Sunday, 7 November 2021

SIRI 168 -PENAWAR BAGI TAUBAT DAN JALAN UNTUK MERAWAT DOSA YANG DILAKUKAN SECARA BERTERUSAN Bahagian 4


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 26: Taubat, Syarat, Rukun dan Segala Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Penawar Bagi Taubat Dan Jalan Untuk Merawat Dosa Yang Dilakukan Secara Berterusan
Sub Tajuk: Merawat Syahwat Penghalang Taubat

Halaman Rujukan Kitab : 470

Nota Mudarasah:

Semua yang dinyatakan di atas adalah rawatan penyakit lalai atau cuai. Bagi merawat nafsu syahwat pula, ia seperti yang kita telah nyatakan dalam bab 'Mendidik Jiwa' dahulu. Ia memerlukan kesabaran kerana penyakit seorang pesakit mungkin berpanjangan. kerana dia telah mengambil sesuatu yang memudaratkannya. Ini berlaku disebabkan runtunan syahwatnya yang begitu kuat atau dia lalai dan lupa terhadap akibatnya. Oleh sebab itu dia perlu bersabar.

Demikian juga keadaannya jika ingin merawat nafsu yang cenderung melakukan maksiat. Seperti seorang pemuda yang dikuasai nafsunya lalu dia tidak dapat mengawal mata, hati dan anggota tubuhnya dari mengikut hawa nafsunya. Bagi mengatasinya ialah, dia hendaklah meneliti ancaman-ancaman yang terdapat dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. kerana apabila ketakutan meningkat, dia akan menjauhkan dirinya dari perkara perkara yang boleh membangkitkan keinginan nafsu syahwatnya.

Perkara luaran yang membangkitkan syahwat ialah wujudnya apa yang diinginkan dan ianya dapat dilihat di depan mata. Cara merawatnya ialah dengan berlapar dan sentiasa berpuasa. Semua itu tidak akan terhasil melainkan dengan bersabar. Seseorang itu tidak akan dapat bersabar kecuali wujudnya perkara yang ditakutinya.. Perasaan takut pula tidak akan wujud melainkan setelah dia memiliki ilmu. Dan dia tidak akan mengetahui sesuatu yang tidak baik melainkan setelah memandang dengan mata hati.

Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan menghadiri majlis tazkirah serta mendengarnya dengan hati yang lapang dan kosong dari sebarang bentuk gangguan dunia. Kemudian dia perlu merenung dan memikirkan apa yang diperkatakan itu. Nescaya akan lahirlah perasaan takut dan ia akan memudahkannya bersabar. Setelah itu barulah senang untuk merawatnya selain mengharapkan taufik dari Allah s.w.t.

Jika ditanya: Bagaimanakah seorang itu boleh melakukan dosa sedangkan dia mengetahui akibatnya?.

Persoalan tersebut boleh dijawab dengan pelbagai jawapan:

Kerana balasan yang dijanjikan bukanlah sesuatu yang segera.

i Apabila seorang mukmin melakukan dosa, dia mesti berazam untuk bertaubat kerana telah dijanjikan bahawa taubat akan menghapuskan segala dosa yang telah dilakukan. Angan angan yang panjang kebiasaannya dapat menguasai manusia. Ini menjadikannya sentiasa menangguh-nangguhkan untuk bertaubat. Oleh itu dia terus melakukan dosa kerana merasakan bahawa masih ada masa lagi untuk bertaubat.

iii. Kerana dia hanya pasrah mengharapkan keampunan dari Allah.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment