Tuesday, 16 November 2021

SIRI 177 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL-QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar Dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Sabar
Sub Tajuk: Penawar Sabar

Halaman Rujukan Kitab : 485

Mudarasah bermula pada minit ke 3:23

Nota Mudarasah:

Penawar Kesabaran

Tuhan yang menurunkan penyakit, Dialah juga yang menjadikan penawar dan menjanjikan penyembuhan dari penyakit tersebut. Sifat sabar walaupun sukar,ia boleh dilakukan dengan adunan ilmu dan amal. Daripada kedua-dua perkara inilah terhasilnya penawar yang boleh merawat penyakit-penyakit hati. Setiap penyakit perlu diketahui dan difahami serta diberi rawatan yang sesuai dengannya. Apabila penyakit-penyakit itu berbeza, maka rawatannya juga berbeza kerana maksud rawatan ialah melawan sebab penyakit.

Contohnya, seorang yang berhajat untuk melawan nafsu seksualnya. Dia seringkali tewas dengan godaan nafsu syahwat ini kerana tidak mampu mengawal kemaluan, mata dan hatinya. Namun begitu, nafsu ini boleh dirawat melalui tiga cara iaitu:

i. Sentiasa berpuasa. Ketika berbuka pula hendaklah berbuka dengan makanan yang sedikit.

ii. Meninggalkan sebab-sebab yang boleh meransangkan nafsu seksualnya. Nafsu ini teransang dengan pandangan yang seterusnya akan merangsangkan hati. Hatilah yang akan menggerakkan syahwatnya. Ubat kepada penyakit ini ialah dengan beruzlah dan menjaga pandangan mata dari melihat perkara-perkara memberahikan. Sesungguhnya pandangan merupakan panahan iblis yang beracun. Ia tidak mungkin dapat diatasi melainkan dengan memejamkan mata dan melarikan diri darinya.

iii. Menghiburkan jiwa dengan kaedah yang halal dari jenis yang sama iaitu berkahwin.Setiap perkara haram yang memberahikan sebenarnya mempunyai alternatifnya yang harus. Inilah rawatan yang paling mujarab kepada manusia. Rawatan dengan meninggalkannya secara total mungkin akan melemahkan dirinya. Rawatan alternatif sebegini (perkahwinan) merupakan satu-satunya cara yang paling sesuai untuk merawat penyakit nafsu syahwat.

Setiap orang mesti membiasakan diri bermujahadah melawan nafsunya. Sesiapa yang sentiasa melatih dan membiasakan dirinya menyanggahi kehendak hawa nafsu, dia akan dapat menewaskannya pada bila-bila masa sahaja.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment