Monday, 15 November 2021

SIRI 176 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar Dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Sabar
Sub Tajuk: Adakah Boleh Menceritakan Musibah

Halaman Rujukan Kitab : 483

Mudarasah bermula pada minit ke 5:05

Nota Mudarasah:

Dalam cerita yang lain, ketika Silah bin Usyaim bersama anaknya berada dalam satu peperangan, Silah berkata: Wahai anakku, majulah dan berperanglah. Mudah-mudahan aku akan mendapat pahala kerana bersabar sekiranya engkau terkorban. Lalu anaknya keluar berperang dan akhirnya mati syahid. Melihatkan keadaan tersebut, Silah sendiri meluru ke hadapan dan berperang sehingga akhirnya beliau juga terkorban. Lalu sekumpulan wanita menziarahi ibunya, Ma'azah al-'Adawiah. Ibunya berkata kepada rombongan wanita tersebut: Selamat datang jika kamu datang untuk mengucapkan tahniah tetapi jika kedatangan kamu bertujuan lain (takziah), lebih baik kamu pulang.

Sekiranya sesuatu musibah yang menimpa boleh disembunyikan, maka menyembunyikannya itu adalah antara nikmat Allah Taala yang tersembunyi.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Jika seseorang hamba itu sakit, Allah akan mengutuskan kepadanya dua Malaikat, lalu berkata kepada malaikat itu: Lihatlah apa yang diucapkan kepada para tetamunya. Tiba-tiba dia sentiasa memuji Allah ketika tetamunya masuk. Perkara ini diangkat kepada Allah oleh dua malaikat tadi, walaupun Allah Taala Maha Mengetahuinya. Lalu Allah Taala berfirman: Inilah sebenarnya hamba-Ku. Sekiranya Aku mematikannya, Aku akan masukkannya ke dalam Syurga, tetapi seandainya Aku menyembuhkannya, Aku akan gantikan dagingnya dengan daging yang lebih baik, darahnya dengan yang lebih baik dan Aku akan menghapuskan segala kesalahannya.¹

Saidina Ali r.a. berkata: Antara sifat yang mengagungkan kebesaran Allah dan tanda mengenali hak-hak-Nya ialah kamu tidak mengadu kesakitan kamu dan tidak akan menyebut-nyebut musibah kamu.

Al-Ahnaf berkata: Mataku telah buta semenjak empat puluh tahun dahulu tetapi aku tidak pernah menyebutnya kepada orang lain.

Seorang lelaki berkata kepada Imam Ahmad: Bagaimana keadaanmu wahai Abu Abdullah?. Beliau menjawab: Baik. Lalu lelaki itu berkata kepadanya: Bukankah kamu demam kelmarin?. Lalu beliau menjawab: Cukuplah bila aku beritahu bahawa keadaanku baik, cukuplah itu. Jangan memaksa aku berkata apa yang aku tidak sukai.

Syaqiq al-Balkhi berkata: Siapa yang mengadu musibahnya kepada selain Allah, dia tidak akan merasai kemanisan mentaati Allah di hatinya selama-lamanya.

Sebahagian cendikiawan Islam berkata: Antara gedung kebaikan ialah menyembunyikan musibah. Sesungguhnya mereka bergembira dengan musibah-musibah yang menimpa kerana mengenangkan ganjarannya. Cerita-cerita mereka dalam hal ini amat masyhur sekali.

Antaranya cerita ketika Abdul Malik bin Umar Bin Abdul Aziz meninggal dunia. Umar bin Abdul Aziz (bapanya) telah menge bumikannya. Setelah diratakan tanah kuburnya, beliau berdiri lalu orang ramai mengerumuninya. Umar berkata: Semoga Allah merahmati kamu wahai anakku. Sesungguhnya kamu telah mentaati bapamu. Demi Allah, aku sentiasa gembira semenjak Allah mengurniakan kamu kepadaku. Tetapi, demi Allah aku tidak pernah merasa lebih gembira dan mengharapkan balasan yang besar dari Allah sehinggalah aku meletakkan engkau di tempatmu ini kerana kembalinya kamu kepada Allah.

Jika ada orang berkata: Sekiranya sabar itu bererti tidak membenci sesuatu musibah yang menimpa, sudah pasti manusia tidak mempunyai kekuatan untuk bersikap demikian. Sekiranya ia bererti gembira dengan berlakunya sesuatu musibah sebagaimana kisah-kisah yang kamu ceritakan, itu lebih jauh daripada kemampuan manusia untuk bersikap sedemikian.

Jawabnya: Sabar tidak akan berlaku kecuali terhadap sesuatu yang disukai atau dibenci. Apa yang diluar daripada usaha atau kawalan manusia tidaklah ditegah dan dilarang seperti perasaan dalaman yang gusar dan terganggu. Tetapi yang ditegah dan dilarang ialah perbuatan yang bertolak daripada hasil usaha manusia atau yang berada di bawah kawalan mereka. Umpamanya perbuatan mengoyak-ngoyakkan pakaian, menampar-nampar pipi dan meraung.

Cerita berkaitan kegembiraan sebahagian mereka dengan sesuatu musibah ini bermaksud kegembiraan secara syar'ie dan bukannya tabi'ie. Ini kerana tabiat manusia pasti membencikan musibah. Contohnya: Seorang pesakit yang mengetahui ada ubat bagi penyakitnya. Lalu dia keluar mencari keperluan perubatannya dengan membelanjakan segala hartanya untuk mendapatkan ubat ubatnya. Apabila dia menemuinya, dia merasa gembira dan memakan ubat tersebut dengan harapan dia akan sembuh selepas itu. Namun begitu secara tabi'enya dia masih membenci untuk memakan ubat.

Begitulah juga contohnya, seorang raja yang berkata kepada seorang lelaki fakir: Setiap kali aku memukulmu dengan tongkat yang lembut ini, aku akan memberikan seribu dinar kepadamu. Sudah tentu lelaki tersebut senang hati jika dia dipukul banyak kali; bukan kerana tidak sakit tetapi kerana dia mengharapkan balasan yang akan diperolehinya selepas itu. Ini berlaku walaupun sifat asalnya memang benci dipukul. Demikianlah juga golongan salaf yang hanya mengharapkan ganjaran pahala, menjadikan mereka merasa senang dengan ujian yang diturunkan.

__________________________________________________
1 Riwayat Imam Malik dalam kitab al-Muwatta' (2/940), bab balasan pahala bagi orang yang sakit daripada hadis Zaid bin Aslam yang diriwayatkan dari 'Ata' bin Yasar. Perawinya adalah dari kalangan yang dipercayai (thiqah) tetapi ia adalah hadis Mursal. Ia diambil oleh Ibnu Abdul Bar daripada Ubbad bin Kathir daripada Zaid daripada 'Ato' daripada Abu Said Al-Khudri r.a.. Aku berkata: Ubbad bin Kathir adalah seorang perawi yang tidak kuat.
__________________________________________________

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment