Sunday, 26 June 2022

SIRI 398 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 7: Zikir, Doa Dan Lain-Lain

Tajuk Mudarasah: Beberapa Wirid Pada Waktu Siang dan Malam serta Susunannya

Halaman Rujukan Kitab : 86

Nota Mudarasah:

Amalan atau Wirid Pada Waktu Malam

i. Apabila tenggelam matahari sehingga waktu isya'.

Apabila tenggelam matahari dia hendaklah bersembahyang maghrib. Selepas itu dia sibuk dengan menghidupkan waktu antara maghrib dan isya'. Firman Allah Taala:

تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.
(Al-Sajadah:16)

Berhubung ayat di atas, Anas r.a. berkata: Ia diturun untuk menceritakan keadaan sahabat Rasulullah s.a.w., di mana mereka mendirikan sembahyang di antara maghrib dan isyak.¹²⁹
129 Riwayat at-Tirmizi (3194) dan at-Tobari (21/63) dengan sanadnya yang baik As-Suyuti menyebutnya dalam kitab ad-Durarul Manthur (5/174) dan menambahkan lagi sanadnya kepada Ibnu Abi Hatim, Ibnu Marduwaih dan Muhammad bin Nasr dalam Kitab as-Solah.

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ صَلَّى بَعْدَ الْمَغْرِبِ سِتَّ رَكَعَاتٍ لَمْ يَتكَلَّمْ بَيْنَهُنَّ بِسُوءٍ عُدِلْنَ لَهُ بِعِبَادَةِ ثِنْتَىْ عَشْرَةَ سَنَةَ
Sesiapa yang bersembahyang enam rakaat selepas maghrib dan dia tidak bercakap perkara yang buruk pada masa tersebut, baginya pahala menyamai ibadat selama dua belas tahun.¹³⁰
130 Riwayat at-Tirmizi (435) dan Ibnu Majah (1374). Pada sanadnya terdapat Umar bin Abdullah bin Abu Khath'am. Beliau adalah daif. Az-Zahabi menyebut tentangnya dalam kitab al-Mizan (3/194) bahawa hadis ini adalah antara kemungkarannya.

ii- Apabila hilang cahaya kemerahan sehingga waktu tidur.

Sunat menunaikan sembahyang sebanyak yang boleh antara azan (waktu isyak) dan iqamah. Dan hendaklah dia membaca surah dalam ( ترك الذي بيده الملك ) dan al-Mulk ( الم تنزيل الكتب ) as-Sajadah sembahyang sunat tersebut. Ini kerana Rusulullah s.a.w. tidak akan tidur sehinggalah baginda membaca kedua-dua surah tersebut terlebih dahulu.¹³¹

131 Riwayat at-Tirmizi (2894) daripada Jabir r.a. dengan sanad yang daif. Pada sanadnya terdapat Laith bin Abi Sulaim.

Dalam hadis lain, Ibnu Mas'ud r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الْوَاقِعَةِ كُلَّ لَيْلَةِ لَمْ تُصبهُ فَاقَةٌ
Sesiapa yang membaca surah al-Waaqiah pada setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan.¹³²
132 Hadis ini dikeluarkan oleh Ibnul Jauzi dalam kitab al-'Tlal al-Mutanahiyah (1/105). As-Suyuti telah menyebutnya dalam kitab al-Durru (6/103) dan beliau menambah nisbah sanadnya kepada Ibnu 'Asakir, Abu 'Ubaid, al-Harith, Abu Ya'la dan al-Baihaqi dalam kitab al-Sya'budan dan hadis tersebut adalah daif. Al-Manawi berkata: Pada sanadnya terdapat unsur unsur yang menjadikannya hadis munqati' (terputus sanad), mudhtorib, daif (lemah) dan mungkar (makna yang menyeleweng). Beliau menyebutnya dalam kitab Faidhul Qadir (6/201)) dan kitab Lisanul Mizan (6/392).

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment