Thursday, 10 March 2022

SIRI 291 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 32: Niat, Ikhlas, Benar Dan Tafakkur

Tajuk Mudarasah: Hukum Niat Yang Bercampur-Aduk

Halaman Rujukan Kitab : 645

Nota Mudarasah:

Hukum Niat Yang Bercampur-Aduk

Amal yang dilakukan kerana riya' akan merugikan pelakunya, bukan menguntungkannya. Ia menjadi sebab kepada seksaan, sebagaimana juga amalan yang tulus ikhlas kepada Allah menjadi sebab kepada pahala. Kedua-dua bahagian ini adalah jelas dan tidak diragui lagi. Apa yang kita mahu perkatakan ialah berkenaan amalan yang bercampur aduk dengan penyakit riya' dan dorongan dorongan nafsu yang lain.

Ada perbezaan pendapat dalam hal tersebut; adakah dia mendapat pahala, berdosa atau tidak mendapat apa-apa? Hadis hadis yang membincangkan perkara tersebut secara zahirnya bertentangan antara satu sama lain.

Apa yang jelas kepada kita - ilmu dan jawapan sebenar adalah di sisi Allah Taala ialah kita perlu lihat kepada setakat mana kekuatan dorongan tersebut. Sekiranya dorongan agama sama kuat dengan dorongan nafsu, kedua-duanya akan saling berlawanan dan akhirnya semuanya gugur. Pelakunya tidak akan mendapat apa apa sama ada pahala ataupun dosa. Sekiranya dorongan riya' lebih kuat, amalannya menjadi rosak dan dia akan menerima hukuman. Walau bagaimanapun hukuman tersebut tidaklah seberat orang yang melakukan sesuatu semata-mata kerana riya'. Jika sekiranya dorongan agama lebih kuat, dia diberi pahala sekadar keikhlasannya.

Firman Allah Taala:
َ إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ ۖ وَإِنْ تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا
Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiayai seseorang sekalipun seberat zarrah. Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah itu) amal kebajikan, nescaya Dia akan menggandakannya.
( An-Nisa' : 40 )


Pendapat kami ini diperkuatkan lagi oleh ijmak ummah yang mengatakan bahawa sesiapa yang menunaikan haji di samping berniaga, hajinya sah dan diberikan pahala oleh Allah Taala, walaupun dia bercampur dengan beberapa keinginan nafsu. Jika ibadat haji merupakan penggerak utama perjalanannya, dia akan mendapat pahala di sepanjang perjalanannya itu.

Begitu juga orang yang berperang dengan niat berperang dan mendapatkan ghanimah. Niat mendapatkan ghanimah adalah niat sampingan dan dia akan diberi pahala. Namun pahala tersebut tidak menyamai pahala mereka yang benar-benar ikhlas tanpa memikirkan soal ghanimah.

Wallahu A'lam.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment