah diselidik dan didapati ada berlaku kecacatan.

Kemudian dia perlu melihat tahap dosa-dosanya dan berusaha melaksanakan amalan-amalan kebaikan yang setanding dengan tahap dosanya itu. Firman Allah Taala:
إن الحسنات يذهبن السيئات
Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.
(Hud:114)

Sabda Nabi s.a.w..
أتبع السيئة الحسنة تمحها
Ikutilah sesuatu kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapusnya.⁵⁶⁷
567 Riwayat at Tirmizi (1988), Ahmad (5/153 & 158) daripada Abi Zarr.a..Hadis hasan.

Sebagai contoh: Dosa mendengar perkara-perkara yang melalaikan perlu dihapuskan dengan mendengar al-Quran dan tazkirah. Dosa memegang al-Quran dalam keadaan tidak suci dihapuskan dengan memuliakan al-Quran dan banyak membaca nya. Seandainya dia mampu menulis al-Quran dan mewakafkannya, hendaklah dia lakukannya. Untuk menghapuskan dosa minum arak dia perlu bersedekah minuman yang halal. Yang pastinya ialah dia perlu melalui jalan yang berlawanan dengan kesalahan yang dilakukan, kerana setiap penyakit diubati dengan perkara sebaliknya. Inilah rawatan bagi dosa yang berkaitan antara seorang hamba dengan Allah Taala.

Ringkasan Kupasan Mudarasah:
- Setiap dosa yang dilakukan oleh seorang ulamak akan digandakan balasannya kerana ia akan menjadi ikutan oleh orang lain, begitu juga dengan kebaikan yang dilakukan.
- Ulamak perlu berwaspada dengan bersederhana dalam pakaian dan perbelanjaan dan sesuai dengan kedudukan.
- Setiap perbuatan yang dilakukan oleh seoranG ulamak yang menjadi ikutan akan menjadi jariah kepada ulamak tersebut.

Menarik Untuk Dihayati:

Satu kisah berkenaan seorang raja yang suka memaksa rakyatnya memakan daging babi. Pada suatu ketika, seorang alim dibawa menghadapnya lalu pengawal raja berkata kepadanya:
"Aku telah menyembelih seekor anak kambing untuk kamu makan".
Apabila orang alim itu masuk, lalu dihidangkan daging tersebut kepadanya tetapi dia enggan memakannya. Kemudian raja tersebut mengeluarkan perintah bunuh ke atasnya. Pengawal raja itu pun berkata:
"Tidakkah tadi aku telah katakan bahawa ia hanya daging seekor anak kambing?".
Lalu si alim berkata:
"Walaupun begitu, tetapi bagaimana nanti pengikut-pengikutku dapat mengetahui hal keadaanku ini?".


Peringatan Penting!!!:
Mudarasah ini bukanlah untuk kita melabel atau menghukum orang lain atau menyalahkan kumpulan yang dinyatakan dalam kita dalam kitab ini. Mudarasah ini adalah bertujuan untuk menyemak dan muhasabah diri sendiri, untuk kita sama-sama memperbaiki diri agar dapat mewujudkan sebuah ummah fadhilah.


Peringatan Mesra:
Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim

No comments:

Post a Comment