Wednesday, 16 March 2022

SIRI 297 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 32: Niat, Ikhlas, Benar Dan Tafakkur

Tajuk Mudarasah: Muhasabah (Menghitung Diri) dan Muraqabah (Berwaspada dan Merasakan Diri Sentiasa Diawasi oleh Allah)

Halaman Rujukan Kitab : 652

Nota Mudarasah:

Apabila mereka mengetahui bahawa penyelamat mereka hanyalah ketaatan kepada Allah dan Allah telah memerintahkan mereka agar bersabar, bersiap sedia dan berwaspada (murabatoh), mereka pun melaksanakan perintah tersebut. Perintah ini sebagaimana terkandung dalam firman-Nya:
َ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا
Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (mengha dapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan).
(Aali-Imran: 200)

Bagi mencapai ke tahap murabatoh, mereka perlulah memper siapkan diri dengan beberapa perkara iaitu (secara turutan):

i. Al-Musyaratoh (mensyaratkan kepada diri sendiri)

ii. Al-Muraqabah (berwaspada dan merasai diri sentiasa diawasi oleh Allah)

iii. Al-Muhasabah (menghitung diri)

iv. Al-Mu'aqabah (mendenda diri jika tersilap)

v. Al-Mujahadah (berusaha bersungguh-sungguh membaiki diri dan mempertahankan agama)

vi. Al-Mu'atabah (mencela diri apabila berlaku cuai)

Inilah enam maqam atau prinsip yang perlu dimiliki oleh mereka bagi mencapai tahap al-murabatoh. Asasnya ialah bermuhasabah. Namun begitu setiap muhasabah hendaklah dilakukan selepas musyaratoh dan muraqabah. Apabila berlaku kecuaian, berlakulah proses mu'atabah dan mu'aqabah. Setiap prinsip ini perlukan penjelasan yang lebih terperinci.

Prinsip Pertama: Al-Musyaratoh (Mensyaratkan Kepada Diri Sendiri)

Apabila seseorang peniaga mahu meminta khidmat dari rakan kongsinya dalam perniagaan kerana ingin mendapat untung, sudah tentu dia akan menetapkan syarat-syarat dan kemudian akan menilai prestasinya. Begitulah juga akal yang memerlukan penglibatan jiwa. Ia (akal) perlu menentukan fungsi dan syarat-syarat serta memandunya ke arah kejayaan. Kemudian akal tidak akan lalai dari terus mengawasi gerak-gerinya kerana boleh jadi berlakunya khianat dan seterusnya merugikan modalnya. Setelah selesai segala tugasan, perlu dilakukan satu penilaian dan menuntutnya agar menepati segala syarat yang telah dimeterai dahulu.

Perniagaan seperti ini, habuannya adalah syurga firdaus yang paling tinggi. Justeru, menghitung diri dengan teliti dan terperinci adalah proses yang lebih penting dari proses penilaian terperinci terhadap segala perjalanan urusniaga dan keuntungan duniawi. Oleh itu kepada setiap orang yang mempunyai keazaman serta beriman kepada Allah dan hari akhirat sudah semestinya tidak boleh lupa dan mengabaikan proses muhasabah diri ini. Begitu juga dengan proses mengawal ketat segala gerak-geri dan diam serta cetusan keinginan nafsunya. Ini kerana setiap nafas yang dihembus merupakan mutiara yang amat berharga yang tiada gantinya.

Apabila seseorang hamba itu selesai menunaikan solat fardu subuh, dia seharusnya mengosongkan hatinya untuk menetapkan syarat (musyaratoh) pada dirinya dengan berkata: Aku tidak mempunyai barang berharga kecuali umurku dan jika modalku ini lesap, dengan sendirinya putuslah harapan untuk berniaga dan mencari laba. Hari ini adalah hari baru untukku di mana Allah melanjutkan tempoh hidupku, melewatkan ajalku sebagai nikmat Nya kepadaku. Sekiranya Allah s.w.t mematikan aku, sudah tentu aku berharap agar diriku dikembalikan semula ke dunia supaya aku dapat beramal soleh padaNya.

Wahai diri, andaikan kamu telah dimatikan kemudian dihidupkan kembali, maka janganlah persia-siakan hari ini. Ketahuilah bahawa satu hari ada dua puluh empat jam. Ini bermakna setiap hari hamba itu akan diberikan sebanyak dua puluh empat peti khazanah yang tersusun. Apabila dibuka khazanah pertama, dia mendapatinya dipenuhi cahaya kebaikan yang dilakukannya pada jam tersebut, lalu dia merasa begitu seronok melihatnya di mana kalaulah keseronokan itu dibahagi-bahagikan kepada penduduk neraka, pasti mereka akan terlupakan azab neraka yang sedang mereka hadapi.

Kemudian dibuka satu lagi khazanah lain yang hitam legam, sangat busuk dan dilutupi kegelapan. Itu adalah tempoh satu jam yang dihabiskan dalam keadaan menderhakai Allah. Justeru dia merasa amat takut dan kesal di mana kalaulah ketakutan dan kekesalan itu diberikan kepada ahli syurga pasti ia akan memutuskan keseronokan mereka.

Kemudian dibukakan satu lagi peti khazanahnya dan didapati ianya kosong, tidak ada apa-apa yang menakutkan atau yang menggembirakannya. Itu adalah peti bagi tempoh jam yang digunakan untuk tidur atau terlalai atau sibuk dengan perkara-perkara yang harus. Ketika itu dia menyesal kerana kosongnya peti tersebut, sama seperti peniaga yang mungkin berpeluang mendapat untung yang banyak tetapi dia cuai sehingga keuntungan itu terlepas begitu sahaja.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment