Monday, 4 April 2022

SIRI 316 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Kewafatan Rasulullah s.a.w. dan Khulafa' ar-Rasyidin
Sub Tajuk: 1. Kewafatan Rasulullah s.a.w.

Halaman Rujukan Kitab : 689

Nota Mudarasah:

Kewafatan Rasulullah s.a.w. dan Khulafa' ar-Rasyidin

1. Kewafatan Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. merupakan ikutan yang paling baik dalam semua keadaan. Telah dimaklumi bersama bahawa baginda merupakan makhluk yang paling dikasihi Allah s.w.t.. Dan Allah s.w.t. tidak menangguhkan ajalnya apabila tiba masanya.

Rasulullah s.a.w. juga mengalami keperitan ketika mati. Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya⁷⁵¹ meriwayatkan daripada Aisyah r.ha., katanya:
751 Riwayat al-Bukhari (8/106) dan Muslim (418)

Di hadapan Rasulullah s.a.w. terdapat satu bekas yang berisi air. Lalu baginda mencelupkan tangannya dan menyapu mukanya dengan air tersebut berkali-kali sambil berkata:
Tiada Tuhan melainkan Allah, sesungguhnya mati itu mempunyai 'sakarat' (kesakitannya).

Dalam sahih al-Bukhari⁷⁵² juga terdapat hadis daripada Anas r.a. katanya: Ketika Nabi Muhammad s.a.w. berada dalam keadaan nazak, kesakitan mula menyelubunginya. Fatimah r.ha. pun berkata: Alangkah sakitnya wahai ayahku!!!. Lalu baginda bersabda yang bermaksud:
752 Riwayat al-Bukhari (8/113), Ahmad (3/197), ad-Darimi (1/40) dan Ibnu Majah (1629).
Selepas ini tiada lagi kesakitan untuk ayahmu.
Ibn Mas'ud r.a. berkata: Kami berkumpul di rumah Ummul Mukminin, Aisyah r.ha., Rasulullah s.a.w. memandang kepada kami lalu mengalirkan air mata. Baginda memberitahu bahawa baginda akan wafat. Kemudian baginda bersabda, maksudnya:
Selamat datang, semoga Allah s.w.t mengurniakan kesejahteraan hidup kepada kamu semua. Semoga Dia menjaga, memelihara, menyatu, menolong, memberi taufik, memberi manfaat, menyelamat dan meninggikan kedudukan kamu semua. Aku berpesan kepada kamu agar bertakwa kepada Allah s.w.t. dan aku meninggalkan pesan Allah bersama kamu (sebagai Wasi kamu) dan aku tinggalkan Allah sebagai Penguasa yang akan terus memelihara dan melindungi kamu semua.
Kami berkata: Wahai Rasulullah, bilakah ajalmu?. Baginda menjawab: Ajalku sudah hampir. Aku akan kembali kepada Allah, menuju ke sidratul muntaha, ke syurga tempat kembali dan syurga firdaus yang tinggi. Kami bertanya: Wahai Rasulullah, dengan apakah kami akan kafankan kamu?. Rasulullah menjawab: Dengan baju aku ini jika kamu mahu, atau kain yamaniyyah atau kain putih. Kami bertanya lagi: Siapakah yang akan menyembahyangkan kamu?. Kami semua tersedu-sedan menangis. Rasulullah bersabda: Bertenanglah, semoga Allah s.w.t merahmati kamu semua. Semoga Allah s.w.t mengganjari kamu semua dengan kebaikan kamu kepadaku. Apabila kamu telah memandi dan mengkafankan aku, letakkanlah aku di atas katilku ini di sisi liang kuburku. Kemudian kamu semua tinggalkan aku seketika. Sesungguhnya makhluk pertama yang akan menyembahyangkan aku ialah kekasihku iaitu Jibril a.s, diikuti oleh Mikail, kemudian Israfil dan selepas itu Malakul Maut dan diikuti oleh sekalian malaikat yang lain.


Selepas itu kamu masuk semula kepadaku secara berkelompok kelompok. Sembahyanglah ke atasku dan berilah salam dengan sebaik-baiknya. Jangan kamu menyakiti aku dengan memuji-mujiku, menjerit-jerit ketika menangis ataupun meraung. Golongan pertama yang akan menyembahyangkan aku adalah kaum lelaki dan diikuti kaum perempuan di kalangan ahli keluargaku. Kemudian sembahyanglah kamu semua ke atasku selepas daripada itu.

Sampaikan salamku kepada sahabat-sahabatku yang tidak ada di sisiku dan kepada sesiapa yang mengikutiku sehingga ke hari kiamat. Ketahuilah, sesungguhnya aku bersaksikan kamu semua bahawa aku telah menyampaikan salam kepada siapa sahaja yang memeluk agama Islam ini.⁷⁵³
Riwayat Ibnu Sa'ad dalam kitab at-Tobaqat, at-Tobrani dalam kitab ad Du'aa'dan al-Wahidi dalam kitab at-Tafsir dengan sanad yang amat kabur. Sila lihat Syarhul Ihya' (10/290).

Jibril a.s. telah datang kepada Rasulullah s.a.w. tiga hari sebelum kewafatan baginda dan berkata: Wahai Muhammad! Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengutuskan aku kepada kamu untuk bertanyakan keadaanmu yang Dia sendiri lebih mengetahuinya. Allah berfirman: Bagaimana keadaan diri kamu? Rasulullah s.a.w. menjawab: Wahai Jibril, aku dapati diriku berada dalam kesedihan dan kesusahan. Kemudian Jibril datang lagi pada hari yang kedua dengan mengulangi pertanyaan yang sama dan Nabi s.a.w. juga mengulangi jawapan yang sama. Pada hari ketiga Jibril datang lagi mengulangi pertanyaan yang sama dan begitulah juga jawapan Nabi s.a.w..

Tiba-tiba datang malaikat maut meminta izin untuk masuk mengadap Rasulullah s.a.w.. Lalu Jibril berkata: Wahai Ahmad (Muhammad)! Ini dia Malaikat Maut datang meminta izin menemui kamu. Dia tidak pernahpun meminta izin dari sesiapa sama ada sebelum mahupun selepas kamu. Rasulullah s.a.w. menjawab: Izinkan kepadanya. Kemudian Malaikat Maut masuk dan berada di hadapan Rasulullah s.a.w. seraya berkata: Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengutuskan aku kepadamu dan memerintahkan aku supaya mematuhi kata-katamu. Jika kamu memerintahkan aku untuk mengambil nyawa mu, aku akan ambil, tetapi jika kamu memerintahkan agar aku membiarkannya, aku akan tinggalkannya (tidak mencabutnya).

Rasulullah s.a.w. berkata: Benarkah kamu akan melakukan sedemikian wahai Malaikat Maut?. Malaikat Maut berkata: Ya, begitulah aku diperintahkan untuk mentaatimu. Jibril a.s. pun lantas berkata: Wahai Ahmad! Sesungguhnya Allah s.w.t sangat merinduimu. Maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: Wahai Malaikat Maut, teruskanlah tugasmu yang telah diarahkan kepadamu. Lalu Jibril a.s. berkata: Salam sejahtera ke atas kamu wahai Pesuruh Allah. Inilah kali terakhir bagiku turun ke dunia ini kerana kamulah tujuanku di dunia ini.⁷⁵⁴
754 Riwayat at-Tobrani dalam kitab al-Kabir (2890) daripada al-Hasan bin Ali. Al-Haithami telah memasukkan hadis ini dalam kitab al-Mujamma' (9/35) dan berkata: Pada sanadnya terdapat Abdullah bin Maimun al-Qaddah. Beliau adalah seorang pelupa.

Wafatlah Rasulullah s.a.w. dalam keadaan bersandar pada dada Aisyah r.ha.. Ketika itu baginda memakai pakaian bertampal dan kain sarung yang kasar. Selepas itu puteri baginda Fatimah r.ha. bangun menangisi kematian ayahnya sambil berkata: Duhai ayahanda! Yang telah pergi menyahut seruan Tuhannya. Duhai ayahanda! Syurga Firdaus adalah tempat kembalinya. Duhai ayahanda! Kepada Jibril kami mengadu akan kewafatannya. Duhai ayahanda! Alangkah dekatnya dirinya dengan Tuhannya.

Tatkala Rasulullah s.a.w. dikebumikan, Fatimah berkata lagi: Wahai Anas! adakah kamu tergamak hati untuk menolak dan meratakan tanah ke atas Rasulullah s.a.w.?⁷⁵⁵
755 Petikan daripada hadis yang terdahulu.

Lalu Abu Bakar r.a. pun menyahut:

Apabila aku lihat nabi kita terbujur kaku di pembaringan,
Dadaku terasa sempit walaupun berada di ruang yang luas,

Gementar diriku kerana kerinduan dan penderitaan,
Sedang tulang temulangku telah lemah dan patah

Adakah dapat bertahan, sedang kekasihmu sudah pergi,
Engkau (Abu Bakar) kini tinggal keseorangan dalam keadaan bersedih,

Alangkah baik kiranya sebelum kematian sahabatku itu,
Aku telah dikebumikan dalam kubur yang tertimbus dengan batu-batu.


Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment