Sunday, 13 March 2022

SIRI 294 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 32: Niat, Ikhlas, Benar Dan Tafakkur

Tajuk Mudarasah: Ketiga: Benar; Hakikat dan Kelebihannya
Sub Tajuk: Benar Dalam Keazaman Serta Menunaikannya
Sub Tajuk: Benar dalam amalan

Halaman Rujukan Kitab : 648

Nota Mudarasah:

Ketiga:Benar dalam keazaman serta menunaikannya

Berkenaan dengan keazaman, contohnya ialah apabila seorang berkata: Jika Allah s.w.t. mengurniakan harta kepada ku, aku akan sedekahkan kesemuanya. Itu merupakan keazaman yang kadang kadang benar dan kadang-kadang masih diragui.

Manakala benar dalam menunaikan azam pula ialah dengan bersifat benar dalam azamnya dan sanggup menunaikan janji atau azamnya itu. Ini kerana ketika berazam dia tidak menghadapi kepayahan atau masyaqqah sehinggalah kehendaknya itu menjadi kenyataan (memperolehi harta). Ketika itu keazamannya (untuk mengsedekahkan kesemuanya) akan teruji disebabkan nafsu yang menguasainya. Sebab itulah Allah s.w.t. berfirman:
َ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ
Di antara orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam).
( Al-Ahzab : 23 )

Dalam ayat lain Allah s.w.t. berfirman:
وَمِنْهُم مَّنْ عَـٰهَدَ ٱللَّهَ لَئِنْ ءَاتَىٰنَا مِن فَضْلِهِۦ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (75) فَلَمَّآ ءَاتَىٰهُم مِّن فَضْلِهِۦ بَخِلُوا۟ بِهِۦ وَتَوَلَّوا۟ وَّهُم مُّعْرِضُونَ (76) فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِى قُلُوبِهِمْ إِلَىٰ يَوْمِ يَلْقَوْنَهُۥ بِمَآ أَخْلَفُوا۟ ٱللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا۟ يَكْذِبُونَ (77)
Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan tergolong di kalngan orang yang soleh.Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). Akibatnya Allah menimbul kan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.
( At-Taubah : 75-77 )

Keempat: Benar dalam amalan.

Ia berlaku apabila dalaman seseorang (batinnya) itu sama sebagaimana yang dilihat pada luarannya (zahirnya). Sekiranya amalan pada luarannya menggambarkan dia seorang yang khusyuk, sedangkan batinnya tidak sedemikian, itu bermakna dia tidak bersifat benar dalam amalannya. Mutorrif pernah berkata: Apabila dalaman seseorang hamba sama sebagaimana luarannya maka ketika itu Allah s.w.t. akan berfirman: Inilah hamba-Ku yang sebenar-benarnya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment