Wednesday, 15 December 2021

SIRI 206 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 28: Berharap (Ar-Raja') Dan Takut (Al-Khauf)

Tajuk Mudarasah: Bagaimana Menjadikan Harap Dan Takut Sebagai Ubat

Halaman Rujukan Kitab : 531

Nota Mudarasah:

Saidatina Aisyah r.ha. pernah meriwayatkan hadis bahawa Rasululullah s.a.w. bersabda:


Riwayat al-Bukhari (1/109), Muslim (782) dan Ahmad (6/125, 723).

Abu Said al-Khudri r.a. juga telah meriwayatkan bahawa baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Allah Taala akan berkata pada hari Kiamat kelak: Wahai Adam! Bangun dan utuskan golongan neraka. Lalu baginda berkata: Aku turut perintah-Mu dengan gembira wahai Tuhanku dan kebaikan sentiasa di bawah kekuasaan-Mu. Wahai Tuhanku, siapakah utusan ke Neraka itu? Allah berfirman: Dari setiap seribu orang, sembilan ratus sembilan puluh sembilan adalah ahli neraka. Pada hari itu kanak kanak akan beruban (kerana ketakutan). Kemudian baginda membaca firman Allah Taala:



Apabila mendengar semua itu para sahabat merasa gusar, sehingga berubah air muka mereka, lalu mereka bertanya: Wahai rasulullah, siapakah di kalangan kami yang satu itu? Dari Ya'juj dan Makjuj, sembilan ratus sembilan puluh sembilan (daripada seribu) tetapi dari kalangan kamu hanya satu (daripada seribu). Lalu para sahabat bertakbir: Allahu Akbar. Nabi menjawab: Demi Allah aku berharap kamu semua adalah satu perempat ahli syurga. Demi Allah aku berharap kamu semua adalah satu pertiga ahli syurga. Demi Allah aku berharap kamu semua adalah separuh ahli syurga. Lalu para sahabat bertakbir. Nabi s.a.w. bersabda: Tetapi keadaan kamu di kalangan manusia pada waktu itu hanyalah seperti sehelai bulu putih pada badan lembu hitam atau seperti sehelai bulu hitam pada badan lembu putih.

Lihatlah bagaimana baginda pada mulanya mengemukakan ancaman untuk menimbulkan rasa gerun dan apabila mereka. merasa gusar dan bimbang, didatangkan pula penjelasan yang menenangkan mereka. Apabila hati merasa mesra dan cenderung kepada nafsu, ia sepatutnya digerunkan (dengan ancaman daripada Allah dan Rasul-Nya) tetapi apabila perasaan kegusaran itu berlebihan, hati sepatutnya ditenangkan semula agar kembali stabil.

Ibnu Mas'ud r.a. berkata: Allah Taala akan mengampunkan manusia pada hari kiamat dengan keampunan yang tidak terlintas di hati manusia.

Diriwayatkan bahawa seorang Majusi ingin bertemu Nabi Ibrahim a.s. dan menjadi tetamunya. Nabi Ibrahim berkata: Jika kamu memeluk Islam, aku terima kamu sebagai tetamuku. Lalu Allah Taala berfirman kepadanya: Wahai Ibrahim, Aku telah memberi makan kepadanya semenjak sembilan puluh tahun dahulu walaupun dia kafir. Lalu Nabi Ibrahim berlari-lari sambil memanggil kembali lelaki tersebut dan menceritakan hal itu kepadanya. Lelaki majusi itu terkejut dengan kelembutan dan kurniaan Allah, lalu dia memeluk Islam.

Faktor-faktor inilah yang akan menimbulkan perasaan berharap ke dalam hati golongan yang takut dan berputus asa. Manakala kepada orang yang bodoh dan tertipu, sepatutnya mereka tidak perlu mendengar berkenaan raja' ini tetapi cukup apabila mereka mendengar berkenaan khauf yang akan kita bentangkan selepas ini. Kebanyakan manusia menjadi baik apabila disebutkan kepadanya perkara-perkara yang boleh menimbulkan rasa takut dalam hatinya sebagaimana seorang hamba yang jahat, tidak akan berubah melainkan setelah takut dipukul dengan tongkat.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment