Thursday, 2 June 2022

SIRI 374 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 4: Puasa: Rahsia, Peranan Dan Perkara Yang Berkaitan Dengannya

Tajuk Mudarasah: Rahsia dan Adab-adab Puasa

Halaman Rujukan Kitab : 57

Nota Mudarasah:

Berkenaan puasa sunat pula, ia lebih dituntut pada hari-hari yang mempunyai kelebihan. Antara hari-hari tersebut, ada yang bersifat tahunan seperti enam hari di bulan Syawal, hari Arafah, hari "Asyura dan juga di bulan Muharram. Antaranya ada yang berbentuk bulanan seperti puasa di awal, pertengahan dan penghujung bulan. Sesiapa yang berpuasa pada awal, pertengahan dan akhir bulan, dia telah melakukan kebaikan. Yang lebih afdal ialah berpuasa tiga hari dipertengahan bulan yang dikenali dengan hari-hari al-Bidh (putih). Sebahagiannya pula secara mingguan, iaitu hari Isnin dan Khamis. Puasa yang paling afdal ialah puasa Nabi Daud a.s.. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari.⁹⁰
90 Ustaz Syuraidah al-Ma'usyarji telah mengarang kitab Siyam al-Tatoww yang mencatatkan semua jenis puasa di samping mentakhrijkan hadis hadis mengenainya. Cetakan Darus Salafiyyah, Kuwait.

Puasa seumpama itu (puasa Nabi Daud a.s.) mengandungi tiga hikmah:

i. Nafsu akan mendapat habuannya pada hari berbuka, manakala pengabdian diri pula dapat dilaksanakan pada hari berpuasa. Ia menghimpunkan antara dua perkara iaitu hak yang perlu diberikan kepada dirinya dan juga hak atau tanggungjawab yang perlu ditunaikannya. Dengan itu, keadilan akan berlaku.

ii Hari makan adalah hari bersyukur manakala hari puasa ialah hari bersabar. Syukur dan sabar merupakan dua aspek iman yang utama.

iii- Bermujahadah dalam puasa sebegini adalah lebih mencabar. Ini kerana setiap kali jiwa mula seronok dan serasi dengan sesuatu keadaan, ia berpindah meninggalkannya kepada keadaan lain pula.

Berhubung dengan puasa sepanjang tahun, Imam Muslim meriwayatkan:
عَنْ أَبِي قَتَادَةَ، قَالَ قَالَ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللهِ كَيْفَ بِمَنْ يَصُومُ الدَّهْرَ كُلَّهُ؟ قَالَ : لَا صَامَ وَلَا أَفْطَرَ أَوْ لَمْ يَصُمْ وَلَمْ يُفْطِرْ
Daripada hadis Abi Qattadah r.a. bahawa Umar r.a. pernah bertanya kepada Nabi s.a.w. katanya: Bagaimana dengan mereka yang berpuasa sepanjang tahun? Sabda baginda: Jangan dia berpuasa sepanjang masa dan jangan berbuka sepanjang masa.⁹¹
91 Riwayat Muslim (1162), Abu Daud (2425) dan an-Nasaie (4/207).

Maksud larangan baginda daripada berpuasa itu mungkin pada hari-hari yang diharamkan berpuasa. Sekiranya dia tidak berpuasa pada kedua-dua hari raya dan juga hari-hari tasyrik, hukum puasanya di sepanjang tahun itu adalah harus.

Diriwayatkan daripada Hisyam bin Urwah r.hm. bahawa bapanya berpuasa secara berterusan. Begitu juga dengan Aisyah r.ha.. Anas bin Malik r.a. berkata: Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., Abu Tolhah berpuasa secara berterusan selama 40 tahun.

Sesiapa yang dikurniakan kebijaksanaan, dia akan mengetahui tujuan atau maksud daripada ibadat puasa. Oleh itu dia tidak akan membebankan dirinya dengan puasa secara keterlaluan sehingga melemahkan dia untuk melakukan ibadat lain yang lebih afdal. Ibnu Mas'ud r.a. adalah seorang yang sedikit berpuasa. Beliau berkata: Apabila aku berpuasa, aku akan merasa lemah untuk sembahyang. Oleh itu aku memilih untuk sembahyang daripada berpuasa sunat. Sebahagian mereka, apabila berpuasa dia merasa lemah untuk membaca al-Quran. Oleh itu, dia lebih banyak berbuka sehingga mampu membaca al-Quran. Setiap insan lebih mengetahui keadaan dirinya dan apa yang lebih sesuai kepadanya.⁹²
92 Dalam hal ini, terdapat pengajaran yang mendalam kepada para penuntut ilmu dan juga pendakwah kepada agama Allah.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment