Tuesday, 26 April 2022

SIRI 338 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.50 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 1: Ibadat Ilmu Dan Kelebihannya Serta Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Pengenalan

Halaman Rujukan Kitab : 5

Nota Mudarasah:

Daripada Safwan bin 'Assal r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda;
إِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ رِضَا بِمَا يَطْلُبُ
Sesungguhnya para malaikat akan meletakkan sayapnya ke atas penuntut ilmu kerana reda dengan apa yang dituntut.¹⁶
16 Riwayat at-Tirmizi (3535), Ibnu Majah (226). Ibnu Hibban (79), Ahmad (4/239-240) dan Ibnu Khuzaimah (193). Hadis sahih.

Al-Khattabi berkata: Terdapat tiga pendapat ulamak tentang maksud malaikat 'akan meletakkan sayapnya' iaitu:

Pertama: Bermaksud melebarkan sayapnya

Kedua: Bermaksud tawaduk kerana memulia dan membesarkan penuntut ilmu. Ketiga: Bermaksud singgah dan duduk bersama dalam majlis ilmu. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Sesiapa yang melalui satu jalan kerana mencari ilmu, Allah akan mempermudahkan kepadanya jalan menuju ke syurga.¹⁷
17 Riwayat Muslim (2699), Abu Daud (2634) dan at-Tirmizi (2648).

Abu Hurairah r.a. juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan menuntut ilmu untuk menegakkan Islam, kedudukan antaranya dengan para nabi dalam syurga kelak hanya dipisahkan dengan satu darjat sahaja.¹⁸
18 Riwayat ad-Darimi (1/100) daripada al-Hasan secara mursal. Ibnu Najjar meriwayatkannya dalam kitab Zail Tarikh Baghdad (3/131) dan al Haithami menyebutnya dalam kitab Majma' az-Zawaid (1/123) dan berkata: Riwayat at-Tobrani dalam kitab al-Ausoth. Pada sanadnya terdapat Muhammad bin al Ja'd. Beliau adalah perawi yang dipulaukan hadisnya (matruk). Rujuk kitab Ittihaf as-Sadah al-Muttaqin (1/100-101). Dalamnya terdapat kritikan sanad yang panjang lebar.

Terdapat banyak hadis yang diriwayatkan mengenainya.

Setengah cendikiawan berkata: Alangkah baiknya jika aku tahu sejak dahulu lagi bahawa apakah yang diperolehi oleh orang yang tidak berilmu dan apakah pula yang tidak diperolehi oleh orang yang berilmu.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment