Saturday, 5 February 2022

SIRI 258 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 31: Kecintaan, Kerinduan, Kemesraan Dan Keredhaan

Tajuk Mudarasah: Pengertian Rindu Kepada Allah Taala

Halaman Rujukan Kitab : 609

Nota Mudarasah:

Sebelum ini telah dibincangkan berkenaan cinta dan dalil dalilnya. Perasaan rindu merupakan salah satu hasil dari perasaan cinta. Sesiapa yang mencintai sesuatu pasti akan merinduinya.

Perasaan rindu ini hanya berlaku pada satu-satu perkara yang boleh dicapai (yudrak) dari satu sudut dan tidak boleh dicapai dari sudut yang lain. Sesuatu yang tidak boleh dicapai sama sekali, ia tidak akan dirindui. Pencapaian (al-idrak) yang paling sempurna ialah dengan melihat apa yang dirinduinya dan perkara itu hanya akan berlaku di akhirat nanti.

Perkara yang berkaitan dengan ketuhanan tiada penghujungnya. Hanya sebahagiannya sahaja yang didedahkan oleh Allah kepada setiap hamba-Nya, manakala bakinya kekal dalam keadaan tidak berpenghujung. Orang yang arif menyedari kewujudan perkara perkara tersebut dan mengetahui bahawa ia berada dalam ilmu Allah Taala. Dia sedar bahawa maklumat yang tidak diperolehinya adalah lebih banyak dari apa yang dimilikinya. Oleh itu, seseorang hamba sentiasa rindu untuk memiliki asas makrifah yang sejati. Kerinduan tersebut akan berakhir di akhirat nanti melalui jalan maknawi yang disebut rukyah dan musyahadah. Hati orang yang merindui Allah, sekali-kali tidak akan merasa tenang selagi mana dia berada di dunia.

Ibrahim bin Adham adalah antara kalangan yang amat merindui Allah Taala. Pada suatu hari, beliau berkata: Wahai Tuhan! Sekiranya Engkau telah kurniakan kepada salah seorang hamba-Mu yang mencintai-Mu apa-apa sahaja yang menenangkan hatinya sebelum dia kembali bertemu dengan-Mu, maka kurniakalah ia juga kepadaku kerana hatiku kini kian gelisah. Lalu aku bermimpi bertemu dengan Tuhan dalam tidurku. Di mana Dia telah berfirman: Wahai Ibrahim! Tidakkah engkau berasa malu kerana memohon ketenangan sebelum bertemu dengan-Ku?. Adakah hati seorang yang rindu itu akan merasa tenang sebelum berjumpa dengan kekasihnya? Aku menjawab: Wahai Tuhan! Aku tenggelam dalam cintaku kepada-Mu sehinggakan aku tidak tahu lagi apa yang aku ucapkan.

Kerinduan sebegini hanya akan tenang di akhirat nanti. Selain dari itu, iaitu yang berada dalam ilmu Allah, ianya tidak terhingga dan tidak berpenghujung. Ia tidak akan nyata bagi seseorang hamba dan dia pula tidak akan mengetahuinya semua sekali. Dengan itu dia hanya sibuk dengan kenikmatan yang nyata baginya sahaja. Kenikmatan dan kelazatan yang dikecapinya itu pula akan sentiasa bertambah sehingga menjadikannya alpa untuk merasa rindu kepada apa yang tersembunyi di sebaliknya. Kadar sebahagian daripada cahaya mata hati (Anwarul Basooir) ini sahaja sudah cukup untuk menyingkap hakikat rindu dan segala maknanya.

Antara dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengajar seorang lelaki sepotong doa dan menyuruhnya supaya beramal bersama keluarganya setiap hari. Lalu Rasulullah s.a.w. menyebut:


1 Riwayat an-Nasaie (3/54), Imam Ahmad (4/264), Abu Ya'la (1624) dan Ibnu Hibban (1962) daripada Ammar r.a. dengan dua riwayat. Salah satunya adalah dengan sanad yang baik.

Dalam Kitab Taurat, Allah Taala berfirman: Orang yang baik terus menerus merindui pertemuan dengan-Ku dan Aku sebenarnya lebih rindu untuk bertemu dengan mereka.

Antara perkara yang diilhamkan oleh Allah Azzawajalla kepada sebahagian hamba-Nya ialah: Sesungguhnya Aku mempunyai hamba-hamba yang amat mencintai-Ku dan Aku mencintai mereka.

Aku merindui mereka dan mereka merindui-Ku. Mereka mengingati Ku dan Aku juga mengingati mereka. Sekiranya kamu mengikuti jalan mereka, Aku akan mencintaimu tetapi jika kamu menyeleweng dari jalan mereka, Aku akan membencimu.

Hamba itu berkata: Wahai Tuhan! Bagaimana cara untuk mengenali mereka? Allah berfirman: Pada siang hari mereka memberi perhatian kepada (perubahan) bayang-bayang (untuk mengetahui masuk waktu sembahyang kerana ingin menunaikannya dengan segera) sebagaimana pengembala yang bersifat penyayang memberi perhatian penuh terhadap kambing-kambing gembalaannya. Mereka begitu rindu kepada tibanya masa terbenam matahari sepertimana burung yang merindui untuk pulang ke sarangnya ketika senja.

Apabila datangnya waktu malam, kegelapan kembali menjelma, tilam dihamparkan dan setiap orang kembali berada di sisi orang yang dikasihinya, ketika itu mereka akan bangun untuk bersolat malam. Mereka sujud kepada-Ku dan bermunajat kepada-Ku dengan Kalam-Ku (membaca al-Quran). Mereka memuja dan memuji Aku kerana nikmat-Ku kepada mereka. Mereka lakukan itu semua sama ada dalam keadaan menjerit dan menangis, mengeluh dan mengadu, bangun dan duduk serta rukuk dan sujud. Aku melihat segala kesusahan yang mereka tanggung semata-mata kerana-Ku dan Aku dengar segala pengaduan mereka lantaran kecintaan mereka terhadap-Ku.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment