Wednesday, 30 March 2022

SIRI 311 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Kelebihan Mengingati Mati
Tajuk Mudarasah: Cara Mengingati Mati

Halaman Rujukan Kitab : 678

Nota Mudarasah:

Ketahuilah bahawa risiko kematian adalah perkara yang sangat besar. Manusia lalai mengenainya kerana terlalu sedikit memikirkan dan mengingatinya. Jika ada di kalangan mereka yang mengingatinya sekalipun, ingatannya itu hanyalah dengan hati yang lalai. Mengingati mati sebegini tidak akan mendatangkan faedah.

Cara mengingati mati yang sepatutnya ialah dengan mengosongkan hatinya semata-mata untuk mengingati mati yang berada di hadapan matanya. Keadaannya seperti seorang yang ingin bermusafir melalui padang pasir yang merbahaya atau lautan yang luas, sudah tentu dia hanya sibuk berfikir mengenai perjalanannya itu.

Jalan yang paling berfaedah ialah mengenangkan orang yang telah mati sebelumnya dengan mengingati keadaan kematian dan kesudahan mereka di bawah lapisan tanah.

Ibn Mas'ud r.a berkata: Orang yang berbahagia ialah orang yang dapat mengambil pengajaran dari peristiwa yang menimpa orang lain.⁷³⁴
734 Riwayat Muslim (2645) daripadanya.

Abu Darda' r.a. berkata: Apabila disebutkan tentang orang-orang yang mati, maka anggaplah diri kamu salah seorang daripada mereka. Seorang hamba perlu banyak menziarahi tanah perkuburan. Jika dia merasa tenang dengan dunia, dia perlu segera berfikir bahawa dia tetap akan berpisah dengannya. Itu akan memendekkan angan-angannya.

Abdullah ibnu Umar r.a. meriwayatkan: Rasulullah s.a.w. telah memegang bahuku seraya bersabda:
كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّك غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang yang dagang atau seorang yang sedang melintasi suatu jalan.⁷³⁵
735 Riwayat al-Bukhari (6416), at-Tobrani dalam kitab al-Kabir (13470), Ibn Hibban dalam kitab Raudah al-'Uqala' (148) dan Abu Naim (3/301). Ahmad pula telah meriwayatkannya dengan penambahan pada akhirnya (4764), (5002). Juga diriwayatkan oleh at-Tirmizi (2435), (2436), Ibnu Majah (4114), at-Tobrani dalam kitab al-Kabir (13537), (13538), Abu Naim (1/312) dan al-Qudhoie (644). Sanadnya adalah sahih. Dalam bab ini juga terdapat riwayat daripada Muaz, Abi Ad-Darda' dan Zaid bin al-Arqam r.a..

Ibn Umar r.a. pernah berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang, jangan tunggu hingga sampai waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, jangan tunggu hingga sampai waktu petang. Rebutlah peluang masa sihatmu untuk persiapan masa sakitmu dan masa hidupmu sebagai persiapan masa matimu.

Dalam hadis yang lain, baginda bersabda:
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلى أُمَّتِي الهَوَى وَطُولُ الأَمَلِ فَأَمَّا الهَوَى فَيُضِلُّ عَنِ الحَقِّ وَأَمَّاَ طُولُ الأَمَلِ فَيَنْسِيَ الآخِرَةَ
Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa umatku ialah hawa nafsu dan panjang angan-angan. Hawa nafsu akan memesongkan dari kebenaran manakala panjang angan-angan pula akan melupakan seseorang kepada hari akhirat.⁷³⁶
736 Al-Iraqi berkata dalam kitab al-Mughni (4/352): Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu Abu Dunia dalam Bab Qasrul Amal daripada Ali k.w.. Dia juga telah meriwayatkan hadis Jabir r.a. sepertinya. Kedua-duanya adalah daif. Aku berkata: Sila lihat kitab Syarhul Ihya' (10/237) kerana dalamnya terdapat tambahan pada takhrij hadis.

Daripada al-Hasan katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada para sahabatnya:
أَكُلُّكُمْ يُجِبُّ أَنْ يَدْخُلَ الجَنَّةَ؟ قاَلُوا: نَعَمْ يَا رَسُولَ اللهِ قَال: قَصِّرُوْا الأَمَلِ وَأَثْبِتُُوا آجَالَكُمْ بَيْنِ أَبْصَارِكُمْ وَاسْتَخْيوا مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ حَقَّ حَيَائِهِ
Adakah kamu semua ingin memasuki syurga? Para sahabat menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: Pendekkan angan-angan kamu, tetapkan waktu kematian kamu itu di hadapanmu dan malulah kamu semua kepada Allah dengan sebenar-benar malu.⁷³⁷
737 Al-Iraqi berkata dalam kitab al-Mughni (4/353): Hadis riwayat Ibn Abi Dunia dalam Bab Qasrul Amal daripada hadis al-Hasan secara mursal. Aku berkata: Hadis mursal adalah daripada jenis-jenis hadis daif di sisi muhaqqiqin dan ahli ilmu.

Daripada Abu Zakaria at-Taimi katanya: Ketika Sulaiman bin Abd Malik berada dalam Masjid al-Haram, tiba-tiba dia didatangkan dengan sebiji batu yang diukir. Dia pun meminta seseorang untuk membaca ukiran tersebut. Pada ukiran tersebut ada menyebut:
Wahai anak Adam! Jika kamu melihat baki waktu ajal kamu masih tinggal sedikit sahaja lagi, tentu kamu akan pendekkan angan-angan kamu yang panjang itu. Ketika itu kamu lebih cenderung untuk menambah amalan serta mengurangkan ketamakan dan muslihat kamu. Kamu pasti akan menyesal jika langkahmu tergelincir (dari jalan yang benar). Keluarga dan pengikut kamu pada masa itu berlepas tangan darimu. Begitu juga anak dan keturunan kamu akan berpisah darimu. Tiada lagi peluang kembali ke dunia dan amalan-amalan kebajikan kamu pula tidak akan bertambah lagi. Oleh itu, beramallah untuk menuju hari kiamat yang merupakan hari kesedihan dan penyesalan.

Terdapat dua faktor yang menyebabkan panjang angan-angan. Iaitu cintakan dunia dan kejahilan.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment