Wednesday, 13 April 2022

SIRI 325 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Alam Kubur

Halaman Rujukan Kitab : 707

Nota Mudarasah:

Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Apabila seorang hamba itu diletakkan di dalam kuburnya dan setelah beredarnya saudara mara yang menghantarnya, sehingga masih terdengar bunyi tapak kaki mereka, muncullah dua malaikat yang akan mendudukkannya dan berkata kepadanya: Apa yang kamu kata berkenaan lelaki ini iaitu Muhammad s.a.w.? Orang mukmin akan menjawab: Aku bersaksi bahawa dia adalah hamba dan pesuruh Allah. Kedua-dua malaikat tadipun berkata: Lihatlah tempat kamu dalam neraka itu, Allah telah menukarkannya dengan satu tempat di dalam syurga. Hamba itu akan dapat melihat kedua-duanya sekali (syurga dan neraka). Rasulullah meneruskan lagi: Bagi hamba yang jahat atau munafiq, malaikat-malaikat itu juga bertanya kepadanya: Apa yang kamu kata berkenaan lelaki ini? Dia menjawab: Aku tidak tahu. Aku hanya mengikut kata-kata orang lain. Dikatakan kepadanya: Kamu tidak tahu dan kamu juga tidak patuh. Kemudian dia dipukul dengan penukul besi di tengah kepalanya lalu dia meraung sekuat hatinya sehingga didengari oleh semua makhluk kecuali jin dan manusia.⁷⁷¹
771 Riwayat al-Bukhari (3/188), Muslim (287), Abu Daud (3231), dan An-Nasaie (4/97-98),

Dalam hadis as-sohihain juga terdapat riwayat daripada Asma' binti Abu Bakar r.ha. katanya: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Aku diwahyukan bahawa kamu akan diuji di dalam kubur kamu sama atau baginda bersabda - hampir sama dengan ujian dari al-Masih ad-Dajjal. Kamu nanti akan ditanya: Apa yang kamu tahu tentang lelaki ini? Orang mukmin akan berkata: Aku bersaksi bahawa sesungguhnya dia merupakan hamba dan pesuruh Allah... (sehingga ke akhir hadis).

Ibn Abbas r.a. berkata: Setelah jenazah Sa'd bin Muaz di bawa keluar dan dikebumikan, Rasulullah menoleh ke arah kami seraya berkata: Setiap di kalangan kamu akan menghadapi tekanan di dalam kuburnya dan jika ada seorang yang boleh terlepas darinya, tentunya Saad bin Muaz akan terlepas. Kemudian disebut sambungan hadis sehingga akhirnya.

Abdullah as-Son`aani berkata: Aku melihat Yazid bin Harun dalam mimpi ku selepas empat malam kematiannya. Aku bertanya kepadanya: Apa yang Allah telah lakukan kepada kamu? Dia menjawab: Allah telah menerima amalan kebajikan ku dan Dia mengampunkan kesalahanku. Aku bertanya: Apakah yang berlaku selepas daripada itu? Dia berkata: Aku diberikan kemuliaan oleh Allah yang bersifat Maha Mulia. Dia mengampunkan dosaku dan memasukkan aku ke dalam syurga. Bagaimana kamu mampu memperolehi ganjaran tersebut? Dia menjawab: Dengan menghadiri majlis-majlis zikir, berkata dalam perkara yang benar, bercakap benar, berdiri lama ketika bersembahyang (banyak bersembahyang) dan bersabar di atas kefakiranku. Aku bertanya lagi: Adakah malaikat Mungkar dan Nakir itu perkara yang benar? Dia menjawab: Ya, demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia. Sesungguhnya mereka berdualah yang telah mendudukkan aku dan bertanya kepadaku: Siapa Tuhan kamu? Apa agama kamu? Dan siapa nabi kamu? Aku pun mengibas janggut putihku dari tanah-tanah dan berkata: Orang yang sepertiku juga ditanya sebegini? Aku Yazid bin Harun al-Waasity. Di dunia, aku telah menghabiskan 60 tahun umurku mengajar manusia!!!. Salah seorang di kalangan mereka berkata: Benarlah, dia adalah Yazid bin Harun. Tidurlah kamu dengan nyenyak seumpama tidur seorang pengantin. Selepas ini kamu tidak akan merasa takut lagi. Al-Marwazi pernah berkata: Dalam mimpiku, aku melihat Ahmad bin Hanbal sedang berada dalam sebuah taman. Beliau memakai dua pakaian hijau dan di atas kepalanya ada mahkota cahaya. Diapun berjalan dengan gaya jalan yang tidak pernah aku saksikannya di dunia. Aku bertanya: Wahai Ahmad! Apakah jenis gaya jalan ini? Tidak pernahpun aku lihat engkau lakukannya di dunia? Beliau pun menjawab: Ini adalah gaya berjalan khadam khadam di syurga. Aku bertanya lagi: Mahkota apa pula yang engkau pakai itu? Dia menjawab: Sesungguhnya Tuhan aku telah memanggilku, menghitungku dengan mudah, memberi pakaian, mengasihi dan mendekatkan aku kepada-Nya. Aku melihat wajah Nya dan Dia memakaikan aku mahkota ini dan berfirman: Wahai Ahmad, Aku berikan mahkota kemuliaan ini kepadamu kerana kata-katamu: Al-Quran adalah kalam-Ku yang bersifat qadim dan bukannya makhluk yang bersifat hadith (baharu).

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment