Thursday, 16 December 2021

SIRI 207 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 28: Berharap (Ar-Raja') Dan Takut (Al-Khauf)

Tajuk Mudarasah: Hakikat Perasaan Takut (Al-Khauf)

Halaman Rujukan Kitab : 533

Nota Mudarasah:

Bahagian Kedua: Perasaan Takut (al-khauf), Hakikat dan Darjatnya Perasaan takut adalah menggambarkan keadaan hati yang menderita dan merasai keperitan disebabkan sesuatu yang dibenci mungkin akan berlaku pada masa hadapan. Umpama seorang yang melakukan satu jenayah kepada seorang raja dan kemudiannya tertangkap. Sudah tentu dia akan merasa takut dihukum bunuh, tetapi mungkin juga dia akan dimaafkan. Namun hatinya tetap menderita dan merasa takut kerana kebarangkalian dia dihukum bunuh adalah lebih besar berdasarkan keburukan jenayah dan kesannya terhadap raja. Dengan bertambahnya faktor tersebut, bertambahlah ketakutannya. Begitulah sebaliknya. Mungkin juga perasaan takut yang wujud bukan kerana jenayah yang dilakukan, tetapi kerana ketingggian dan kemuliaan orang yang ditakutinya itu. Dalam hal ini, dia mengetahui bahawa sekiranya Allah Taala ingin membinasakan seluruh alam ini, Dia tidak sukar melakukannya dan tidak akan peduli. Tiada siapa lagi yang boleh menghalang-Nya. Dengan menyedari kekurangan diri serta mengenali keagungan dan kekayaaan Allah Taala yang tidak dipersoalkan setiap perbuatan Nya, datanglah sifat takut tersebut ke dalam diri manusia. Orang yang paling takut ialah orang yang paling mengenali dirinya dan juga Tuhannya. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. bersabda:
1 Riwayat al-Bukhari (10/437), Muslim (2356), Ahmad (6/45,181) dan al Baghawi (100) daripada hadis Aisyah r.ha..

Firman Allah Taala:



Apabila makrifat (mengenali diri dan Allah) itu sempurna, ia akan mewujudkan perasaan takut dan seterusnya meresap ke dalam hati. Kemudian kesan-kesan takut itu akan kelihatan tandanya pada setiap anggota dan sifat diri seperti kurus, pucat, menangis serta pengsan. Ia mungkin boleh membawa maut atau akan naik ke otak dan merosakkannya.

Manakala kesan yang boleh dilihat hasil daripada perasaan takut ini ialah meninggalkan maksiat serta komitmen dengan ketaatan untuk membetulkan apa yang telah diabaikan dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan. Ada ulamak berkata: Siapa yang takut, dia akan berjalan pada awal malam¹.²
1 Ia thabit daripada Nabi s.a.w.. Riwayat at-Tirmizi (2567), al-Hakim (4/308), al-Uqaili dalam ad-Dhu'afaa' (4/383) dan al-Qudhoie dalam Musnad as Syihab (406) daripada Abu Hurairah r.a. dengan sanad yang daif. Tetapi ia dikuatkan dengan riwayat yang lain oleh al-Hakim (3/408) dan Abu Naim (8/377) daripada Ubaiy bin Ka'ab. Oleh itu ia menjadi hadis hasan Insya Allah. Guru kami al-Albani telah memutuskan bahawa ia adalah sahih sebagaimana dalam Sahih al-Jami' (6098). Dan lihat an-Nihayah (2/129).
2 Maksudnya, siapa yang bimbang dan takut kepada Allah dan hari akhirat dia akan bersedia lebih awal-pent.


Sebahagian yang lain pula berkata: Orang yang takut bukanlah orang yang hanya cukup dengan menangis, tetapi orang takut yang sebenar ialah orang yang meninggalkan maksiat sedangkan dia mampu lakukan.

Antara kesan takut juga ialah seseorang dapat mengalahkan nafsu dan mengendurkan keseronokan untuk melakukan maksiat. Ketika itu, maksiat yang digemarinya kini menjadi suatu yang amat dibencinya. Umpama madu menjadi suatu yang dibenci oleh penggemarnya apabila dia tahu bahawa ia bercampur racun. Lalu hawa nafsu dibakar dengan perasaan takut dan seterusnya dapat mendidik anggotanya. Ketika itu hati akan menyedari kehinaannya dan seterusnya menjadi tenang.

Perasaan takut juga akan menghindarkan sifat takabbur, dendam dan dengki. Dia akan menjadi sentiasa bimbang dan sentiasa merenung risiko segala perbuatannya dan tidak akan mengsia-siakan waktunya dengan perkara-perkara lain. Dia juga akan menggunakan waktunya untuk bermuraqabah (merasai bahawa Allah sentiasa melihat segala tindak-tanduknya), bermuhasabah (menghitung diri dan amalannya) dan bermujahadah (berusaha dengan bersungguh dan istiqamah) melawan nafsu. Dia juga akan menghargai setiap gerak nafas dan detik waktu serta menghitung diri dalam setiap lintasan hati, langkah kaki dan luahan perkataannya. Keadaannya akan menjadi seperti seorang yang berhadapan dengan binatang buas. Dia tidak tahu sama ada binatang itu akan lalai lalu dia dapat melepaskan diri ataupun binatang itu akan menerkamnya dan membinasakannya. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada segala perbuatan yang dilakukannya.

Kekuatan muraqabah dan muhasabah adalah bergantung kepada tahap ketakutannya. Ketakutan pula bergantung kepada kekuatannya dalam mengenali Allah, sifat-sifatNya, kekurangan diri sendiri serta segala risiko dan kegerunan yang ada di hadapannya.

Serendah-rendah darjat al-khauf yang nampak kesannya pada tindak tanduk seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang. Meninggalkan perkara yang mungk membawa kepada yang haram dinamakan 'warak'. Sekiranya ditambah dengan sifat tajarrud (membersihkan diri daripada semua perkara selain dari Allah s.w.t.) di samping membelakangkan kemewahan yang sia-sia, ia dinamakan 'benar' (as-Sidqu).

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment