Saturday, 30 October 2021

SIRI 160 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 26: Taubat : Syarat, Rukun Dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Sebab-sebab Dosa Kecil Menjadi Besar

Halaman Rujukan Kitab : 456

Nota Mudarasah:

Sebagaimana setiap dosa yang dilakukan oleh seorang ulamak akan digandakan balasannya kerana diikuti oleh orang lain, demikianlah juga dengan kebaikan yang dilakukannya apabila ia turut dicontohi dan diamalkan oleh orang lain. Justeru, ulamak perlu bersederhana dalam pakaian dan perbelanjaannya. Lebih baik jika dia cenderung kepada sedikit berbelanja kerana masyarakat awam akan melihat segala perilakunya.

Dia hendaklah berwaspada terhadap apa yang mudah menjadi ikutan kepada manusia. Oleh itu jika dia mengambil mudah terhadap tindakannya mengunjungi raja-raja dan mengumpulkan habuan dunia, sudah tentu manusia akan mengikuti jejak langkahnya. Dengan itu ia akan menjadi satu dosa ke atasnya. Ini kerana mungkin dia terselamat dari segala bencana ketika berdepan dengan raja-raja tersebut tetapi bagaimana dengan pengikutnya? Mereka semua tidak mengetahui bagaimana dia boleh terselamat.

Telah diriwayatkan kepada kami, satu kisah berkenaan seorang raja yang suka memaksa rakyatnya memakan daging babi. Pada suatu ketika, seorang alim dibawa mengadapnya lalu pengawal raja berkata kepadanya: "Aku telah menyembelih seekor anak kambing untuk kamu makan". Apabila orang alim itu masuk, lalu dihidangkan daging tersebut kepadanya tetapi dia enggan memakannya. Kemudian raja tersebut mengeluarkan perintah bunuh ke atasnya. Pengawal raja itu pun berkata: "Tidakkah tadi aku telah katakan bahawa ia hanya daging seekor anak kambing?. Lalu si alim itu berkata: Walaupun begitu, tetapi bagaimana nanti pengikut-pengikutku dapat mengetahui hal keadaanku ini?".

Ringkasan Kupasan Mudarasah:

- Cara ketiga dosa kecil menjadi dosa besar apabila sesorang itu merasa gembira dengan kesalahan dan memuji-mujinya kesalahan tersebut.

- Cara keempat dosa kecil menjadi dosa besar apabila sesorang itu memperlekehkan perlindungan Allah apabila Allah menutup segala kesalahan dan berlembut dengannya serta menangguhkan pembalasan dosa dilakukannya.

- Cara kelima dosa kecil menjadi dosa besar apabila sesorang itu menyebuut-nyebut dosa yang dilakukannya itu di khalayak ramai.

- Cara keenam dosa kecil menjadi dosa besar apabila dosa itu dilakukan oleh seorang alim yang kemudiannya menjadi ikutan masyarakat.

Menarik Untuk Dihayati:

Seseorang yang mempunyai pengikut dalam sesuatu kumpulan, sama ada kumpulan yang kecil atau besar, berhati-hatilah dalam melakukan sesuatu perkara sama perlakukan atau pertuturan, khuatir jika terdapat perkara sumbang yang dilakukan sehingga menjadi ikutan oleh para pegikutnya. Berkemungkinan besar akan menjadi jariah berbentuk DOSA.

Beruntunglah orang-orang yang mati dan dosa-dosanya turut mati bersama.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment