Sunday, 26 December 2021

SIRI 217 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 28: Berharap (Ar-Raja') Dan Takut (Al-Khauf)

Tajuk Mudarasah: Takutnya Para Sahabat Dan Tabi’in

Halaman Rujukan Kitab : 551

Nota Mudarasah:

Diriwayatkan bahawa Abu Bakar r.a. memegang lidahnya, kemudian beliau berkata:


3 Riwayat Malik (2/988), Abu Ya'la (no: 5) dan Ibnu as-Sunni (no: 7). Al Haithami telah menyebutnya dalam al-Majma' (10/302) dan ianya sahih.

Beliau juga pernah berkata: Alangkah baiknya kalau aku menjadi tumbuhan yang boleh dicabut dan dimakan. Talhah, Abu Darda' dan Abu Zar juga pernah berkata sedemikian.

Ketika Umar bin Al-Khattab r.a. mendengar ayat-ayat al-Quran, beliau jatuh sakit dan diziarahi beberapa hari.

Pada satu hari beliau mengambil segenggam jerami gandum dan berkata: Alangkah baiknya jika aku menjadi seperti jerami ini. Alangkah baiknya kalau aku tidak menjadi suatu yang bernilai dan alangkah baiknya kalau ibuku tidak melahirkan aku.

Pada wajahnya terdapat dua jalur hitam kesan dari tangisan.

Othman r.a. berkata: Aku begitu ingin jika aku mati dan tidak dibangkitkan semula.

Abu Ubaidah al-Jarrah r.a. berkata: Aku suka kalau aku menjadi seekor kibasy, lalu disembelih oleh keluargaku dan mereka memakan dagingku serta menghirup kuah supku.

Imran bin Husoin berkata: Alangkah baiknya aku menjadi debu-debu yang berterbangan ditiup angin.

Huzaifah berkata: Aku mengimpikan ada seseorang yang menjaga hartaku kemudian aku menutup pintuku sehingga seorang pun tidak dapat masuk bertemuku sehingga aku bertemu Allah Taala.

Kesan tangisan yang terdapat pada kedua pipi Ibnu Abbas r.a. seperti tali kasut yang usang.

Aisyah r.ha. berkata: Alangkah baiknya kalau aku menjadi sesuatu yang dilupakan.

Ali r.a. berkata: Demi Allah! Sesungguhnya aku telah melihat para sahabat Muhammad s.a.w. dan pada hari ini tiada seorang pun yang serupa dengan mereka. Mereka bangun pagi dalam keadaan kusut masai, berdebu dan di antara mata mereka terdapat seperti lutut-lutut kambing (kesan sujud). Mereka menghabiskan waktu malam dengan mendirikan sembahyang sambil membaca al-Quran. Mereka bertongkat sama ada dengan dahi ataupun kaki mereka sahaja (melambangkan banyaknya sembahyang dan sujud). Apabila pagi, mereka berzikir kepada Allah Taala. Badan mereka bergoyang seumpama pokok-pokok di musim berangin. Mata mereka menangis sehingga basah pakaian mereka. Demi Allah, umat pada hari ini seolah-olah tidur dalam keadaan yang terlalu lalai.

Kisah Takut Para Tabi'in dan Mereka yang Selepasnya

Harim bin Hayyan berkata: Demi Allah! Aku sangat teringin kalaulah aku ini sepohon pokok yang dimakan unta kemudian menjadi najisnya. Seterusnya aku tidak perlu mengharungi derita hisab pada hari kiamat. Sesungguhnya aku amat takutkan musibah bala yang terbesar (azab neraka).¹
1 Lihat Sifatus Safwah (3/137) oleh Ibnul Jauzi.

Ketika Ali bin al-Husin berwuduk, mukanya menjadi pucat dan berubah. Dia ditanya: Kenapa dengan kamu? Lalu dia menjawab: Tidakkah kamu tahu di hadapan siapa aku ingin mengadap?.

Muhammad bin Wasi' menangis sepanjang malam dan hampir hampir tidak berhenti.

Jika disebut tentang mati kepada Umar bin Abdul Aziz, beliau akan menggeletar seumpama burung kesejukan lalu beliau menangis sehingga membasahi janggutnya. Satu malam, beliau menangis sehingga semua keluarganya menangis. Apabila tangisan mereka reda, isterinya Fatimah berkata: Wahai Amirul Mukminin, kenapa kamu menangis? Beliau menjawab: Aku teringat nasib manusia selepas dihitung di hadapan Allah, satu kumpulan akan memasuki syurga manakala satu lagi akan ke neraka. Lalu beliau meraung dan akhirnya jatuh pengsan.

Ketika Khalifah al-Mansur ingin memasuki Baitul Maqdis, dia singgah di rumah seorang rahib yang pernah disinggahi oleh Umar bin Abdul Aziz. Beliau bertanya kepada rahib itu: Beritahu aku perkara yang paling kamu kagumi pada Umar bin Abdul Aziz? Rahib itu menjawab: Satu malam beliau pernah bermalam di bahagian atas rumahku yang diperbuat dari marmar lembut. Tiba-tiba aku terkena titisan air dari atas melalui saluran air. Lalu aku naik dan mendapatinya dalam keadaan sujud. Aku melihat air matanya turun laju melalui saluran air itu.

Diriwayatkan bahawa Umar bin Abdul Aziz dan Fath al-Mausili menangis sehingga keluar air mata darah.

Ibrahim bin Isa al-Yashkuri berkata: Aku telah pergi menemui seorang lelaki di Bahrain yang telah mengasingkan dirinya dari orang ramai. Aku berbicara dengannya tentang akhirat dan mati. Lalu beliau mula sesak nafas dan terus meninggal dunia.

Misma' berkata: Aku menyaksikan Abdul Wahid bin Zaid memberi tazkirah dalam satu majlis dan seramai empat orang telah mati dalam majlis tersebut kerana takutkan Allah.

Yazid bin Mursyid seorang yang banyak menangis. Beliau pernah berkata: Demi Allah seandainya Tuhanku memberi amaran untuk mengurungku dalam sauna, nescaya aku tidak akan berhenti dari menangis. Inikan pula jika Dia memberi amaran untuk mengurungku dalam neraka kerana menderhakai-Nya, (bagaimana aku boleh berhenti menangis)?.

As-Sirri as-Saqati berkata: Setiap hari aku akan melihat hidungku sendiri, bimbang wajahku akan menjadi hitam (kerana kemurkaan Allah).

Semua kisah ini adalah gambaran sifat takut para malaikat, anbiya', ulamak dan auliya'. Kita sepatutnya lebih merasa takut daripada mereka, bukan kerana banyaknya dosa tetapi kerana kejernihan hati dan kesempurnaan makrifah. Sebaliknya kita merasa selesa kerana kejahilan dan kekerasan hati kita. Hati yang jernih akan merasa begitu takut walaupun dengan sebab yang paling kecil sedangkan hati yang beku akan sentiasa menjauhkan diri dari setiap peringatan.

Ada di kalangan salaf yang menceritakan bahawa dia telah berkata kepada seorang rahib: Nasihatkanlah aku. Lalu rahib itu berkata: (Suatu yang sangat baik) jika kamu mampu menjadi seperti seorang lelaki yang sentiasa berwaspada ketika berhadapan dengan binatang buas atau binatang berbisa. Dia bimbang sekiranya dia lalai, binatang buas itu akan membahamnya dan sekiranya dia lupa binatang berbisa itu akan mematuknya. Dia sentiasa berwaspada dan ketakutan. Aku berkata: Teruskan. Lalu dia berkata: Orang yang dahaga tetap cukup baginya walaupun dengan air yang sedikit.

Apa yang dinasihatkan oleh rahib agar menganggap diri seperti seorang lelaki yang berhadapan dengan binatang buas dan binatang berbisa adalah hakikat sebenar keadaan diri seorang mukmin. Sesiapa yang melihat ke dalam jiwanya dengan pandangan mata hati, dia akan melihat dirinya dipenuhi dengan binatang buas dan binatang berbisa yang terdiri daripada sifat marah, dendam, dengki, takabur, ujub, riya' dan lainnya. Semua itu akan mematuk dan membahamnya jika dia lalai. Namun begitu kebanyakan manusia terhalang dari melihat kebenaran ini. Apabila hijab tersingkap (ketika kematiannya) dan dia diletakkan di dalam kubur, barulah dia melihat dengan mata kepalanya sendiri lembaga-lembaga berupa ular-ular dan kala jengking yang akan menyengatnya.

Inilah sifat yang wujud semasa hidup seseorang. Sesiapa yang ingin mengalahkan dan membunuh sifat-sifat yang tidak baik itu, hendaklah dia bermula dari sekarang. Jika tidak, maka sediakanlah dirinya untuk menerima sengatan yang berbisa, tepat ke lubuk hatinya selain daripada sengatan pada kulit luarnya.

Wassalam.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment