Sunday, 12 June 2022

SIRI 384 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 6: Adab Al-Quran Al-Karim Dan Kelebihannya

Tajuk Mudarasah: Adab-adab Membaca al-Quran

Halaman Rujukan Kitab : 69

Nota Mudarasah:

Adab-adab Membaca al-Quran

Pembaca al-Quran seharusnya berada dalam keadaan berwuduk, beradab dan tunduk kepala serta tidak bersila mahupun bersandar atau duduk dalam keadaan sombong.¹⁰⁶
106 Sila rujuk kitab Tibyan fi Aadab Hamalatil Quran karangan Imam an Nawawi yang ditahqiq olehku sendiri. Terdapat satu bab mengenainya yang banyak mendatangkan faedah.

Keadaan membaca al-Quran yang paling baik ialah ketika berdiri dalam sembahyang yang didirikan di masjid.

Manakala kadar bacaan pula, ia berbeza mengikut kebiasaan ulamak salaf. Di kalangan mereka ada yang khatam al-Quran setiap hari.¹⁰⁷ Ada yang khatam lebih dari sekali dalam satu hari dan ada yang sekali khatam dalam masa tiga hari. Sebahagiannya pula menghabiskan bacaan al-Quran sekali seminggu dan ada juga sekali sebulan kerana sibuk mentadabbur (makna-makna al-Quran). menyebar ilmu dan mengajarnya atau sibuk dengan ibadat-ibadat dan urusan dunia lain.
107 Ajaran Rasulullah ialah tidak mengkhatamkan al-Quran kurang dari tiga hari dan tidak terputus dari membacanya lebih daripada 40 hari.

Yang paling elok ialah membacanya selagi tidak menghalang dari melakukan kerja yang penting dan tidak membebankan badan serta tidak mengabaikan bacaan secara tartil dan memahaminya.

Ibnu Abbas r.a. berkata: Membaca surah al-Baqarah dan aali Imran secara tartil dan mentadabburnya lebih aku sukai daripada aku membaca seluruh al-Quran secara pantas.

Sesiapa yang mempunyai masa, ambillah peluang dengan memperbanyakkan bacaannya supaya mendapat pahala yang lebih banyak. Sesungguhnya Uthman bin Affan r.a. telah membaca al-Quran dalam satu rakaat witir. Manakala as-Syafi'e r.hm. mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di bulan Ramadhan.

Bacaan secara berterusan hendaklah dilakukan sekadar yang mampu sebagaimana yang telah kami bentangkan tadi.

Sebahagian mereka berpendapat, jika hendak mengkhatam al Quran pada waktu siang, sunat melakukannya dalam dua rakaat sembahyang sunat Subuh atau selepasnya. Begitu juga jika hendak mengkhatam al-Quran pada malam hari, sunat melakukannya dalam dua rakaat sembahyang sunat Maghrib atau selepasnya. Ini dilakukan supaya dia dapat menyambut awal malam dan awal siang dengan mengkhatam al-Quran.

Ibnu Mas'ud r.a. berkata: Sesiapa yang mengkhatam al-Quran dia akan beroleh doa yang mustajab. Apabila Anas r.a. hendak mengkhatam al-Quran, dia akan menghimpunkan ahli kelurganya dan dia berdoa.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment