Monday, 13 December 2021

SIRI 204 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 28: Berharap (Ar-Raja') Dan Takut (Al-Khauf)

Tajuk Mudarasah: Penawar Raja' Dan Faktor Yang Menghasilkannya

Halaman Rujukan Kitab : 527

Nota Mudarasah:

Penawar ar-raja' diperlukan oleh dua jenis manusia:

i. Orang yang putus asa sehingga dia meninggalkan ibadat.

ii. Orang yang dikuasai oleh perasaan takut sehingga memudaratkan diri dan keluarga sendiri.

Manakala si pelaku maksiat yang terpedaya dan yang berangan angan untuk mendapat keampunan Allah tanpa mengerjakan ibadat, dia perlu menggunakan penawar sifat al-khauf untuk merawat dirinya. Ketika itu sifat berharap hanya akan menjadi racun baginya, sebagaimana madu merupakan penawar kepada orang yang berada dalam kesejukan tetapi mudarat kepada orang yang kepanasan.

Oleh kerana itu, seseorang pendakwah atau pemberi nasihat hendaklah menyampaikan dakwah atau nasihatnya secara berlemah lembut dengan melihat kepada penyakit orang yang dinasihatinya dan merawatnya dengan apa yang sepatutnya. Pada zaman ini, seseorang pendakwah tidak perlu banyak menggunakan aspek yang menyentuh keutamaan berharap, tetapi perlu banyak menekankan aspek yang menimbulkan perasaan takut dalam diri seseorang. Seseorang yang menasihati orang lain perlu menyentuh berkenaan fadhilat ar-raja' hanya untuk menarik hati orang tersebut bagi memudahkan rawatan.

Saidina Ali r.a. berkata: Seorang yang alim tidak menjadikan manusia berputus asa dari rahmat Allah dan tidak pula menjadikan mereka merasa selamat dari ujian Allah Taala.

Apabila kamu memahami perkara ini, maka ketahuilah bahawa antara sebab yang membawa kepada sifat berharap ialah melalui jalan iktibar dan keduanya melalui jalan al-akhbar (nas-nas daripada al-Quran dan hadis). Mengambil iktibar (pengajaran) ialah dengan meneliti seluruh jenis nikmat yang telah dinyatakan dalam bab bersyukur dahulu. Apabila seseorang mengetahui kasih sayang Allah terhadap hambanya di dunia, kebijaksanaan-Nya dalam mencipta fitrah kehidupan manusia, kurniaan Allah yang tidak pernah cuai terhadap setiap keperluan manusia di dunia dan sentiasa menaikkan kedudukan mereka di sisi-Nya, ketika itu dia hendaklah menyedari bahawa kalau itulah sifat Allah terhadap hamba-hamba-Nya, maka bagaimana mungkin Allah boleh meredai atau membiarkan perjalanan mereka itu menuju kepada kebinasaan selama-lamanya?. Sesungguhnya Tuhan yang bersifat lemah lembut dan Maha Mengurniakan di dunia, pasti akan bersifat sedemikian di akhirat kelak kerana pentadbir kedua-dua alam ini ialah Allah Yang Maha Esa.

Manakala yang kedua ialah melalui penelitian terhadap nas nas al-Quran dan juga hadis (al-akhbar). Antaranya ialah firman Allah Taala:





Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment