Monday, 18 April 2022

SIRI 330 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Keadaan Si Mati dari Tiupan Sangkakala hingga Mendiami Syurga atau Neraka

Halaman Rujukan Kitab : 715

Nota Mudarasah:

Seterusnya, fikirkanlah juga tentang ular-ular dan kala jengking yang ada di sana. Dalam satu hadis ada menyebut:
إِنَّ فِي حَيَّاتِهَا أَمْثَالُ أَعْنَقِ البُخْتِ وَعَقَارِبَهَا كَبِغَالِ المُوكَفَةِ
Sesungguhnya ular-ularnya seperti leher-leher unta, dan kala jengkingnya seperti baghal yang dipasang pelana.⁷⁸⁵
785 Riwayat Ahmad (4/191) daripada Abdullah bin al-Harith r.a.. Sanadnya doif.

Al-Hasan berkata: Api neraka akan membakar mereka 70 ribu kali setiap hari dan kemudian mereka kembali sebagaimana asalnya.

Sifat-sifat neraka jahannam adalah sangat banyak. Azab yang paling ringan darinya pun sudah memadai untuk menggerunkan kita. Jika kamu benar-benar beriman dan meyakini perkara ini, maka sedarkanlah dirimu dan takutlah dengan apa yang ada di hadapan kamu. Sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan dua ketakutan ke atas seseorang hambanya.⁷⁸⁶
786 Ini kerana sesiapa yang takutkan Allah di dunia maka tiada lagi ketakutan dalam dirinya pada hari kiamat-pent.

Takut yang kami maksudkan di sini bukannya seperti takutnya seorang perempuan lantaran sifat kelembutan dan kelemahan yang ada padanya, lalu menangis seketika kemudian terus meninggalkan amalan ketaatan. Tetapi takut yang di maksudkan di sini ialah yang dapat menghalang dari melakukan maksiat serta mendorong kepada ketaatan.

Juga bukan seperti takut seorang yang bodoh yang hanya takut apabila mendengar cerita kedahsyatan hari kiamat lalu berkata: Kami meminta tolong daripada Allah, kami memohon perlindungan dengan Allah, wahai tuhan selamatkanlah kami dan sebagainya, tetapi di waktu yang sama masih lagi mengerjakan perkara yang buruk. Takut yang sebegini adalah permainan syaitan. Ianya tidak ubah seperti seorang yang berada di tepi sebuah kota, yang mahu diterkam oleh binatang buas yang merbahaya. Dia hanya berkata: Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada binatang ini, sedangkan dia tidak pula berganjak untuk cuba memasuki kota itu bagi menyelamatkan dirinya.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment