Sunday, 3 April 2022

SIRI 315 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Keperitan Mati dan Perkara-perkara yang Sunat Dilakukan ketika Hampir Mati
Sub Tajuk: Perkara Yang Disunatkan Kepada Seseorang Yang Dalam Keadaan Nazak

Halaman Rujukan Kitab : 687

Nota Mudarasah:

Manakala perkara yang disunatkan kepada seseorang yang berada dalam keadaan nazak ialah sentiasa bersangka baik kepada Allah dan lidahnya sentiasa menuturkan syahadah. Ketenangan jiwa ketika menghadapi maut adalah antara tanda kelembutan Allah terhadap dirinya dan juga tanda bahawa dia telah melihat kebaikan yang akan diterimanya nanti.

Diriwayatkan bahawa roh seseorang mukmin itu akan keluar dalam keadaan badannya berpeluh.⁷⁴⁶
746 Hiwayat Abu Naim (5/59) dan at-Tobrani dalam kitab al-Kabir (10015). (10049). AL-Haithami meletakkan hadis ini dalam kitab al-Mujamma' (2/326) dan berkata: Pada sanad hadis ini terdapat al-Qasim bin Mutoyyib. Beliau seorang perawi yang daif.

Disunatkan mengajar (talqin) kepada orang yang hampir mati dengan kalimah 'لا إله إلا الله' sebagaimana sabda Nabi s.a.w. dalam hadis sahih riwayat Muslim:
لَقَّنُوا مَوْتَاكُمْ لَا إِلهَ إلَّا الله
Ajarkanlah orang yang hampir mati di kalangan kamu dengan kalimah laailaahailallah' (tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah).⁷⁴⁷
747 Hadis no. 916 daripada Abu Said r.a.. Ibnu Hibban dan lain-lainya berkata: Maksud di sini ialah orang yang sedang didatangi mati. Ia telah dinaqalkan oleh as-Suyuti dalam kitab Syarhu as-Sudur (m.s.37).

Orang yang mentalqinkan itu hendaklah berhati-hati dan jangan mendesaknya supaya mengikutnya. Dalam hadis yang lain ada menyebut:
Ziarahilah orang yang hampir mati di kalangan kamu, ajar kanlah mereka dengan laailaahailallah, dan gembirakanlah hati mereka dengan kenikmatan syurga. Sesungguhnya lelaki atau perempuan yang lemah lembut dan berilmu pun akan hebingungan di waktu itu. Musuh Allah iaitu Iblis akan berada lebih dekat dengan seseorang hamba pada ketika itu.⁷⁴⁸ Seterusnya disebutkan hadisnya hingga akhir.
748 Hiwayat oleh Abu Naim (6/196) daripada Waathilah dan sanadnya adalah daif.

Dalam hadis sahih menyebut:
لَا يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلَّا وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللهِ الظَّنَّ
Janganlah seseorang dari kamu mati melainkan dalam keadaan dia bersangka baik dengan Allah s.w.t..⁷⁴⁹
749 Riwayat Muslim (2877), Abu Daud (3097), Ibnu Majah (4167), Ibnu Saad (2/255), Ibnu al-Mubarak (1034), Ahmad (3/293, 315, 325, 330, 344, 390) dan al-Qudhoie (938) daripada Jabir r.a..

Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah pergi menziarahi seorang sahabat yang nazak lalu baginda bersabda: Bagaimana keadaan kamu?. Dia menjawab: Aku sangat mengharapkan Allah s.w.t. dan sangat takut kepada dosa-dosaku. Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَا يَجْتَمِعَانِ فِي قَلْبِ عَبْدِ فِي مِثْلِ هذَا الْمَوْطِنِ إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ مَا يَرْجُو وَآمَنَهُ مِمَّا يَخَافُ
Tidaklah berhimpun dua perkara itu (perasaan mengharap dan takut) di dalam hati seorang hamba yang berada dalam keadaan sebegini kecuali Allah s.w.t. memberi apa yang dia harapkan dan memberikan keamanan dari apa yang dia takuti.⁷⁵⁰
750 Riwayat at-Tirmizi (983), Ibnu Majah (4261), an-Nasaie dalam kitab al Kubra sebagaimana juga dalam kitab Tuhfatul Asyraf (1/104) daripada Anas r.a.. Sanadnya adalah hasan.

Perasaan mengharap ketika hampir mati adalah lebih afdal kerana takut adalah ibarat cemeti yang akan mengganggu dan menakutkan lagi perasaannya. Ketika mati, pandangannya akan terhenti. Oleh sebab itulah dia perlu berlemah lembut kepada dirinya (dengan mempunyai perasaan mengharap lebih daripada perasaan takut), kerana ketika ini syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya agar memarahi Allah atas segala yang berlaku kepadanya dan ia akan menakutkannya terhadap apa yang bakal dihadapinya. Justeru, baik sangka adalah senjata yang paling ampuh untuk mempertahankan diri dari musuh (syaitan).

Ketika Sulaiman at-Taimi hampir mati, beliau berkata kepada anaknya: Wahai anakku! Ceritakan kepadaku perkara-perkara ringan dan senang (yang memberi seribu harapan). Moga-moga aku berjumpa dengan Allah dalam keadaan aku berbaik sangka kepada-Nya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment