Friday, 4 February 2022

SIRI 257 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 31: Kecintaan, Kerinduan, Kemesraan Dan Keredhaan

Tajuk Mudarasah: Sebab Keterbatasan Fikiran Manusia Dalam Mengenali Allah

Halaman Rujukan Kitab : 607

Nota Mudarasah:

Sesiapa yang mencipta sesuatu benda, benda itu sendiri menjadi bukti kepada wujudnya penciptanya bahkan secara jelas menunjukkan bahawa pencipta ini adalah berilmu, hidup dan mempunyai keupayaan. Ini berlaku walaupun sifat-sifat ini tidak mampu dirasai oleh pancaindera yang lima.

Semua perkara yang kita nampak pada setiap hari sama ada batu, pokok, kebun, tumbuh-tumbuhan, haiwan, bumi, langit, bintang, daratan dan lautan adalah menjadi saksi dan bukti yang nyata kepada kewujudan Allah s.w.t., kekuasaan dan keilmuan-Nya serta sifat-sifat lain yang dimiliki-Nya. Bahkan perkara pertama yang menjadi dalil atau bukti kepada semua itu ialah diri kita sendiri, batang tubuh kita, perubahan keadaan dan hati kita serta segala perkembangan dan perubahan yang berlaku pada tindakan mahupun diam kita.

Seluruh isi alam adalah saksi hidup dan dalil yang menunjuk kan kewujudan penciptanya yang mengatur, mentadbir dan meng gerakkannya. Ia juga membuktikan betapa pencipta kepada semua itu (Allah) adalah Tuhan yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, Maha Hidup, Maha Penyantun, Maha Bijaksana, Maha Agung dan Maha Tinggi. Ini kerana setiap atom seolah-olah berkata: Ia bukan wujud dengan sendirinya tetapi ia memerlukan kepada penciptanya. Namun begitu, dalam mengetahui dan mengenali kehadrat ilahi serta kewujudan-Nya ini, akal kita seumpama kelawar di waktu siang hari. Disebabkan penglihatannya amat lemah, ia hanya boleh melihat di malam hari dan tidak dapat melihat di siang hari. Kelawar ini tidak nampak sesuatu di siang hari bukan kerana benda itu tiada di hadapannya tetapi kerana ia terlalu jelas dan bercahaya sedangkan mata kelawar amat lemah untuk memandangnya. Begitulah juga dengan akal kita. Ianya lemah dalam menyedari dan mengenali kehadrat ilahi.

Maha Suci Allah yang terlindung dengan pancaran cahaya-Nya, menyebabkan Dia tidak dapat dilihat oleh hati dan mata. Inilah sebab kenapa kita tidak berkemampuan dalam mengenali Allah Taala. Tambahan pula, tanda-tanda yang membuktikan kewujudan Allah itu, hanya disedari semasa kecilnya (secara fitrah) sebelum akalnya berfungsi dengan sempurna. Kemudian setelah naluri akalnya menjadi sempurna sedikit demi sedikit, dia mula sibuk memikirkan urusan duniawi sehingga lalai dengannya. Ketika itu tanda-tanda kewujudan Allah Taala sudah menjadi pandangan biasa kepadanya, menyebabkan kesan dari tanda-tanda kebesaran Allah itu gugur dari hatinya.

Begitu juga apabila secara tiba-tiba, seorang itu melihat binatang yang pelik, tumbuh-tumbuhan atau af'al Allah Taala yang hebat dan luar biasa, pasti lidahnya akan menyebut dengan rasa kagum: Subhanallah (Maha Suci Allah)! Subhanallah!. Sedangkan dia telah melihat diri dan segala anggota badannya sepanjang hari serta memerhati seluruh binatang-binatang yang jinak. Semuanya adalah bukti yang nyata tetapi dia tidak merasakan apa-apa kerana itu telah menjadi kebiasaannya semenjak dahulu.

Andaikan seorang buta yang telah sampai ke tahap yang matang. Kemudian secara tiba-tiba selaput butanya hilang lalu dia dapat melihat ke langit atau bumi, pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan dan haiwan sekaligus. Ketika itu, dibimbangi akalnya akan terpaku kaku kerana terlalu takjub melihat segala keajaiban ini. Kejadian inilah yang membuktikan kewujudan penciptanya. Di samping sebab-sebab yang tersebut di atas, kelalaian mengikut syahwat juga merupakan faktor penghalang kepada manusia dari mengenali Allah dengan cahaya makrifah dan mendalaminya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment