Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.
Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.
Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan
Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati
Tajuk Mudarasah: Alam Kubur
Halaman Rujukan Kitab : 704
Nota Mudarasah:
Dalam hadis as-sohihain juga terdapat riwayat daripada Asma' binti Abu Bakar r.ha. katanya: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Aku diwahyukan bahawa kamu akan diuji di dalam kubur kamu sama atau baginda bersabda - hampir sama dengan ujian dari al-Masih ad-Dajjal. Kamu nanti akan ditanya: Apa yang kamu tahu tentang lelaki ini? Orang mukmin akan berkata: Aku bersaksi bahawa sesungguhnya dia merupakan hamba dan pesuruh Allah... (sehingga ke akhir hadis).
Ibn Abbas r.a. berkata: Setelah jenazah Sa'd bin Muaz di bawa keluar dan dikebumikan, Rasulullah menoleh ke arah kami seraya berkata: Setiap di kalangan kamu akan menghadapi tekanan di dalam kuburnya dan jika ada seorang yang boleh terlepas darinya, tentunya Saad bin Muaz akan terlepas. Kemudian disebut sambungan hadis sehingga akhirnya.
Abdullah as-Son`aani berkata: Aku melihat Yazid bin Harun dalam mimpi ku selepas empat malam kematiannya. Aku bertanya kepadanya: Apa yang Allah telah lakukan kepada kamu? Dia menjawab: Allah telah menerima amalan kebajikan ku dan Dia mengampunkan kesalahanku. Aku bertanya: Apakah yang berlaku selepas daripada itu? Dia berkata: Aku diberikan kemuliaan oleh Allah yang bersifat Maha Mulia. Dia mengampunkan dosaku dan memasukkan aku ke dalam syurga. Bagaimana kamu mampu memperolehi ganjaran tersebut? Dia menjawab: Dengan menghadiri majlis-majlis zikir, berkata dalam perkara yang benar, bercakap benar, berdiri lama ketika bersembahyang (banyak bersembahyang) dan bersabar di atas kefakiranku. Aku bertanya lagi: Adakah malaikat Mungkar dan Nakir itu perkara yang benar? Dia menjawab: Ya, demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia. Sesungguhnya mereka berdualah yang telah mendudukkan aku dan bertanya kepadaku: Siapa Tuhan kamu? Apa agama kamu? Dan siapa nabi kamu? Aku pun mengibas janggut putihku dari tanah-tanah dan berkata: Orang yang sepertiku juga ditanya sebegini? Aku Yazid bin Harun al-Waasity. Di dunia, aku telah menghabiskan 60 tahun umurku mengajar manusia!!!. Salah seorang di kalangan mereka berkata: Benarlah, dia adalah Yazid bin Harun. Tidurlah kamu dengan nyenyak seumpama tidur seorang pengantin. Selepas ini kamu tidak akan merasa takut lagi. Al-Marwazi pernah berkata: Dalam mimpiku, aku melihat Ahmad bin Hanbal sedang berada dalam sebuah taman. Beliau memakai dua pakaian hijau dan di atas kepalanya ada mahkota cahaya. Diapun berjalan dengan gaya jalan yang tidak pernah aku saksikannya di dunia. Aku bertanya: Wahai Ahmad! Apakah jenis gaya jalan ini? Tidak pernahpun aku lihat engkau lakukannya di dunia? Beliau pun menjawab: Ini adalah gaya berjalan khadam khadam di syurga. Aku bertanya lagi: Mahkota apa pula yang engkau pakai itu? Dia menjawab: Sesungguhnya Tuhan aku telah memanggilku, menghitungku dengan mudah, memberi pakaian, mengasihi dan mendekatkan aku kepada-Nya. Aku melihat wajah Nya dan Dia memakaikan aku mahkota ini dan berfirman: Wahai Ahmad, Aku berikan mahkota kemuliaan ini kepadamu kerana kata-katamu: Al-Quran adalah kalam-Ku yang bersifat qadim dan bukannya makhluk yang bersifat hadith (baharu).
Keadaan Si Mati dari Tiupan Sangkakala hingga Mendiami Syurga atau Neraka
Kami telah jelaskan berkenaan alam kubur yang begitu dahsyat. Namun keadaan menjadi lebih dahsyat lagi apabila berlakunya tiupan sangkakala, kebangkitan, perhitungan, timbangan amal dan titian as-sirot. Setiap kedahsyatan dan hura-hara ini wajib diimani dan seharusnya difikir atau direnung panjang mengenainya. Kebanyakan manusia tidak teguh keimanan mereka dengan hari akhirat.
Sekiranya manusia tidak pernah menyaksikan proses kelahiran semua hidupan bernyawa kemudian dia diberitahu bahawa ada pencipta yang telah menjadikan seumpama anak Adam yang ada rupa bentuk, berakal dan boleh berkata-kata daripada setitik air mani yang hina, sudah tentu dia akan bersungguh-sungguh mengingkarinya. Tetapi bagaimana pula dengan manusia yang menyaksikan sendiri kejadian pertama yang menggambarkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah Taala itu boleh mengingkarinya (kebangkitan semula), sedangkan penciptaan-Nya (yang pertama) dalam keadaan yang sungguh menakjubkan itu adalah lebih hebat daripada kejadian dan kebangkitannya semula?.
Jika iman kamu lemah, kuatkanlah ia dengan memerhati kan kelahiran pertama, kerana kelahiran kedua akan berlaku seumpamanya bahkan lebih mudah lagi. Jika kamu mempunyai iman yang kental maka didiklah hatimu dengan perasaan takut terhadap keadaan dan suasana tersebut (tiupan sangkakala, kebangkitan dan seumpamanya) yang merbahaya dan menakutkan. Di samping itu, perbanyakkanlah berfikir dan mengambil iktibar agar dengannya kamu akan lebih tekun dan bersungguh-sungguh. Perkara pertama yang akan didengari oleh telinga si mati ialah suara malaikat Israfil ketika meniup sangkakala. Justeru, gambarkanlah dirimu ketika kamu bangkit dari kuburmu dalam keadaan terpinga pinga, gerun dan hina diri tatkala menuju ke arah tempat yang dijanjikan. Firman Allah s.w.t:
وَنُفِخَ فِى الصُّوْرِ فَاِذَا هُمْ مِّنَ الْاَجْدَاثِ اِلٰى رَبِّهِمْ يَنْسِلُوْنَ
Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
كَيْفَ أَنْعَمُ وَصَاحِبُ الْقَرْنِ قَدِ الْتَقَمَ الْقَرْنَ وَاسْتَمَعَ الإِذْنَ مَتَى يُؤْمَرُ بِالنَّفْخِ فَيَنْفُخُ! قَالَ المُسْلِمُونَ: كَيفَ نَقُولُ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: قُولُوا حَسْبُنًا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ عَلَى اللهِ تَوَكَّلْنَا
Bagaimana aku mampu untuk bersenang-senang sedang kan peniup sangkakala telah pun menundukkan dahinya (bersedia) dan menumpukan pendengarannya, menanti-nanti arahan untuk meniup sangkakala tersebut!!!. Orang beriman berkata: Wahai Rasulullah, Apakah yang seharusnya kami ucapkan? Nabi s.a.w menjawab: Katakanlah: Cukuplah Allah kepada kami da Dialah sebaik-baik tempat pergantungan. Kami berserah hanya kepada Allah⁷⁷².
772 Riwayat at-Tirmizi (1/70), Ibnu Majah (4273), Ahmad (3/7, 73), Abu Naim (5/105), (7/130, 312) dan Ibnu al-Mubarak (1597). Walaupun sanad hadis ini daif, namun ada riwayat lain dalam bab ini daripada Ibn Abbas, Zaid ibn Arqam, Anas, Jabir dan Al-Barra' yang menguatkannya. Oleh itu hadis ini adalah hadis hasan. Al-Albani telah mentakhrijkan hadis ini dengan begitu mendalam sebagaimana dalam kitabnya Silsilah al-Ahadis as-Sahihah (1079). Lihatlah kitab tersebut dan juga kitab al-Fath (11/317).
Seterusnya lihatlah keadaan ketika manusia dibangkit dan dihimpunkan pada hari kiamat. Mereka dibawa dalam keadaan berkaki ayam dan bertelanjang menuju ke bumi mahsyar, satu lem bah lapang yang tiada bukit-bukau untuk manusia bersembunyi.
Dalam as-sohihain meriwayatkan bahawa⁷⁷³, Nabi s.a.w. bersabda:
773 Riwayat al-Bukhari (11/323) dan Muslim (2790)
يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَى أَرْضٍ بَيْضَاءَ عَفْرَاءَ كَقُرْصَةِ نَقِيٍّ
Dibangkitkan manusia pada hari khiamat di bumi yang putih, bulat seumpama roti bersih berbentuk cakera. Bayangkanlah pula kesesakan manusia ketika itu. Mereka berada dalam keadaan kedudukan matahari yang hampir dengan kepala mereka, peluh mengalir deras dan hati yang gundah gulana. Disebut dalam hadis bahawa peluh itu akan menenggelamkan manusia mengikut kadar amalan masing-masing⁷⁷⁴.
774 Riwayat Muslim (2864) dan at-Tirmizi (2423) daripada Miqdad bin al-Aswad ra..
Wahai si malang, renungilah juga bagaimana nanti Tuhanmu akan bertanya tentang amalanmu tanpa sebarang perantaraan. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda:
يُعْرَضُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَلَاثَ عَرَضَاتٍ فَأَمَّا عَرْضَتَانِ فَجِدَالٌ وَمَعَاذِيرُ وَأَمَّا الثَّالِثَةُ فَعِنْدَ ذٰلِكَ تَطِيرُ الصُّحُفُ فِي الأَيْدِي فَآخِذٌ بِيَمِينِهِ وَآخِذٌ بِشِمَالِهِ
Tiga pembentangan yang akan dilakukan terhadap manusia pada hari kiamat kelak; dua pembentangan untuk perdebatan dan alasan-alasan, manakala pembentangan ketiga ialah lembaran-lembaran amal yang bertaburan lalu ada yang dapat mengambilnya dengan tangan kanan dan ada yang mengambilnya dengan tangan kiri.⁷⁷⁵
775 Riwayat at-Tirmizi (2327) daripada Abu Hurairah r.a. dengan sanad yang daif. Begitu juga dengan satu lagi riwayat daripada Abi Musa r.a..
Abi Barzah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَا فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَا أَبْلَاهُ
Ke dua kaki seseorang hamba tidak akan berganjak sehinggalah ditanya terlebih dahulu berkenaan empat perkara: Tentang umurnya, bagaimanakah dia menghabis kannya. Tentang amalannya, apakah yang telah dilakukan nya. Tentang hartanya, dari manakah ia diperolehi dan ke manakah dibelanjakannya dan berkenaan tubuh badannya, bagaimanakah dia manfaatkannya?.⁷⁷⁶
776 Riwayat at-Tirmizi (2416) dan al-Khatib (12/440) daripada Ibnu Mas'ud r.a.. Hadis ini daif, tetapi mempunyai riwayat yang menguatkannya iaitu riwayat Abi Barzah daripada ad-Darimi (1/131), Abu Naim dalam kitab al Hilyah (10/232), Ibnu ad-Dubaisi dalam kitab Zail Tarikh Baghdad (2/163) dan juga riwayat Ma'ad di sisi al-Khatib (11/144). Dengan itu, hadis ini menjadi hadis hasan.
Daripada Safwan bin Muhriz katanya: Ketika aku memimpin tangan Ibnu Umar r.a., tiba-tiba datang seorang lelaki dan bertanya kepadanya: Bagaimanakah tuan mendengar daripada Rasulullah s.a.w. berkenaan perbicaraan pada hari kiamat? Beliau berkata: Aku mendengar baginda s.a.w. bersabda maksudnya:
Sesungguhnya Allah s.w.t. mendekatkan seorang hamba yang beriman kepada-Nya, meletakkannya di sisinya, menghalang manusia dari melihatnya agar dia mengakui kesalahannya. Seterusnya Allah berfirman kepadanya: Adakah kamu mengetahui dosa ini?. Adakah kamu mengetahui dosa itu? Adakah kamu mengetahui dosa ini?», sehinggalah dia mengakui kesemua kesalahannya dan merasakan dia hampir binasa (kerana banyaknya dosa). Kemudian Allah berfirman: Aku telah menutup dosa-dosa itu di dunia dan pada hari ini Aku akan ampuni kamu. Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: Kemudian diberikan kepadanya buku catatan kebaikannya. Manakala bagi orang kafir dan munafik, semua saksi akan berkata:
هٰٓؤُلَاۤءِ الَّذِيْنَ كَذَبُوْا عَلٰى رَبِّهِمْۚ اَلَا لَعْنَةُ اللّٰهِ عَلَى الظّٰلِمِيْن
Inilah orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka. Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang yang zalim!
Hadis ini telah dipetik daripada kitab Sohih al-Bukhari dan Muslim.⁷⁷⁷
777 Riwayat al-Bukhari (5/70) dan Muslim (2768)
Dalam as-Sohihain, terdapat juga riwayat daripada Abu Said r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
يُضْرَبُ جِسْرٌ عَلَى جَهَنَّمَ فَأَكُوْنُ أَوَّلَ مَنْ يَجُوزُ
Satu jambatan akan dibentangkan di atas neraka jahannam dan akulah orang pertama yang akan menyeberanginya.⁷⁷⁸
778 Riwayat al-Bukhari (13/358) dan Muslim (183)
Nabi s.a.w. juga telah bersabda yang bermaksud:
Didatangkan satu jambatan dan diletakkan di atas neraka jahannam. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Bagai manakah keadaan jambatan tersebut? Baginda menjawab: Ianya terlalu licin dan menggelincirkan kaki. Ia penuh dengan penyangkut-penyangkut dan belenggu besi. Di kalangan orang mukmin ada yang menyeberanginya sekadar sekelip mata, ada yang sepantas kilat, ada yang sederas angin dan ada yang sepantas kuda atau kenderaan. Orang yang berjaya melepasinya ialah orang yang selamat sampai sama ada dalam keadaan baik ataupun tercedera, sehinggalah orang terakhir berjaya menyeberanginya dalam keadaan menyusur seolah-olah ditarik.⁷⁷⁹
779 Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Ia sebahagian hadis yang telah disebutkan sebelumnya.
Neraka Jahanam (Semoga Allah Melindungi Kita Daripadanya)
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan: Ketika kami duduk bersama Nabi s.a.w., kami mendengar satu bunyi hentakan yang kuat. Lalu Nabi bertanya kepada para sahabat:
أَتَدْرُونَ مَا هٰذَا؟ قُلْنَا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ . قَالَ: هٰذَا حَجَرٌ أُرْسِلَ فِي جَهَنَّمَ مُنْذُ سَبْعِينَ خَرِيفًا فَالآنَ انْتَهَى إِلَى قَعْرِهَا
Adakah kamu mengetahui bunyi apakah itu?. Kami menjawab: Hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahuinya. Baginda menjawab: Itulah bunyi batu yang dijatuhkan ke dalam neraka jahannam semenjak tujuh puluh tahun yang lalu, kini telah sampai ke dasarnya.⁷⁸⁰
780 Riwayat Muslim (2844).
Dalam as-Sohihain⁷⁸¹, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
781 Riwayat al-Bukhari (6/238), Muslim (2843), Malik (2/994) dan at-Tirmizi (2592).
نَارُكُمْ هَذِهِ الَّتِي يُوقِدُ ابْنُ آدَمَ جُزْءٌ مِنْ سَبْعِينَ جُزْءًا مِنْ حَرِّ جَهَنَّمَ. قَالُوا: وَاللهِ إِنْ كَانَتْ لَكَافِيَةً يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: فَإِنَّهَا فُضِّلَتْ عَلَيْهَا بِتِسْعَةٍ وَسِتِّينَ جُزْءًا كُلُّهَا مِثْلُ حَرِّهَا
Api yang digunakan oleh manusia untuk membakar, hanyalah satu juzuk daripada tujuh puluh juzuk api neraka jahannam. Para sahabat berkata: Demi Allah! Sekalipun api dunia ini sudah cukup (panas), wahai Rasulullah?. Baginda menjawab: Kepanasannya berganda sebanyak enam puluh sembilan kali lagi. Semua juzuk itu adalah seperti kepanasannya.
Ibnu Mas'ud r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
يُؤْتَى بِجَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لَهَا سَبْعُونَ أَلْفَ زِمَامٍ مَعَ كُلِّ زِمَامٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ يَجُرُّونَهَا
Pada hari tersebut, neraka jahannam didatangkan dengan sebanyak tujuh puluh ribu tali pengikat di mana setiap tali ditarik oleh tujuh puluh ribu malaikat.⁷⁸²
782 Riwayat Muslim (2842) dan at-Tirmizi (2576).
Abu ad-Darda' r.a. berkata:⁷⁸³ Penduduk neraka akan ditimpa kelaparan sehingga menyamai kesakitan azab yang mereka hadapi, lalu mereka meminta diberikan makanan. Mereka kemudiannya diberikan ad-dhori'⁷⁸⁴ sebagai makanan, di mana makanan ini sama sekali tidak akan menggemuk atau menghilangkan kelaparannya. Mereka meminta makanan lagi dan kali ini mereka diberikan makanan yang melekat di kerongkong. Apabila keadaan ini berlaku, mereka teringat kepada air yang boleh menolak makanan ini ke dalam perut. Lalu mereka meminta air minuman. Mereka pun diberi minum dengan air yang mendidih. Mereka mendapatkan minuman tersebut dengan menggunakan penyangkut-penyangkut besi. Apabila minuman tersebut hampir kepada mereka, muka mereka terbakar. Apabila mereka meminumnya, seluruh usus dan anggota dalaman mereka luruh dan putus.
783 Diriwayatkan secara marfu' dengan sanad yang lemah. Al-Iraqi telah menaqalkan dalam kitab al-Mughni (4/532) daripada ad-Darimi: Hadis ini adalah hadis mauquf kepada Abi ad-Darda'. Aku berkata: Hadis ini daif juga kerana pada sanadnya terdapat Syahrun bin Hausyab, seorang perawi yang daif.
784 Makanan yang amat busuk di mana para ulamak berselisih pandangan dalam mentafsirkannya. Sila lihat kitab al-Mufradat (295) oleh ar-Raaghib. Menurut terjemahan Tafsir Pimpinan ar-Rahman, makna ad-Dhori' sebagaimana dalam ayat ke-6 surah al-Ghasiah ialah pokok-pokok yang berduri-pent
Mereka memohon kepada malaikat, penjaga neraka jahannam sebagaimana difirmankan oleh Allah:
ادۡعُوۡا رَبَّكُمۡ يُخَفِّفۡ عَنَّا يَوۡمًا مِّنَ الۡعَذَابِ
Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari.
Lalu dijawab kepada mereka:
اَوَلَمۡ تَكُ تَاۡتِيۡكُمۡ رُسُلُكُمۡ بِالۡبَيِّنٰتِ ؕ قَالُوۡا بَلٰى ؕ قَالُوۡا فَادۡعُوۡا ۚ وَمَا دُعٰٓـؤُا الۡكٰفِرِيۡنَ اِلَّا فِىۡ ضَلٰلٍ
(Malaikat penjaga neraka menjawab): Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)? Mereka menjawab: Ya, ada. Malaikat itu berkata: Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja.
Para malaikat berkata lagi: Tanyalah pada Malaikat Malik. Mereka pun berkata:
يَا مَالِكُ لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ
Dan mereka menyeru Malik (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!
Lalu Malik menjawab:
إِنَّكُمْ مَاكِثُون *
Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!
Mereka berkata lagi:
رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْهَا فَإِنْ عُدْنَا فَإِنَّا ظَالِمُونَ
Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang yang zalim.
Lalu Allah menjawab:
اخْسَـُٔوْا فِيْهَا وَلَا تُكَلِّمُوْنِ
Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam neraka, dan jangan lah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaku!
Ketika itu, barulah mereka berputus asa dari segala kemungkinan menerima balasan yang baik, lalu pasrah menerima azab dalam keadaan terus menerus meraung kesakitan, ditimpa kecelakaan dan kebinasaan.
Seterusnya, fikirkanlah juga tentang ular-ular dan kala jengking yang ada di sana. Dalam satu hadis ada menyebut:
إِنَّ فِي حَيَّاتِهَا أَمْثَالُ أَعْنَقِ البُخْتِ وَعَقَارِبَهَا كَبِغَالِ المُوكَفَةِ
Sesungguhnya ular-ularnya seperti leher-leher unta, dan kala jengkingnya seperti baghal yang dipasang pelana.⁷⁸⁵
785 Riwayat Ahmad (4/191) daripada Abdullah bin al-Harith r.a.. Sanadnya doif.
Al-Hasan berkata: Api neraka akan membakar mereka 70 ribu kali setiap hari dan kemudian mereka kembali sebagaimana asalnya.
Sifat-sifat neraka jahannam adalah sangat banyak. Azab yang paling ringan darinya pun sudah memadai untuk menggerunkan kita. Jika kamu benar-benar beriman dan meyakini perkara ini, maka sedarkanlah dirimu dan takutlah dengan apa yang ada di hadapan kamu. Sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan dua ketakutan ke atas seseorang hambanya.⁷⁸⁶
786 Ini kerana sesiapa yang takutkan Allah di dunia maka tiada lagi ketakutan dalam dirinya pada hari kiamat-pent.
Takut yang kami maksudkan di sini bukannya seperti takutnya seorang perempuan lantaran sifat kelembutan dan kelemahan yang ada padanya, lalu menangis seketika kemudian terus meninggalkan amalan ketaatan. Tetapi takut yang di maksudkan di sini ialah yang dapat menghalang dari melakukan maksiat serta mendorong kepada ketaatan.
Juga bukan seperti takut seorang yang bodoh yang hanya takut apabila mendengar cerita kedahsyatan hari kiamat lalu berkata: Kami meminta tolong daripada Allah, kami memohon perlindungan dengan Allah, wahai tuhan selamatkanlah kami dan sebagainya, tetapi di waktu yang sama masih lagi mengerjakan perkara yang buruk. Takut yang sebegini adalah permainan syaitan. Ianya tidak ubah seperti seorang yang berada di tepi sebuah kota, yang mahu diterkam oleh binatang buas yang merbahaya. Dia hanya berkata: Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada binatang ini, sedangkan dia tidak pula berganjak untuk cuba memasuki kota itu bagi menyelamatkan dirinya.
Mencintai Rasulullah s.a.w.
Di dunia ini, kamu hendaklah menjadi seorang yang mencintai Rasulullah s.a.w. dan mengagungkan sunnah baginda agar kamu memperolehi syafaat baginda di akhirat nanti. Syafaat Rasulullah s.a.w. itu melebihi seluruh syafaat nabi-nabi yang lain. Baginda akan memohon keampunan untuk umatnya yang melakukan dosa besar, lalu Allah menyelamatkan mereka dari neraka.
Kamu juga hendaklah meramaikan kawan-kawan yang soleh kerana setiap orang mukmin itu ada syafaatnya. Janganlah kelalaian kamu menjadikan kamu suka menangguh-nangguh dan kamu menamakannya sebagai harapan, sedangkan orang yang berharap ialah orang yang mahukan sesuatu dan disertai dengan usaha.
Waspadalah dari menzalimi orang lain kerana sesiapa yang mati sebelum mengembalikan hak-hak orang yang dizaliminya, mereka itu semua akan mengelilinginya pada hari kiamat.
Setiap orang di kalangan mereka akan berkata: Orang inilah yang menzalimiku, orang inilah yang menghina aku, inilah jiranku yang berlaku jahat terhadapku dan orang inilah yang menipuku. Ketika itu kamu tidak dapat lagi melepaskan diri dari mereka. Apabila kamu bercita-cita untuk melepaskan diri, ketika itu kamu akan dijawab: Pada hari ini tidak ada lagi kezaliman.
Abu Said al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
يَخْلُصُ الْمُؤْمِنُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنَ النَّارِ، فَيُحْبَسُونَ عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ، فَيُقَضُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ، مَظَالِمُ کَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا، حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الْجَنَّةِ
Pada hari kiamat, orang yang beriman akan diselamatkan dari api neraka. Mereka akan diletakkan antara syurga dan neraka lalu dilaksanakan pembalasan terhadap segala kezaliman yang berlaku antara mereka di dunia. Setelah mereka semua dibersih dan disucikan dari dosa-dosa, barulah diizinkan mereka untuk memasuki syurga.⁷⁸⁷
787 Riwayat al-Bukhari (5/70)
Abu Hurairah r.a. juga meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
Tahukah kamu semua siapakah orang yang muflis? Para sahabat menjawab: Orang muflis di kalangan kami ialah orang yang tidak mempunyai dirham atau harta benda. Sabda Nabi s.a.w.: Sesungguhnya muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat nanti dengan membawa seluruh amalan solehnya seperti solat, puasa dan zakatnya. Namun begitu dia datang dalam keadaan dia telah memaki si fulan, menuduh si fulan melakukan zina, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Justeru, kejahatannya itu dibalas dengan diberikan kebaikan yang dilakukannya kepada orang itu dan orang ini. Sekiranya habis segala kebaikannya sebelum selesai membayar kezalimannya, akan diambil kejahatan mereka (orang yang dizaliminya) lalu dicampakkan ke atasnya. Kemudian dia dihumbankan ke dalam neraka.⁷⁸⁸
788 Riwayat Muslim (2581) dan at-Tirmizi (2420)
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
لَتُؤَذَّنَّ الْحُقُوقَ إِلَى أَهْلِهَا، حَتَّى يُقَادَ لِلشَّاةِ الْجَمَّاءِ مِنَ الشَّاةِ الْقَرْنَاءِ
Pada hari kiamat, setiap hak akan diberikan kepada empunyanya sehinggakan kambing yang tidak bertanduk akan diberikan hak untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh kambing bertanduk yang menanduknya (di dunia dahulu).⁷⁸⁹
789 Riwayat Muslim (2582) dan at-Tirmizi (2/305)
Kesemua hadis tersebut di atas adalah sahih. Oleh itu, renung dan fikirkanlah, semoga Allah memberikan taufik kepada kamu untuk menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala amalan baik kamu seperti riya' dan mengumpat.
Sekiranya kamu bebas daripada sifat-sifat tersebut, musuh kamu pula (iaitu orang yang ada haknya ke atas kamu) akan mengambilnya pada hari perbicaraan di Mahsyar kelak. Oleh itu sedarlah dan jangan sia-siakan waktu kamu.
Orang yang malang ialah orang yang lebih mengutamakan kenikmatan dunia yang bersifat sementara untuk membeli azab yang sangat pedih buat selama-lamanya. Kami memohon kepada Allah agar dikurniakan kesejahteraan dan taufik.
Sifat-sifat Syurga (Semoga Allah Mengurniakannya kepada Kita)
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
قُلْنَا يَا رَسُولَ اللهِ! حَدِّثْنَا عَنِ الجَنَّةِ مَا بِنَاؤُهَا؟ قَالَ: لَبِنَةٌ مِنْ فِضَّةٍ وَلَبِنَةٌ مِنْ ذَهَبٍ وَمِلَاطُهَا الْمِسْكُ الأَذْفَرُ وَحَصْيَاؤُهَا اللُّؤْلُؤُ وَالْيَاقُوتُ وَتُرْبَتُهَا الزَّعْفَرَانُ مَنْ يَدْخُلْهَا يَنْعَمْ وَلَا يَبْأَسْ وَيُخَلَّدْ وَلَا يَمُوتْ لَا تَبْلَى ثِيَابُهُمْ وَلَا يَفْنَى شَبَابُهُمْ
Kami telah berkata: Wahai Rasulullah! Ceritakan kepada kami berkenaan syurga dan apakah bahan binaannya?. Nabi s.a.w. bersabda: Binaannya adalah daripada batu bata emas dan perak, tanahnya adalah kasturi yang sangat harum baunya, anak-anak batunya adalah mutiara dan permata yaaqut yang indah dan debu tanahnya pula adalah kumkuma (za'faran). Siapa yang memasukinya akan mendapat nikmat dan tidak putus asa (tidak jemu sekali kali). Dia kekal selama-lamanya dan tidak mati. Pakaiannya tidak lusuh dan terus kekal muda.⁷⁹⁰
790 Riwayat at-Tirmizi (2528) dan Ahmad (2/305) dengan sanad yang daif, tetapi dikuatkan dengan beberapa riwayat yang lain.
Dalam hadis Usamah bin Zaid r.a. menyebut bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah menyebut tentang syurga dengan bersabda:
أَلَا مُشَمِّرٌ لَهَا؟ هِيَ وَرَبِّ الْكَعْبَةِ رَيْحَانَةٌ تَهْتَزُّ وَنُورٌ يَتَلأَلأُ وَنَهَرٌ مُطَّرِدٌ وَزَوْجَةٌ لَا تَمُوْتُ فِي حُبُوْرٍ وَنَعِيْمٍ وَمَقَامٍ فِيْ أَبَدٍ قَالُوا: نَحْنُ الْمُشَمِّرُونَ لَهَا يَا رَسُولَ الله؟ قَالَ: قُولُوا إِنْ شَاءَ اللهُ
Tiadakah orang yang sanggup bersiap-sedia dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya? Demi Allah, Tuhan pemilik Kaabah, syurga itu terdiri daripada pokok-pokok Raihan yang wangi dan bergoyang-goyang ditiup angin serta cahaya yang berkerlip-kerlipan, sungai pajang yang sentiasa mengalir, isteri yang tidak akan mati, hidup bergembira dalam keadaan muda dan nikmat yang berterusan serta kedudukan yang kekal abadi selamanya. Para sahabat pun berkata: Wahai Rasulullah, kamilah yang akan bersungguh-sungguh bersedia untuk mendapatkannya. Sabda Rasulullah: Katakanlah Insya Allah.⁷⁹¹
791 Riwayat Ibnu Majah (4332) dan Ibnu Hibban (2640-Mawarid). Sanadnya daif.
Dalam hadis as-Sohihain⁷⁹², daripada Abu Hurairah r.a. bahawa baginda s.a.w. bersabda:
792 Riwayat al-Bukhari (6/230), Muslim (2834), Ahmad (2/316), at-Tirmizi (2540) dan al-Baghawi (4370) daripada Abu Hurairah r.a..
قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَعْدَدْتُ لِعِبَادِيَ الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلَا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ
Allah s.w.t. telah berfirman: Aku telah menyediakan untuk hamba-hamba Ku yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, yang tak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia.
Dalam as-Sohihain juga⁷⁹³ menyebut hadis riwayat Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
793 Petikan daripada hadis yang Sama
Kumpulan pertama memasuki syurga adalah seperti rupa bulan pada malam yang penuh purnama, kemudian diikuti dengan kumpulan seumpama bintang yang paling bercahaya di langit. Mereka tidak lagi membuang air kecil dan besar, tidak berludah atau berhingus. Sikat mereka diperbuat dari emas dan bau mereka seharum kasturi. Tempat bara (perasapan) mereka adalah daripada kayu gaharu yang wangi. Isteri-isteri mereka pula adalah bidadari-bidadari syurga. Bentuk kejadian mereka adalah dalam bentuk tubuh yang serupa iaitu bentuk tubuh ayah mereka, Nabi Adam a.s. yang tingginya 60 hasta.
Dalam riwayat lain menyebut, maksudnya:
Setiap seorang akan memperolehi dua orang isteri yang sungguh cantik dan putih melepak sehingga kelihatan gebu isi kedua betis mereka. Mereka umpama satu hati, tidak akan bertengkar atau membenci antara satu sama lain. Mereka sentiasa bertasbih kepada Allah siang dan malam.
Abu Musa al-Asy'ari r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
جِنَّتَانِ مِنْ فِضَّةٍ، آنِيَتُهُمَا وَمَا فِيهِمَا وَجَنَّتَانِ مِنْ ذَهَبٍ آنِيَتُهُمَا وَمَا فِيهِمَا، وَمَا بَيْنَ الْقَوْمِ وَبَيْنَ أَنْ يَنْظُرُوا إِلَى رَبِّهِمْ إِلَّا رِدَاءُ الْكِبْرِ عَلَى وَجْهِهِ فِي جََّةِ عَدْنٍ
Dua buah syurga di mana bekas dan segala isinya diperbuat daripada perak, manakala dua buah syurga lagi, bekas dan segala isinya diperbuat daripada emas. Tiada halangan antara manusia untuk melihat Tuhan mereka melainkan pakaian kesombongan yang diletakkan oleh Allah s.w.t. di hadapan-Nya dalam syurga Adn.⁷⁹⁴
794 Riwayat al-Bukhari (8/479) dan Muslim (180).
Dalam hadis as-Sohihain⁷⁹⁵ juga ada menyebut riwayat Abu Musa r.a. di mana Rasulullah s.a.w telah bersabda:
795 Riwayat al-Bukhari (6/229), Muslim (2838) dan at-Tirmizi
إِنَّ فِي الْجَنَّةِ لَخَيْمَةً مِنْ دُرَّةٍ مُجَوَّفَةٍ عَرْضُهَا سِتُّونَ مِيلاً فِي كُلَّ زَاوِيَةٍ مِنْهَا أَهْلٌ مَا يَرَوْنَ الآخَرِينَ يَطُوفُ عَلَيْهِمُ الْمُؤْمِنُ
Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat satu khemah yang diperbuat daripada mutiara yang melengkung, lebarnya sepanjang 60 batu. Di setiap penjurunya ada penghuni di mana mereka tidak dapat melihat penghuni-penghuni di penjuru-penjuru yang lain. Orang yang beriman berjalan mengelilingi (menziarahi) mereka.
Ketahuilah bahawa Allah s.w.t. telah menyebut pelbagai kenikmatan syurgawi secara terperinci pada banyak tempat dalam al-Quran, kemudian menghimpunkan segala sifat-sifatnya dalam beberapa ayat. Antaranya:
Firman Allah s.w.t:
وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنْفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ
Dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata.
لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا
(Dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
Kemudian ditambah lagi dengan firman-Nya:
فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ
Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan.
Sifat-sifat syurga⁷⁹⁶ itu terlalu banyak. Memadailah jika kami menyebut sifat-sifat tersebut dalam bentuk kesimpulan sebagaimana dalam beberapa ayat di atas.
796 Sila rujuk risalah karanganku bertajuk al-Jannah: Na'iemuha wa at Tariiqu Ilaiha. Ia adalah cetakan yang senang diperolehi.
Setinggi-tinggi nikmat dalam syurga ialah melihat Allah s.w.t.. Dalam as-Sohihain⁷⁹⁷, terdapat hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
797 Riwayat al-Bukhari (11/387) dan Muslim (182).
قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ! هَلْ نَرَى رَبَّنَا؟ فَقَالَ: هَلْ تُضَارُّونَ فِي الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ، لَيْسَ دُونَهُ سَحَابٌ؟ قَالُوا لَا يَا رَسُولَ اللهِ. قَالَ: فَإِنَّكُمْ تَرَوْنَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذٰلِكَ
Rasulullah s.a.w. ditanya: Adakah kita akan dapat melihat Tuhan kita? Rasulullah s.a.w. bertanya kembali: Adakah membawa mudarat kepada kamu ketika melihat bulan purnama yang tidak dilitupi oleh awan? Para sahabat menjawab: Tidak. Rasulullah bersabda: Begitulah kamu akan melihat-Nya pada hari akhirat kelak.
Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.
Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.
Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.
Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati
Tajuk Mudarasah: Alam Kubur
Halaman Rujukan Kitab : 704
Nota Mudarasah:
Dalam hadis as-sohihain juga terdapat riwayat daripada Asma' binti Abu Bakar r.ha. katanya: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Aku diwahyukan bahawa kamu akan diuji di dalam kubur kamu sama atau baginda bersabda - hampir sama dengan ujian dari al-Masih ad-Dajjal. Kamu nanti akan ditanya: Apa yang kamu tahu tentang lelaki ini? Orang mukmin akan berkata: Aku bersaksi bahawa sesungguhnya dia merupakan hamba dan pesuruh Allah... (sehingga ke akhir hadis).
Ibn Abbas r.a. berkata: Setelah jenazah Sa'd bin Muaz di bawa keluar dan dikebumikan, Rasulullah menoleh ke arah kami seraya berkata: Setiap di kalangan kamu akan menghadapi tekanan di dalam kuburnya dan jika ada seorang yang boleh terlepas darinya, tentunya Saad bin Muaz akan terlepas. Kemudian disebut sambungan hadis sehingga akhirnya.
Abdullah as-Son`aani berkata: Aku melihat Yazid bin Harun dalam mimpi ku selepas empat malam kematiannya. Aku bertanya kepadanya: Apa yang Allah telah lakukan kepada kamu? Dia menjawab: Allah telah menerima amalan kebajikan ku dan Dia mengampunkan kesalahanku. Aku bertanya: Apakah yang berlaku selepas daripada itu? Dia berkata: Aku diberikan kemuliaan oleh Allah yang bersifat Maha Mulia. Dia mengampunkan dosaku dan memasukkan aku ke dalam syurga. Bagaimana kamu mampu memperolehi ganjaran tersebut? Dia menjawab: Dengan menghadiri majlis-majlis zikir, berkata dalam perkara yang benar, bercakap benar, berdiri lama ketika bersembahyang (banyak bersembahyang) dan bersabar di atas kefakiranku. Aku bertanya lagi: Adakah malaikat Mungkar dan Nakir itu perkara yang benar? Dia menjawab: Ya, demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia. Sesungguhnya mereka berdualah yang telah mendudukkan aku dan bertanya kepadaku: Siapa Tuhan kamu? Apa agama kamu? Dan siapa nabi kamu? Aku pun mengibas janggut putihku dari tanah-tanah dan berkata: Orang yang sepertiku juga ditanya sebegini? Aku Yazid bin Harun al-Waasity. Di dunia, aku telah menghabiskan 60 tahun umurku mengajar manusia!!!. Salah seorang di kalangan mereka berkata: Benarlah, dia adalah Yazid bin Harun. Tidurlah kamu dengan nyenyak seumpama tidur seorang pengantin. Selepas ini kamu tidak akan merasa takut lagi. Al-Marwazi pernah berkata: Dalam mimpiku, aku melihat Ahmad bin Hanbal sedang berada dalam sebuah taman. Beliau memakai dua pakaian hijau dan di atas kepalanya ada mahkota cahaya. Diapun berjalan dengan gaya jalan yang tidak pernah aku saksikannya di dunia. Aku bertanya: Wahai Ahmad! Apakah jenis gaya jalan ini? Tidak pernahpun aku lihat engkau lakukannya di dunia? Beliau pun menjawab: Ini adalah gaya berjalan khadam khadam di syurga. Aku bertanya lagi: Mahkota apa pula yang engkau pakai itu? Dia menjawab: Sesungguhnya Tuhan aku telah memanggilku, menghitungku dengan mudah, memberi pakaian, mengasihi dan mendekatkan aku kepada-Nya. Aku melihat wajah Nya dan Dia memakaikan aku mahkota ini dan berfirman: Wahai Ahmad, Aku berikan mahkota kemuliaan ini kepadamu kerana kata-katamu: Al-Quran adalah kalam-Ku yang bersifat qadim dan bukannya makhluk yang bersifat hadith (baharu).
Keadaan Si Mati dari Tiupan Sangkakala hingga Mendiami Syurga atau Neraka
Kami telah jelaskan berkenaan alam kubur yang begitu dahsyat. Namun keadaan menjadi lebih dahsyat lagi apabila berlakunya tiupan sangkakala, kebangkitan, perhitungan, timbangan amal dan titian as-sirot. Setiap kedahsyatan dan hura-hara ini wajib diimani dan seharusnya difikir atau direnung panjang mengenainya. Kebanyakan manusia tidak teguh keimanan mereka dengan hari akhirat.
Sekiranya manusia tidak pernah menyaksikan proses kelahiran semua hidupan bernyawa kemudian dia diberitahu bahawa ada pencipta yang telah menjadikan seumpama anak Adam yang ada rupa bentuk, berakal dan boleh berkata-kata daripada setitik air mani yang hina, sudah tentu dia akan bersungguh-sungguh mengingkarinya. Tetapi bagaimana pula dengan manusia yang menyaksikan sendiri kejadian pertama yang menggambarkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah Taala itu boleh mengingkarinya (kebangkitan semula), sedangkan penciptaan-Nya (yang pertama) dalam keadaan yang sungguh menakjubkan itu adalah lebih hebat daripada kejadian dan kebangkitannya semula?.
Jika iman kamu lemah, kuatkanlah ia dengan memerhati kan kelahiran pertama, kerana kelahiran kedua akan berlaku seumpamanya bahkan lebih mudah lagi. Jika kamu mempunyai iman yang kental maka didiklah hatimu dengan perasaan takut terhadap keadaan dan suasana tersebut (tiupan sangkakala, kebangkitan dan seumpamanya) yang merbahaya dan menakutkan. Di samping itu, perbanyakkanlah berfikir dan mengambil iktibar agar dengannya kamu akan lebih tekun dan bersungguh-sungguh. Perkara pertama yang akan didengari oleh telinga si mati ialah suara malaikat Israfil ketika meniup sangkakala. Justeru, gambarkanlah dirimu ketika kamu bangkit dari kuburmu dalam keadaan terpinga pinga, gerun dan hina diri tatkala menuju ke arah tempat yang dijanjikan. Firman Allah s.w.t:
Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.
( Yasin : 51 )
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Bagaimana aku mampu untuk bersenang-senang sedang kan peniup sangkakala telah pun menundukkan dahinya (bersedia) dan menumpukan pendengarannya, menanti-nanti arahan untuk meniup sangkakala tersebut!!!. Orang beriman berkata: Wahai Rasulullah, Apakah yang seharusnya kami ucapkan? Nabi s.a.w menjawab: Katakanlah: Cukuplah Allah kepada kami da Dialah sebaik-baik tempat pergantungan. Kami berserah hanya kepada Allah⁷⁷².
Seterusnya lihatlah keadaan ketika manusia dibangkit dan dihimpunkan pada hari kiamat. Mereka dibawa dalam keadaan berkaki ayam dan bertelanjang menuju ke bumi mahsyar, satu lem bah lapang yang tiada bukit-bukau untuk manusia bersembunyi.
Dalam as-sohihain meriwayatkan bahawa⁷⁷³, Nabi s.a.w. bersabda:
773 Riwayat al-Bukhari (11/323) dan Muslim (2790)
Dibangkitkan manusia pada hari khiamat di bumi yang putih, bulat seumpama roti bersih berbentuk cakera. Bayangkanlah pula kesesakan manusia ketika itu. Mereka berada dalam keadaan kedudukan matahari yang hampir dengan kepala mereka, peluh mengalir deras dan hati yang gundah gulana. Disebut dalam hadis bahawa peluh itu akan menenggelamkan manusia mengikut kadar amalan masing-masing⁷⁷⁴.
Wahai si malang, renungilah juga bagaimana nanti Tuhanmu akan bertanya tentang amalanmu tanpa sebarang perantaraan. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda:
Tiga pembentangan yang akan dilakukan terhadap manusia pada hari kiamat kelak; dua pembentangan untuk perdebatan dan alasan-alasan, manakala pembentangan ketiga ialah lembaran-lembaran amal yang bertaburan lalu ada yang dapat mengambilnya dengan tangan kanan dan ada yang mengambilnya dengan tangan kiri.⁷⁷⁵
Abi Barzah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ke dua kaki seseorang hamba tidak akan berganjak sehinggalah ditanya terlebih dahulu berkenaan empat perkara: Tentang umurnya, bagaimanakah dia menghabis kannya. Tentang amalannya, apakah yang telah dilakukan nya. Tentang hartanya, dari manakah ia diperolehi dan ke manakah dibelanjakannya dan berkenaan tubuh badannya, bagaimanakah dia manfaatkannya?.⁷⁷⁶
Daripada Safwan bin Muhriz katanya: Ketika aku memimpin tangan Ibnu Umar r.a., tiba-tiba datang seorang lelaki dan bertanya kepadanya: Bagaimanakah tuan mendengar daripada Rasulullah s.a.w. berkenaan perbicaraan pada hari kiamat? Beliau berkata: Aku mendengar baginda s.a.w. bersabda maksudnya:
Sesungguhnya Allah s.w.t. mendekatkan seorang hamba yang beriman kepada-Nya, meletakkannya di sisinya, menghalang manusia dari melihatnya agar dia mengakui kesalahannya. Seterusnya Allah berfirman kepadanya: Adakah kamu mengetahui dosa ini?. Adakah kamu mengetahui dosa itu? Adakah kamu mengetahui dosa ini?», sehinggalah dia mengakui kesemua kesalahannya dan merasakan dia hampir binasa (kerana banyaknya dosa). Kemudian Allah berfirman: Aku telah menutup dosa-dosa itu di dunia dan pada hari ini Aku akan ampuni kamu. Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: Kemudian diberikan kepadanya buku catatan kebaikannya. Manakala bagi orang kafir dan munafik, semua saksi akan berkata:
Inilah orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka. Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang yang zalim!
( Hud : 18 )
Hadis ini telah dipetik daripada kitab Sohih al-Bukhari dan Muslim.⁷⁷⁷
777 Riwayat al-Bukhari (5/70) dan Muslim (2768)
Dalam as-Sohihain, terdapat juga riwayat daripada Abu Said r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
Satu jambatan akan dibentangkan di atas neraka jahannam dan akulah orang pertama yang akan menyeberanginya.⁷⁷⁸
Nabi s.a.w. juga telah bersabda yang bermaksud:
Didatangkan satu jambatan dan diletakkan di atas neraka jahannam. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Bagai manakah keadaan jambatan tersebut? Baginda menjawab: Ianya terlalu licin dan menggelincirkan kaki. Ia penuh dengan penyangkut-penyangkut dan belenggu besi. Di kalangan orang mukmin ada yang menyeberanginya sekadar sekelip mata, ada yang sepantas kilat, ada yang sederas angin dan ada yang sepantas kuda atau kenderaan. Orang yang berjaya melepasinya ialah orang yang selamat sampai sama ada dalam keadaan baik ataupun tercedera, sehinggalah orang terakhir berjaya menyeberanginya dalam keadaan menyusur seolah-olah ditarik.⁷⁷⁹
779 Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Ia sebahagian hadis yang telah disebutkan sebelumnya.
Neraka Jahanam (Semoga Allah Melindungi Kita Daripadanya)
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan: Ketika kami duduk bersama Nabi s.a.w., kami mendengar satu bunyi hentakan yang kuat. Lalu Nabi bertanya kepada para sahabat:
Adakah kamu mengetahui bunyi apakah itu?. Kami menjawab: Hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahuinya. Baginda menjawab: Itulah bunyi batu yang dijatuhkan ke dalam neraka jahannam semenjak tujuh puluh tahun yang lalu, kini telah sampai ke dasarnya.⁷⁸⁰
Dalam as-Sohihain⁷⁸¹, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
781 Riwayat al-Bukhari (6/238), Muslim (2843), Malik (2/994) dan at-Tirmizi (2592).
Api yang digunakan oleh manusia untuk membakar, hanyalah satu juzuk daripada tujuh puluh juzuk api neraka jahannam. Para sahabat berkata: Demi Allah! Sekalipun api dunia ini sudah cukup (panas), wahai Rasulullah?. Baginda menjawab: Kepanasannya berganda sebanyak enam puluh sembilan kali lagi. Semua juzuk itu adalah seperti kepanasannya.
Ibnu Mas'ud r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
Pada hari tersebut, neraka jahannam didatangkan dengan sebanyak tujuh puluh ribu tali pengikat di mana setiap tali ditarik oleh tujuh puluh ribu malaikat.⁷⁸²
Abu ad-Darda' r.a. berkata:⁷⁸³ Penduduk neraka akan ditimpa kelaparan sehingga menyamai kesakitan azab yang mereka hadapi, lalu mereka meminta diberikan makanan. Mereka kemudiannya diberikan ad-dhori'⁷⁸⁴ sebagai makanan, di mana makanan ini sama sekali tidak akan menggemuk atau menghilangkan kelaparannya. Mereka meminta makanan lagi dan kali ini mereka diberikan makanan yang melekat di kerongkong. Apabila keadaan ini berlaku, mereka teringat kepada air yang boleh menolak makanan ini ke dalam perut. Lalu mereka meminta air minuman. Mereka pun diberi minum dengan air yang mendidih. Mereka mendapatkan minuman tersebut dengan menggunakan penyangkut-penyangkut besi. Apabila minuman tersebut hampir kepada mereka, muka mereka terbakar. Apabila mereka meminumnya, seluruh usus dan anggota dalaman mereka luruh dan putus.
783 Diriwayatkan secara marfu' dengan sanad yang lemah. Al-Iraqi telah menaqalkan dalam kitab al-Mughni (4/532) daripada ad-Darimi: Hadis ini adalah hadis mauquf kepada Abi ad-Darda'. Aku berkata: Hadis ini daif juga kerana pada sanadnya terdapat Syahrun bin Hausyab, seorang perawi yang daif.
784 Makanan yang amat busuk di mana para ulamak berselisih pandangan dalam mentafsirkannya. Sila lihat kitab al-Mufradat (295) oleh ar-Raaghib. Menurut terjemahan Tafsir Pimpinan ar-Rahman, makna ad-Dhori' sebagaimana dalam ayat ke-6 surah al-Ghasiah ialah pokok-pokok yang berduri-pent
Mereka memohon kepada malaikat, penjaga neraka jahannam sebagaimana difirmankan oleh Allah:
Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari.
( Al-Ghafir : 49 )
Lalu dijawab kepada mereka:
(Malaikat penjaga neraka menjawab): Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)? Mereka menjawab: Ya, ada. Malaikat itu berkata: Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja.
( Al-Ghafir : 50 )
Para malaikat berkata lagi: Tanyalah pada Malaikat Malik. Mereka pun berkata:
Dan mereka menyeru Malik (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!
( Az-Zukhruf : 77 )
Lalu Malik menjawab:
Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!
( Az-Zukhruf : 77 )
Mereka berkata lagi:
Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang yang zalim.
(Al-Mukminun: 107)
Lalu Allah menjawab:
Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam neraka, dan jangan lah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaku!
(Al-Mukminun: 108)
Ketika itu, barulah mereka berputus asa dari segala kemungkinan menerima balasan yang baik, lalu pasrah menerima azab dalam keadaan terus menerus meraung kesakitan, ditimpa kecelakaan dan kebinasaan.
Seterusnya, fikirkanlah juga tentang ular-ular dan kala jengking yang ada di sana. Dalam satu hadis ada menyebut:
Sesungguhnya ular-ularnya seperti leher-leher unta, dan kala jengkingnya seperti baghal yang dipasang pelana.⁷⁸⁵
Al-Hasan berkata: Api neraka akan membakar mereka 70 ribu kali setiap hari dan kemudian mereka kembali sebagaimana asalnya.
Sifat-sifat neraka jahannam adalah sangat banyak. Azab yang paling ringan darinya pun sudah memadai untuk menggerunkan kita. Jika kamu benar-benar beriman dan meyakini perkara ini, maka sedarkanlah dirimu dan takutlah dengan apa yang ada di hadapan kamu. Sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan dua ketakutan ke atas seseorang hambanya.⁷⁸⁶
786 Ini kerana sesiapa yang takutkan Allah di dunia maka tiada lagi ketakutan dalam dirinya pada hari kiamat-pent.
Takut yang kami maksudkan di sini bukannya seperti takutnya seorang perempuan lantaran sifat kelembutan dan kelemahan yang ada padanya, lalu menangis seketika kemudian terus meninggalkan amalan ketaatan. Tetapi takut yang di maksudkan di sini ialah yang dapat menghalang dari melakukan maksiat serta mendorong kepada ketaatan.
Juga bukan seperti takut seorang yang bodoh yang hanya takut apabila mendengar cerita kedahsyatan hari kiamat lalu berkata: Kami meminta tolong daripada Allah, kami memohon perlindungan dengan Allah, wahai tuhan selamatkanlah kami dan sebagainya, tetapi di waktu yang sama masih lagi mengerjakan perkara yang buruk. Takut yang sebegini adalah permainan syaitan. Ianya tidak ubah seperti seorang yang berada di tepi sebuah kota, yang mahu diterkam oleh binatang buas yang merbahaya. Dia hanya berkata: Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada binatang ini, sedangkan dia tidak pula berganjak untuk cuba memasuki kota itu bagi menyelamatkan dirinya.
Mencintai Rasulullah s.a.w.
Di dunia ini, kamu hendaklah menjadi seorang yang mencintai Rasulullah s.a.w. dan mengagungkan sunnah baginda agar kamu memperolehi syafaat baginda di akhirat nanti. Syafaat Rasulullah s.a.w. itu melebihi seluruh syafaat nabi-nabi yang lain. Baginda akan memohon keampunan untuk umatnya yang melakukan dosa besar, lalu Allah menyelamatkan mereka dari neraka.
Kamu juga hendaklah meramaikan kawan-kawan yang soleh kerana setiap orang mukmin itu ada syafaatnya. Janganlah kelalaian kamu menjadikan kamu suka menangguh-nangguh dan kamu menamakannya sebagai harapan, sedangkan orang yang berharap ialah orang yang mahukan sesuatu dan disertai dengan usaha.
Waspadalah dari menzalimi orang lain kerana sesiapa yang mati sebelum mengembalikan hak-hak orang yang dizaliminya, mereka itu semua akan mengelilinginya pada hari kiamat.
Setiap orang di kalangan mereka akan berkata: Orang inilah yang menzalimiku, orang inilah yang menghina aku, inilah jiranku yang berlaku jahat terhadapku dan orang inilah yang menipuku. Ketika itu kamu tidak dapat lagi melepaskan diri dari mereka. Apabila kamu bercita-cita untuk melepaskan diri, ketika itu kamu akan dijawab: Pada hari ini tidak ada lagi kezaliman.
Abu Said al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
Pada hari kiamat, orang yang beriman akan diselamatkan dari api neraka. Mereka akan diletakkan antara syurga dan neraka lalu dilaksanakan pembalasan terhadap segala kezaliman yang berlaku antara mereka di dunia. Setelah mereka semua dibersih dan disucikan dari dosa-dosa, barulah diizinkan mereka untuk memasuki syurga.⁷⁸⁷
Abu Hurairah r.a. juga meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
Tahukah kamu semua siapakah orang yang muflis? Para sahabat menjawab: Orang muflis di kalangan kami ialah orang yang tidak mempunyai dirham atau harta benda. Sabda Nabi s.a.w.: Sesungguhnya muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat nanti dengan membawa seluruh amalan solehnya seperti solat, puasa dan zakatnya. Namun begitu dia datang dalam keadaan dia telah memaki si fulan, menuduh si fulan melakukan zina, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Justeru, kejahatannya itu dibalas dengan diberikan kebaikan yang dilakukannya kepada orang itu dan orang ini. Sekiranya habis segala kebaikannya sebelum selesai membayar kezalimannya, akan diambil kejahatan mereka (orang yang dizaliminya) lalu dicampakkan ke atasnya. Kemudian dia dihumbankan ke dalam neraka.⁷⁸⁸
788 Riwayat Muslim (2581) dan at-Tirmizi (2420)
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Pada hari kiamat, setiap hak akan diberikan kepada empunyanya sehinggakan kambing yang tidak bertanduk akan diberikan hak untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh kambing bertanduk yang menanduknya (di dunia dahulu).⁷⁸⁹
Kesemua hadis tersebut di atas adalah sahih. Oleh itu, renung dan fikirkanlah, semoga Allah memberikan taufik kepada kamu untuk menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala amalan baik kamu seperti riya' dan mengumpat.
Sekiranya kamu bebas daripada sifat-sifat tersebut, musuh kamu pula (iaitu orang yang ada haknya ke atas kamu) akan mengambilnya pada hari perbicaraan di Mahsyar kelak. Oleh itu sedarlah dan jangan sia-siakan waktu kamu.
Orang yang malang ialah orang yang lebih mengutamakan kenikmatan dunia yang bersifat sementara untuk membeli azab yang sangat pedih buat selama-lamanya. Kami memohon kepada Allah agar dikurniakan kesejahteraan dan taufik.
Sifat-sifat Syurga (Semoga Allah Mengurniakannya kepada Kita)
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
Kami telah berkata: Wahai Rasulullah! Ceritakan kepada kami berkenaan syurga dan apakah bahan binaannya?. Nabi s.a.w. bersabda: Binaannya adalah daripada batu bata emas dan perak, tanahnya adalah kasturi yang sangat harum baunya, anak-anak batunya adalah mutiara dan permata yaaqut yang indah dan debu tanahnya pula adalah kumkuma (za'faran). Siapa yang memasukinya akan mendapat nikmat dan tidak putus asa (tidak jemu sekali kali). Dia kekal selama-lamanya dan tidak mati. Pakaiannya tidak lusuh dan terus kekal muda.⁷⁹⁰
Dalam hadis Usamah bin Zaid r.a. menyebut bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah menyebut tentang syurga dengan bersabda:
Tiadakah orang yang sanggup bersiap-sedia dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya? Demi Allah, Tuhan pemilik Kaabah, syurga itu terdiri daripada pokok-pokok Raihan yang wangi dan bergoyang-goyang ditiup angin serta cahaya yang berkerlip-kerlipan, sungai pajang yang sentiasa mengalir, isteri yang tidak akan mati, hidup bergembira dalam keadaan muda dan nikmat yang berterusan serta kedudukan yang kekal abadi selamanya. Para sahabat pun berkata: Wahai Rasulullah, kamilah yang akan bersungguh-sungguh bersedia untuk mendapatkannya. Sabda Rasulullah: Katakanlah Insya Allah.⁷⁹¹
Dalam hadis as-Sohihain⁷⁹², daripada Abu Hurairah r.a. bahawa baginda s.a.w. bersabda:
792 Riwayat al-Bukhari (6/230), Muslim (2834), Ahmad (2/316), at-Tirmizi (2540) dan al-Baghawi (4370) daripada Abu Hurairah r.a..
Allah s.w.t. telah berfirman: Aku telah menyediakan untuk hamba-hamba Ku yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, yang tak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia.
Dalam as-Sohihain juga⁷⁹³ menyebut hadis riwayat Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
793 Petikan daripada hadis yang Sama
Kumpulan pertama memasuki syurga adalah seperti rupa bulan pada malam yang penuh purnama, kemudian diikuti dengan kumpulan seumpama bintang yang paling bercahaya di langit. Mereka tidak lagi membuang air kecil dan besar, tidak berludah atau berhingus. Sikat mereka diperbuat dari emas dan bau mereka seharum kasturi. Tempat bara (perasapan) mereka adalah daripada kayu gaharu yang wangi. Isteri-isteri mereka pula adalah bidadari-bidadari syurga. Bentuk kejadian mereka adalah dalam bentuk tubuh yang serupa iaitu bentuk tubuh ayah mereka, Nabi Adam a.s. yang tingginya 60 hasta.
Dalam riwayat lain menyebut, maksudnya:
Setiap seorang akan memperolehi dua orang isteri yang sungguh cantik dan putih melepak sehingga kelihatan gebu isi kedua betis mereka. Mereka umpama satu hati, tidak akan bertengkar atau membenci antara satu sama lain. Mereka sentiasa bertasbih kepada Allah siang dan malam.
Abu Musa al-Asy'ari r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
Dua buah syurga di mana bekas dan segala isinya diperbuat daripada perak, manakala dua buah syurga lagi, bekas dan segala isinya diperbuat daripada emas. Tiada halangan antara manusia untuk melihat Tuhan mereka melainkan pakaian kesombongan yang diletakkan oleh Allah s.w.t. di hadapan-Nya dalam syurga Adn.⁷⁹⁴
Dalam hadis as-Sohihain⁷⁹⁵ juga ada menyebut riwayat Abu Musa r.a. di mana Rasulullah s.a.w telah bersabda:
795 Riwayat al-Bukhari (6/229), Muslim (2838) dan at-Tirmizi
Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat satu khemah yang diperbuat daripada mutiara yang melengkung, lebarnya sepanjang 60 batu. Di setiap penjurunya ada penghuni di mana mereka tidak dapat melihat penghuni-penghuni di penjuru-penjuru yang lain. Orang yang beriman berjalan mengelilingi (menziarahi) mereka.
Ketahuilah bahawa Allah s.w.t. telah menyebut pelbagai kenikmatan syurgawi secara terperinci pada banyak tempat dalam al-Quran, kemudian menghimpunkan segala sifat-sifatnya dalam beberapa ayat. Antaranya:
Firman Allah s.w.t:
Dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata.
( Az-Zhukruf : 71 )
(Dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
( Al-Kahfi : 108 )
Kemudian ditambah lagi dengan firman-Nya:
Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan.
( As-Sajadah : 17 )
Sifat-sifat syurga⁷⁹⁶ itu terlalu banyak. Memadailah jika kami menyebut sifat-sifat tersebut dalam bentuk kesimpulan sebagaimana dalam beberapa ayat di atas.
796 Sila rujuk risalah karanganku bertajuk al-Jannah: Na'iemuha wa at Tariiqu Ilaiha. Ia adalah cetakan yang senang diperolehi.
Setinggi-tinggi nikmat dalam syurga ialah melihat Allah s.w.t.. Dalam as-Sohihain⁷⁹⁷, terdapat hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
797 Riwayat al-Bukhari (11/387) dan Muslim (182).
Rasulullah s.a.w. ditanya: Adakah kita akan dapat melihat Tuhan kita? Rasulullah s.a.w. bertanya kembali: Adakah membawa mudarat kepada kamu ketika melihat bulan purnama yang tidak dilitupi oleh awan? Para sahabat menjawab: Tidak. Rasulullah bersabda: Begitulah kamu akan melihat-Nya pada hari akhirat kelak.
Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.
Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.
Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.
No comments:
Post a Comment