Monday, 4 July 2022

SIRI 406 - MUDARASAH KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL QASIDIN


Siri mudarasah menggunakan kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin karangan Imam Ahmad bin Qudamah Al-Maqdisi dan disemak semula oleh Abu al-Harith Ali bin Hasan bin Ali. Mudarasah ini dikepalai oleh Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Insya Allah, siri mudarasah ini dijalankan secara langsung melalui laman Youtube Dato' Haji Zamri bin Hashim dan Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim pada setiap hari, dalam tempoh lebih kurang 30 minit bermula pukul 6.45 pagi.

Bahagian 1: Ibadat

Bab 7: Zikir, Doa Dan Lain-Lain

Tajuk Mudarasah: Peringkat-peringkat Menghidupkan Malam

Halaman Rujukan Kitab : 102

Nota Mudarasah:

Peringkat-peringkat Menghidupkan Malam

Terdapat enam peringkat dalam menghidupkan malam. Peringkat-peringkat tersebut ialah:

i. Menghidupkan malam seluruhnya, sebagaimana diriwayatkan daripada segolongan ulamak salaf.

ii. Menghidupkan separuh malam. Ini juga diriwayatkan daripada sebahagian ulamak salaf. Jalan terbaik dalam keadaan ini ialah dia tidur satu pertiga pertama malam dan satu perenam akhirnya.

iii. Menghidupkan satu pertiga malam. Oleh itu seharusnya dia tidur pada separuh pertama malam dan satu perenam akhirnya. Ini adalah cara qiam Nabi Daud a.s.

Dalam kitab as-Sahihain menyebut:

أَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى اللهِ صَلَاةُ دَاوُدَ، كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ شُدُسَهُ
Sembahyang yang paling disukai di sisi Allah ialah sembahyang Nabi Daud. Baginda tidur separuh pertama malam dan bangun menghidupkannya pada satu pertiga malam dan tidur pula pada satu perenam akhirnya.¹⁵⁴
154 Riwayat al-Bukhari (1/286), Muslim (1159), (189), Abu Daud (2448), an Nasa'ie (1/321), Ibnu Majah (1712), ad-Darimi (2/20) dan Ahmad (2/160,206) daripada Ibnu Amru r.a..

Tidur pada akhir malam adalah baik kerana ia boleh menghilang kan rasa mengantuk pada waktu pagi dan mengurangkan kepucatan wajahnya.

iv. Menghidupkan satu perenam atau satu perlima malam. Lebih afdal jika waktu tersebut adalah pada separuh kedua malam. Sebahagian ulamak menyatakan bahawa yang paling afdal ialah satu perenam akhir malam.

v. Menghidupkan malam tanpa menurut ketetapan waktu seperti di atas disebabkan sukar untuk melakukannya. Terdapat dua cara bagi orang yang memilih martabat kelima ini. Iaitu:

a) Dia menghidupkannya pada awal malam sehingga dia terasa mengantuk. Kemudian dia tidur. Apabila bangun darinya dia menghidupkan pula malamnya. Apabila rasa mengantuk dia tidur pula. Ini adalah cara yang sangat membebankan dan in juga merupakan cara segolongan ulamak salaf. Dalam kitab as-Sahihain daripada hadis Anas r.a. katanya:

مَا كُنَّا نَشَاءُ أَنْ نَرَى رَسُولَ اللہِ ﷺ فِي اللَّيْلِ مُصَلِّيًا إِلَّا رَأَيْنَاهُ وَلَا نَشَاءُ أَنْ نَرَاهُ نَائِمًا إِلَّا رَأَيْنَاهُ
Apabila kami mahu melihat Rasulullah s.a.w. bersembah yang pada waktu malam, kami dapat melihatnya. Apabila kami mahu melihatnya dalam keadaan tidur, kami juga dapat melihatnya.¹⁵⁵
155 Ini adalah lafaz An-Nasa'ie (3/213) dan maknanya dalam kitab as-Sahih.

Saidina Umar r.a. pernah bersembahyang pada suatu malam selama yang dikehendaki Allah, sehingga apabila tiba penghujung malam, beliau membangunkan keluarganya dengan berkata: Sembahyang, sembahyang.

Berkata ad-Dhohhak: Aku mendapati beberapa kaum yang merasa malu kepada Allah Taala di waktu malam kerana terlalu lama tidur.

b) Dia tidur pada awal malam. Setelah tidur secukupnya, dia bangun dan menghidupkan baki malamnya.

Sufian at-Thauri berkata: Ia adalah tidur yang pertama. Setelah bangun darinya, dia tidak akan tidur lagi selepas itu.

vi. Menghidupkannya sekadar empat atau dua rakaat.

Telah diriwayatkan kepada kami daripada Nabi s.a.w.bahawa Baginda bersabda:

صَلُّوا مِنَ اللَّيْلِ صَلُّوا أَرْبَعًا صَلُّوا رَكْعَتَيْنِ
Sembahyanglah kamu pada waktu malam. Sembahyanglah empat rakaat, sembahyanglah dua rakaat.¹⁵⁶
156 Diriwayatkan oleh Ibnu Nasr dan al-Baihaqi dalam kitab al-Sya'b daripada Al-Hasan secara mursal. Syeikh al-Albani menyatakan ia adalah hadis daif sebagaimana dalam kitab Dhaif al-Jami' (3487) dan kitab al-Salsilah al-Dha'iefah (3782).

Dalam kitab Sunan Abi Daud katanya, Rasulullah saw. bersabda:

مَنِ اسْتَيْقَظَ مِنَ اللَّيْلِ وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّيَا رَكْعَتَيْنِ جَمِيْعًا كُتِبَا مِنَ الذَّاكِرِينَ اللهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ
Siapa yang bangun pada waktu malam dan membangunkan isterinya lalu kedua-duanya bersembahyang dua rakaat, pada malam tersebut nama mereka akan tercatat di kalangan lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah.¹⁵⁷
157 Riwayat Abu Daud (1309), (1451) daripada Abu Said dan Abu Hurairah dengan sanad yang sahih.

Tolhah bin Musorrif pernah memerintahkan ahli keluarganya supaya bangun menghidupkan malam. Beliau berkata: Bersembahyanglah kamu dua rakaat. Sesungguhnya sembahyang di tengah malam akan menggugurkan dosa-dosa.

Ini adalah cara-cara pembahagian malam. Setiap individu perlu memilih manakah yang lebih mudah untuk dia melakukannya. Sekiranya dia sukar bangun pada waktu malam, dia tidak seharusnya meninggalkan ibadat pada waktu antara Maghrib dan Isya' serta waktu sahur, agar dia menjadi orang yang beribadat kepada Allah pada dua tepian malam (awal dan akhir). Ini adalah peringkat yang ketujuh.

Peringatan Mesra:
Mudarasah ini diadakan bukan bertujuan untuk melihat orang lain, apatah lagi menghukumnya. Ia adalah sebagai untuk semakan diri sendiri dan panduan untuk memperbaiki diri sendiri. Semoga kita akan tergolong dalam ummah fadhilah.

Group Telegram juga disediakan untuk semua yang berminat untuk turut serta bagi mengikuti perkembangan dan informasi mudarasah serta menjalinkan ikatan persaudaraan sesama kita. Group Telegram ini boleh dicapai melaui pautan https://t.me/ustazzamrihashim.

Pembelian Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin:
KLIK SINI UNTUK BELI KITAB.

No comments:

Post a Comment