Tuesday, 23 November 2021

SIRI 184 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL-QASISIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 27: Sabar Dan Syukur

Tajuk Mudarasah: Syukur
Sub Tajuk: -

Halaman Rujukan Kitab : 494

Nota Mudarasah:

Sebagai contoh: Antara nikmat Allah Taala ialah dirham dan dinar (duit perak dan emas) yang menjadi asas nilaian di dunia. Kedua-dua benda ini pada zahirnya ialah dua keping logam yang tiada manfaatnya. Namun demikian manusia amat memerlukannya kerana manusia memerlukan keperluan yang lain seperti makanan, minuman, pakaian, kenderaan dan semua keperluan lain. Kadang kadang manusia tidak mempunyai apa yang dikehendakinya tetapi memiliki apa yang tidak diperlukannya. Seperti seorang yang mempunyai sejumlah za'faran sedangkan dia amat berhajat kepada seekor unta untuk ditungganginya manakala orang lain pula memiliki unta tetapi dia mungkin tidak berhajat kepadanya, bahkan dia berhajat kepada za'faran. Tidak dapat tidak, perlu berlaku pertukaran antara kedua mereka. Pertukaran tersebut mestilah sama nilai perkiraannya kerana tuan punya unta tentunya tidak akan menukar untanya dengan sebarang kadar za'faran dan tidak mungkin juga ditukar antara keduanya itu mengikut timbangan dan rupa bentuk yang sama.

Demikian juga seorang yang membeli rumah dengan bayaran pakaian, membeli hamba dengan bayaran sepasang khuf atau membeli tepung dengan bayaran keldai. Semua ini tidak sama nilainya antara satu sama lain. Oleh sebab itulah, Allah menciptakan dinar dan dirham yang bersifat sebagai hakim atau perantara antara semua harta, di mana ke semua harta tersebut ditentukan nilainya berdasarkan dua jenis matawang tersebut. Dengan itu barulah boleh dikatakan bahawa unta ini sama nilainya dengan seratus dirham. Za'faran yang beratnya sekian banyak juga bernilai seratus dirham.

Dengan demikian, berlakulah persamaan antara keduanya. Apa yang memungkinkan berlakunya penyeragaman harga antara kedua-dua barang itu dengan perantaraan dua matawang tersebut ialah kerana zat matawang tersebut bukanlah suatu yang menjadi tujuan asas (yang tidak diperlukan pada zatnya). Kalaulah zat matawang itu sendiri menjadi tujuan utama, pasti keadaan akan bercelaru. Allah menciptakan kedua-duanya dengan tujuan pertukaran tangan dan pemutus piawaian antara harta-harta yang lain. Allah telah menjadikan dinar dan dirham perkara yang bernilai kepada manusia di mana ia menjadi satu piawaian tetap kepada harta benda yang lain. Sesiapa yang memiliki kedua-duanya, dia seolah-olah memiliki semua perkara.

Setelah diketahui hikmat kedua-duanya, jika seseorang menggunakannya dalam perkara yang bercanggah dengan tujuan sebenarnya dan tidak sesuai dengan hikmatnya, bermakna dia telah mengkufuri nikmat Allah Taala. Sesiapa yang menyimpan tanpa membelanjakan kedua-duanya, sesungguhnya dia telah menghapuskan hikmat penciptaannya. Keadaan ini seperti memenjarakan seorang hakim, menyebabkan satu kes pun tidak dapat diputuskan. Ini bermakna, orang yang menyimpan dinar dan dirham tanpa membelanjakan nya, dia telah menghilangkan hikmatnya dengan menghalangnya dari bertukar tangan. Apabila manusia gagal memahami apa yang tersurat di sisi Allah Taala sama ada dengan pandangan mata kasar atau mata hatinya, Allah Taala telah memberitahunya dengan perkataan yang boleh didengari melalui perantaraan utusan-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w., iaitu firman-Nya:

والذين يكنزون الذهب والفضة ولا ينفقونها في سبيل الله فبشرهم بعذاب أليـمِ
Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(At-Taubah: 34)


__________________________________________________
.
__________________________________________________

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

No comments:

Post a Comment