Friday, 11 March 2022

SIRI 292 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 32: Niat, Ikhlas, Benar Dan Tafakkur

Tajuk Mudarasah: Ketiga: Benar; Hakikat dan Kelebihannya

Sub Tajuk: Benar Dalam Percakapan

Halaman Rujukan Kitab : 645

Nota Mudarasah:

Ketiga: Benar; Hakikat dan Kelebihannya

Abdullah bin Mas'ud r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
َ عَلَيْكُمْ بِالصِّدْقِ فَإِنَّ اَلصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى اَلْبِرِّ وَإِنَّ اَلْبِرَّ يَهْدِي إِلَى اَلْجَنَّةِ وَمَا يَزَالُ اَلرَّجُلُ يَصْدُقُ وَيَتَحَرَّى اَلصِّدْقَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ صِدِّيقًا
Hendaklah kamu bersifat benar, sesungguhnya benar itu membawa kepada kebajikan, dan kebajikan itu membawa kepada syurga. Seseorang itu sentiasa bersifat benar dan berusaha untuk berlaku benar pada setiap ketika sehingga tertulis namanya di sisi Allah sebagai seorang yang benar.⁷⁰⁹
709 Riwayat al-Bukhari (10/423) dan Muslim (2606)

Bisyr Al-Hafi telah berkata: Sesiapa yang benar hubungannya dengan Allah, dia akan sentiasa merasa asing dengan manusia lain.

Lafaz as-Sidq (benar) ini digunakan dengan beberapa pengertian:

Pertama: Benar dalam percakapan.

Menjadi kewajipan ke atas setiap hamba agar memelihara kata-katanya. Jangan sekali-kali berkata-kata kecuali yang benar. Benar dalam kata-kara merupakan jenis benar yang paling masyhur dan jelas.

Hendaklah kita menjauhi percakapan secara ta'aridh⁷¹⁰ kerana ia menyerupai pembohongan, kecuali dalam beberapa keadaan yang ada keperluan dan kepentingan. Apabila Rasulullah s.a.w. ingin melancarkan sesuatu peperangan, baginda akan menggunakan perkataan lain (bukan lafaz peperangan) semata-mata bimbang jika musuh mengetahuinya terlebih awal lalu bersiap-sedia untuk memerangi baginda.⁷¹¹
710 Perkataan yang difahami oleh pendengar lain dari yang dimaksudkan oleh orang yang bercakap.
711 Riwayat al-Bukhari (2757), Muslim (2769), Abu Daud (2187), an-Nasaie (6/152), at-Tirmizi (5001), Ahmad (3/454), Ibnu Jarir (17447), Abdul Razzaq (9744) dan at-Tobrani dalam kitab al-Kabir (19/42). Semuanya meriwayatkan hadis ini daripada Ka'ab bin Malik r.a..


Rasulullah s.a.w. juga bersabda⁷¹²:
712 Riwayat al-Bukhari (1302) dan Muslim (2605) daripada Ummu Kalthum binti Uqbah r.ha..
َ لَيْسَ بِكَاذِبِ مَنْ أَصْلَحَ بَيْنَ اثْنَيْنَ فَقَالَ خَيرًا أَوْ نَمَي خَيْرًا
Seseorang tidak dianggap berbohong jika dia bertujuan mem perbaiki hubungan di antara dua orang yang berbalah, lalu dia bercakap sesuatu yang baik atau mereka-reka kebaikan.⁷¹³
713 Contohnya dia berkata kepada salah seorang antara dua saudara yang bergaduh bahawa saudaranya itu menyampaikan salam kepadanya walaupun sebenarnya dia tidak berbuat demikian. Begitu juga dia lakukan kepada saudara yang kedua-pent.

Apabila seeorang itu bermunajat dan berdoa, dia hendaklah menjaga kebenaran maksud doanya. Contohnya lafaz: "Aku hadapkan muka ku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi". Jika hatinya berpaling daripada Allah s.w.t. kerana sibuk memikirkan hal keduniaan, dia sebenarnya telah berbohong dalam doanya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment