Tuesday, 19 April 2022

SIRI 331 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 4: Perkara Yang Menyelamatkan

Bab 33: Mengingati Mati Dan Hakikat Selepas Mati

Tajuk Mudarasah: Mencintai Rasulullah s.a.w.

Halaman Rujukan Kitab : 716

Nota Mudarasah:

Mencintai Rasulullah s.a.w.

Di dunia ini, kamu hendaklah menjadi seorang yang mencintai Rasulullah s.a.w. dan mengagungkan sunnah baginda agar kamu memperolehi syafaat baginda di akhirat nanti. Syafaat Rasulullah s.a.w. itu melebihi seluruh syafaat nabi-nabi yang lain. Baginda akan memohon keampunan untuk umatnya yang melakukan dosa besar, lalu Allah menyelamatkan mereka dari neraka.

Kamu juga hendaklah meramaikan kawan-kawan yang soleh kerana setiap orang mukmin itu ada syafaatnya. Janganlah kelalaian kamu menjadikan kamu suka menangguh-nangguh dan kamu menamakannya sebagai harapan, sedangkan orang yang berharap ialah orang yang mahukan sesuatu dan disertai dengan usaha.

Waspadalah dari menzalimi orang lain kerana sesiapa yang mati sebelum mengembalikan hak-hak orang yang dizaliminya, mereka itu semua akan mengelilinginya pada hari kiamat.

Setiap orang di kalangan mereka akan berkata: Orang inilah yang menzalimiku, orang inilah yang menghina aku, inilah jiranku yang berlaku jahat terhadapku dan orang inilah yang menipuku. Ketika itu kamu tidak dapat lagi melepaskan diri dari mereka. Apabila kamu bercita-cita untuk melepaskan diri, ketika itu kamu akan dijawab: Pada hari ini tidak ada lagi kezaliman.

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
يَخْلُصُ الْمُؤْمِنُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنَ النَّارِ، فَيُحْبَسُونَ عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ، فَيُقَضُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ، مَظَالِمُ کَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا، حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الْجَنَّةِ
Pada hari kiamat, orang yang beriman akan diselamatkan dari api neraka. Mereka akan diletakkan antara syurga dan neraka lalu dilaksanakan pembalasan terhadap segala kezaliman yang berlaku antara mereka di dunia. Setelah mereka semua dibersih dan disucikan dari dosa-dosa, barulah diizinkan mereka untuk memasuki syurga.⁷⁸⁷
787 Riwayat al-Bukhari (5/70)

Abu Hurairah r.a. juga meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
Tahukah kamu semua siapakah orang yang muflis? Para sahabat menjawab: Orang muflis di kalangan kami ialah orang yang tidak mempunyai dirham atau harta benda. Sabda Nabi s.a.w.: Sesungguhnya muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat nanti dengan membawa seluruh amalan solehnya seperti solat, puasa dan zakatnya. Namun begitu dia datang dalam keadaan dia telah memaki si fulan, menuduh si fulan melakukan zina, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Justeru, kejahatannya itu dibalas dengan diberikan kebaikan yang dilakukannya kepada orang itu dan orang ini. Sekiranya habis segala kebaikannya sebelum selesai membayar kezalimannya, akan diambil kejahatan mereka (orang yang dizaliminya) lalu dicampakkan ke atasnya. Kemudian dia dihumbankan ke dalam neraka.⁷⁸⁸
788 Riwayat Muslim (2581) dan at-Tirmizi (2420)

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
لَتُؤَذَّنَّ الْحُقُوقَ إِلَى أَهْلِهَا، حَتَّى يُقَادَ لِلشَّاةِ الْجَمَّاءِ مِنَ الشَّاةِ الْقَرْنَاءِ
Pada hari kiamat, setiap hak akan diberikan kepada empunyanya sehinggakan kambing yang tidak bertanduk akan diberikan hak untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh kambing bertanduk yang menanduknya (di dunia dahulu).⁷⁸⁹
789 Riwayat Muslim (2582) dan at-Tirmizi (2/305)

Kesemua hadis tersebut di atas adalah sahih. Oleh itu, renung dan fikirkanlah, semoga Allah memberikan taufik kepada kamu untuk menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala amalan baik kamu seperti riya' dan mengumpat.

Sekiranya kamu bebas daripada sifat-sifat tersebut, musuh kamu pula (iaitu orang yang ada haknya ke atas kamu) akan mengambilnya pada hari perbicaraan di Mahsyar kelak. Oleh itu sedarlah dan jangan sia-siakan waktu kamu.

Orang yang malang ialah orang yang lebih mengutamakan kenikmatan dunia yang bersifat sementara untuk membeli azab yang sangat pedih buat selama-lamanya. Kami memohon kepada Allah agar dikurniakan kesejahteraan dan taufik.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment