Sunday, 21 November 2021

SIRI 182 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar Dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Syukur
Sub Tajuk: Bagaimana Bersyukur?

Halaman Rujukan Kitab : 491

Mudarasah bermula pada minit ke 6:32

Nota Mudarasah:

Kesyukuran Tidak Sempurna Tanpa Mengetahui Perkara yang Disukai Allah.

Ketahuilah bahawa bersyukur dan meninggalkan kufur nikmat tidak akan sempurna melainkan setelah mengetahui apa yang disukai Allah Taala. Ini kerana erti syukur ialah menggunakan nikmat-nikmatNya pada perkara yang disukainya. Manakala erti kufur adalah sebaliknya, iaitu sama ada dengan meninggalkan nikmat Allah (tidak menggunakannya) atau menggunakannya untuk tujuan yang terlarang.

Untuk membezakan antara perkara yang disukai dan dibenci oleh Allah ialah melalui dua cara:

Pertama Pendengaran. Iaitu mendengarnya dari ayat-ayat Allah dalam al-Quran.

Kedua : Pandangan mata hati. Iaitu melihat dengan tujuan mengambil pengajaran. Cara ini adalah amat sukar. Justeru, Allah Taala mengutuskan para rasul untuk mempermudahkan jalan jalannya kepada manusia. Semua ini terhasil setelah mengetahui segala hukum-hukam syarak berkait dengan perbuatan manusia. Sesiapa yang tidak mencari dan melihat hukum-hakam dalam setiap perbuatannya, dia tidak mungkin dapat bersyukur dalam ertikata yang sebenar.

Kedua : Pandangan mata hati. Iaitu melihat dengan tujuan mengambil pengajaran. Cara ini adalah amat sukar. Justeru, Allah Taala mengutuskan para rasul untuk mempermudahkan jalan jalannya kepada manusia. Semua ini terhasil setelah mengetahui segala hukum-hukam syarak berkait dengan perbuatan manusia. Sesiapa yang tidak mencari dan melihat hukum-hakam dalam setiap perbuatannya, dia tidak mungkin dapat bersyukur dalam ertikata yang sebenar.

Berkenaan cara yang kedua iaitu melihat dengan tujuan mengambil pengajaran, maksudnya ialah berusaha mengetahui hikmat di sebalik ciptaan Allah Taala kerana Allah Taala tidak mencipta sesuatu di dunia ini melainkan setiap ciptaan-Nya itu mempunyai hikmat tersendiri di sebaliknya. Di sebalik hikmah tersebut ada maksud yang tersirat dan maksud yang tersirat itulah perkara yang disukai Allah.

Hikmat tersebut terbahagi kepada dua iaitu hikmat yang terang (jaliyyah) dan yang tersembunyi (hhafiyyah). Hikmat Jaliyyah ialah seperti mengetahui hikmat Allah Taala mencipta matahari adalah untuk menghasilkan malam dan siang. Siang adalah masa untuk bekerja dan malam untuk berehat. Pergerakan menjadi mudah ketika cahaya cerah dan ketenangan akan muncul ketika diselimuti kegelapan. Ini adalah sebahagian hikmat diciptakan matahari bukan keseluruhannya. Demikian juga mengetahui hikmat pada awan mendung dan turunnya hujan.

Manakala hikmat yang terdapat pada ciptaan bintang-bintang dilangit, ianya tersembunyi (khafiyyah) dan tidak diketahui oleh manusia. Manusia mungkin dapat mengetahui sebahagian kecil hikmatnya sahaja seperti peranan bintang-bintang ini sebagai perhiasan langit. Setiap juzuk alam ini mempunyai hikmatnya yang tersendiri walaupun ia sebesar zarrah. Demikianlah juga dengan anggota badan semua hidupan bernyawa. Antaranya ada yang dapat diketahui hikmatnya secara zahir seperti mata untuk melihat, tangan untuk ambil dan pegang serta kaki untuk berjalan. Manakala anggota dalaman seperti hempedu, buah pinggang, hati, liang-liang peluh, urat-urat saraf sama ada yang berongga halus atau besar, hikmatnya tidak diketahui oleh setiap manusia.

Mereka yang mengetahuinya pun adalah dalam kadar yang terlalu sedikit berbanding dengan luasnya ilmu Allah. Sesiapa yang menggunakan nikmat tersebut untuk tujuan selain dari yang dikehendaki Allah, bermakna dia telah kufur kepada nikmat Allah. Siapa yang menggunakan tangannya untuk memukul orang lain bukan kerana kebenaran, bermakna dia telah mengkufuri nikmat Allah pada tangan tersebut. Tujuan sebenar diciptakan tangan ialah untuk mempertahankan diri dari perkara yang menyakitinya dan mengambil sesuatu yang mendatangkan manfaat kepadanya, bukannya untuk menyakiti orang lain. Demikianlah juga halnya dengan mata. Jika dia menggunakannya untuk melihat perkara yang diharamkan, bermakna dia mengkufuri nikmat Allah pada mata tersebut dan juga nikmat matahari yang memberikan cahaya kepadanya kerana penglihatannya tidak akan sempurna tanpa sinaran matahari. Mata dan matahari diciptakan untuk melihat perkara yang memberi faedah serta mengelak dari perkara yang memudaratkan, sama ada yang berkait dengan agama mahupun dunia.

__________________________________________________

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment