Tuesday, 28 June 2022

SIRI 400 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 7: Zikir, Doa Dan Lain-Lain

Tajuk Mudarasah: Beberapa Wirid Pada Waktu Siang dan Malam serta Susunannya

Halaman Rujukan Kitab : 91

Nota Mudarasah:

Apabila dia meletakkan lambung kanannya, dia hendaklah berdoa:

بِاسْمِكَ رَبِّي وَضَعْتُ جَنْبِي وَبِكَ أَرْفَعُهُ إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَاغْفِرْ لَهَا وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظَ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ
Dengan nama Engkau wahai Tuhanku, aku letakkan lambungku ini, dan dengan izin Engkau aku bangun. Sekiranya Engkau manahan diriku (mematikannya), ampunilah ia dan sekiranya Engkau melepaskannya (memanjangkan umurnya), peliharalah ia sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.¹³⁸
138 Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Ia adalah sebahagian daripada hadis sebelumnya.

Dalam kitab as-Sahihain, dari hadis Aisyah r.ha. katanya:

إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ فَنَفَثَ فِيهِمَا، وَقَرَأَ فِيهِمَا: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ، ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا رَأْسَهُ وَوَجْهَهُ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ، يَصْنَعَ ذٰلِكَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ.
Apabila Rasulullah meletakkan tubuhnya untuk tidur setiap malam, baginda akan menadah kedua tapak tangannya dan menghembuskannya sambil membaca 'tiga qul' iaitu قل أعوذ برب الناس dan قل أعوذ برب الفلق , قل هو الله أحد
Kemudiannya baginda menyapukannya ke seluruh badannya, bermula dari kepala, wajah dan bahagian depan badan baginda sebanyak tiga kali.¹³⁹
139 Riwayat al-Bukhari (9/56), Muslim (2192), Malik (2/943), at-Tirmizi (3399) dan Abu Daud (3902)

Dalam kitab as-Sahihain juga, al-Barra' bin 'Azib r.a. meriwa yatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Apabila kamu mendatangi tempat tidur kamu, berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk sembahyang, kemudian berbaring di atas lambung kanan dan berdoalah:

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ. فَإِنَّكَ إِنْ مُتَّ فِي لَيْلَتِكَ مُتَّ عَلَى الْفِطْرَةِ، وَإِنْ أَصْبَحْتَ أَصَبْتَ خَيْرًا
Ya Allah ya Tuhanku, aku serahkan diriku kepada-Mu, aku hadapkan wajahku ke arah-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu, aku sandarkan belakangku kepada-Mu, dalam keadaan suka dan gerun kepada-Mu, tiada tempat berlindung dan selamat dari-Mu melainkan dengan kembali kepada Mu. Aku beriman dengan Kitab yang Engkau turunkan dan dengan Nabi yang Engkau utuskan.

Rasulullah menyambung lagi: Sekiranya kamu mati pada malam itu, mati kamu adalah dalam keadaan fitrah. Sekiranya kamu bangkit pada paginya, kamu memperolehi kebaikan.¹⁴⁰
140 Riwayat al-Bukhari (11/97), Muslim (2710), at-Tirmizi (3391) dan Abu Daud (5046)

Ali r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepadanya dan Fatimah:

ذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا أَوْ أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا فَسَبِّحَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَكَبِّرَا أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ، فَهْوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ
Apabila kamu berdua ke tempat tidur untuk tidur, hendaklah kamu berdua bertasbih kepada Allah tiga puluh tiga kali, bertahmid tiga puluh tiga kali dan bertakbir tiga puluh tiga kali. Ia lebih baik kepada kamu berdua daripada (memiliki) seorang khadam.¹⁴¹
141 Riwayat al-Bukhari (7/59), Muslim (2727), at-Tirmizi (3405) dan Abu Daud (2988).

Dalam hadis Abu Hurairah r.a. berkenaan kehilangan harta zakat Ramadhan yang dijaganya ada menyebut bahawa syaitan (berupa seorang lelaki yang mencuri) telah berkata kepadanya:

إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فَرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ لَنْ يَزَالَ مَعَكَ مِنَ اللهِ حَافِظٌ وَلَا يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ. وَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ " صَدَقَكَ وَهْوَ كَذُوبٌ ذَاكَ شَيْطَانٌ
Apabila kamu menuju ke tempat hamparan tidur kamu, bacalah ayat al-kursi. Dengannya kamu sentiasa berada di bawah pemeliharaan Allah dan syaitan tidak boleh menghampiri kamu. Lalu beliau memberitahunya kepada Rasulullah s.a.w.. Baginda bersabda: Sesungguhnya syaitan itu telah bercakap benar kepada kamu sedang dia sendiri (syaitan yang memberitahunya itu) adalah pembohong.¹⁴²
142 Riwayat al-Bukhari (4/396). Al-Hafiz dalam kitab Hadyu al-Sari (m.s.42) berkata: Al-Mustamli telah menyambung riwayatnya daripada Muhammad bin 'Uqail daripada Abu al-Darda' bin Munib daripada Abu Hurairah r.a.

Muslim meriwayatkan:

انَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ قَالَ: الْحَمْدُ ِللهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَكَفَانَا وَآوَانَا وَكَمْ مِمَّنْ لَا كَافِيَ لَهُ وَلَا مُؤْوِيَ
Apabila Nabi s.a.w. menuju ke tempat tidurnya, baginda berdoa: Segala puji bagi Allah yang telah memberi makan dan minum kepada kami serta mencukupkan dan melindungi kami. Berapa ramai orang yang tidak mempunyai penjamin dan pelindung kepadanya.¹⁴³
143 Riwayat Muslim (2715), at-Tirmizi (3393) dan Abu Daud (5053) daripada Anas r.a..

Apabila bangun untuk bertahajjud, berdoalah sebagaimana doa Rasulullah s.a.w.:

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالأَرضِ وَمَنْ فِيهِنَّ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ الْحَقُّ، وَوَعْدُكَ الْحَقُّ، وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ، وَقَوْلُكَ حَقٌّ، وَالْجَنَّةُ حَقٌ، وَالنَّارُ حَقٌّ، وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ، وَمُحَمَّدٌ ﷺ حَقٌ، وَالسَّاعَةُ حَقٌّ، اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ، وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ، وَبِكَ خَاصَمْتُ، وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ، فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، -وَفي رواية - وَمَا أَنتَ أَعْلَمُ مِنِّي أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنْتَ
Ya Allah ya Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian, Engkaulah pemelihara langit dan bumi serta segala penghuninya. Bagi Engkau segala pujian. Engkaulah Yang Maha Benar, janji engkau adalah benar, pertemuan dengan Engkau adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, hari kiamat adalah benar, Muhammad adalah benar dan para nabi adalah benar. Ya Allah ya Tuhanku, kepada Engaku aku berserah, dengan Engkau aku beriman, kepada Engkau aku bertawakkal, kepada Engkau aku kembali, dengan sebab Engaku aku berlawan dan kepada Engkau aku menghukum. Ampunilah dosaku yang lalu dan kemudian, dosa yang aku lakukan secara sembunyi dan terang-terangan.

Dalam riwayat lain ditambah:

Bermaksud: Dan apa وما أنت أعلم مني أنت المقدم وأنت المؤخر، لا إله إلا أنت yang Engkau lebih mengetahuinya daripada aku. Engkau Tuhan yang dahulu dan akhir, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.- Muttafaqun 'alaihi.¹⁴⁴
144 Ini adalah sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh Ali r.a. yang terdahulu.

Hendaklah berusaha memastikan percakapannya yang terakhir sebelum tidur dan pertama selepas tidur ialah zikrullah. Ia adalah tanda keimanan.

Bermula setelah separuh pertama malam hingga tinggal satu perenam malam..

Ini waktu yang sangat mulia. Abu Zar r.a. berkata: Aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: Manakah waktu sembahyang malam yang paling afdal?. Sabda baginda yang bermaksud:
Sembahyang pada separuh malam atau pertengahan malam tetapi hanya sedikit yang mampu melakukannya.¹⁴⁵
145 Riwayat al-Baihaqi dalam kitab al-Sya'bu dan sanadnya daif. Demikian juga terdapat dalam kitab Dhaif al-Jami' al-Soghir (1120) daripada Abu Hurairah r.a..

Diriwayatkan bahawa Nabi Daud a.s. berkata: Wahai Tuhan, pada saat manakah aku perlu bangun berdiri menyembah-Mu? Allah mewahyukan kepada-Nya:
Wahai Daud, jangan kamu bangun berdiri pada awal malam atau penghujungnya, tetapi bangunlah pada pertengahan malam agar Aku dapat bersendirian bersamamu. Dan ketika itu pohonlah hajatmu kepada-Ku.

Apabila bangun bertahajjud, dia hendaklah membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah ali-Imran sebagaimana diriwayatkan dalam as-Sahihain bahawa Rasulullah s.a.w. telah melakukan demikian.¹⁴⁶
146 Riwayat al-Bukhari (1/189), Muslim (763), Malik (1/121, Abu Daud (58) dan an-Nasaie (2/30), (3/210) daripada Ibnu Abbas r.a.

Seterusnya berdoalah dengan doa Rasulullah s.a.w. ketika bangun malam sebagaimana yang telah disebutkan dahulu. Selepas itu mulakanlah qiamullail dengan sembahyang dua rakaat yang ringan. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa baginda telah bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي بِاللَّيْلِ فَلْيَبْدَأ بِرَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ
Apabila seseorang kamu bangun untuk sembahyang malam, mulakanlah dengan dua rakaat yang ringan.¹⁴⁷
147 Riwayat Muslim (768) dan Abu Daud (1323).

Kemudian baginda sembahyang secara dua rakaat, dua rakaat.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w.. jumlah rakaat paling banyak yang didirikan oleh baginda ketika bersembahyang malam ialah sebanyak tiga belas rakaat bersama witir. Manakala jumlah yang paling minima pala ialah tujuh rakaat (termasuk witir).¹⁴⁸
148 Riwayat al-Bukhari (3/27) dan Muslim (738) daripada Aisyah r.ha.. Antara tiga belas rakaat tersebut, termasuklah dua rakaat sembahyang sunat 'Isya'.

Satu perenam akhir iaitu ketika waktu sahur. Firman Allah Taala:

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).
(Al-Zariyat: 18)

Dalam satu hadis ada menyebut sabda baginda s.a.w.:

فإن قراءة الرجل آخر الليل محضورة
Sesungguhnya bacaan al-Quran seseorang di akhir malam turut dihadiri dan disaksikan oleh para malaikat.¹⁴⁹
149 Ibnu Adi meriwayatkannya dalam kitab al-Kamil (6/2093) ketika menghuraikan biodata Kalthum. Katanya: hadis ini diceritakan daripada Atho' secara mursal.

Thowus telah datang menemui seorang lelaki ketika waktu sahur. Lalu mereka berkata: Dia sedang tidur. Beliau berkata: Aku tidak pernah melihat seseorang yang tidur pada waktu sahur.

Apabila selesai sembahyang pada waktu sahur, dia hendaklah beristighfar kepada Allah. Diriwayatkan bahawa Ibnu Umar r.a. telah melakukan sedemikian.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment